Majlis Konvokesyen Keempat Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2008

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah dan selanjutnya menyempurnakan penyampaian sijil serta hadiah di Majlis Konvokesyen kali keempat belas, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.

2. Konvensyen ini akan menganugerahkan Sijil Amalan Guaman kepada 153 para lulusan baru, sekali gus menambahkan bilangan pengamal undang-undang di negara ini. Pertambahan ini semoga dapat memenuhi keperluan permintaan kepada perkhidmatan guaman

yang semakin meningkat di samping dapat pula memberikan peluang kepada lebih ramai warga memperoleh perkhidmatan guaman berkualiti dalam lingkungan keupayaan kewangan warga yang terdiri dari pelbagai lapisan sosioekonomi.

3. Dari segi sejarah, perkhidmatan guaman diasaskan dari niat yang amat murni; bermula dari kalangan anggota masyarakat yang terhormat kedudukannya, tampil merintis usaha mahu menegakkan keadilan dan memberikan pembelaan kepada mereka yang dianiayai. Hari ini perkhidmatan guaman telah menjadi satu profesion yang cukup besar, dengan kod etika yang lebih menyeluruh, bertujuan mengawal pengamal yang kian bertambah. Di pusat-pusat pengajian tinggi, kursus undang-undang terus menjadi pilihan popular. Syarikat-syarikat guaman terus tumbuh bercambah.

4. Undang-undang sedia ada terus dipinda dan diubahsuai sementara undang-undang baru terus digubal bagi memenuhi keperluan semasa. Kajian, penyelidikan dan penulisan menyentuh undang-undang terus dilakukan. Makalah, penerbitan dan bahan rujukan terus bertambah. Pusat-pusat pengajian menawarkan kursus perundangan juga bertambah dan bilangan lulusan juga meningkat. Kemajuan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi komunikasi telah membolehkan maklumat terkini berkaitan undang-undang dapat diperoleh dengan mudah lagi cepat.

5. Dalam waktu yang sama bagaikan berlaku satu paradoks; mencetuskan polemik yang berpendapat bahawa kuantiti yang meningkat begitu banyak dan dalam tempoh masa yang singkat telah mempengaruhi kualiti. Apakah kebenaran kenyataan ini; atau sebenarnya sedang berlaku jurang nilai dan jurang interpretasi antara dua generasi mewakili era yang berlainan. Ada yang beranggapan bahawa kayu ukuran akan keunggulan seseorang peguam dalam fasa 25 tahun pertama Malaysia merdeka, yang diwakili oleh generasi Tun Azmi bin Haji Mohamad (Allahyarham), Tun Mohamad Suffian bin Hashim (Allahyarham) dan Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah adalah berbeza dengan kayu ukuran yang digunakan untuk mengukur keunggulan seseorang peguam dalam fasa 25 tahun kedua Malaysia merdeka.

6. Berasaskan pemerhatian peribadi Beta, Paduka Seri Ayahanda Beta, sejak dari hari pertama duduk di kerusi seorang majistret, di Mahkamah Rendah di Kuala Lumpur pada tahun 1956, hingga sampai ke kerusi Ketua Hakim Negara pada tahun 1982, seluruh hati – seluruh jiwa raga Baginda diabadikan pada undang-undang; melaksanakan tanggungjawab profesion perundangan dan kehakiman secara cemerlang, hingga mencipta rekod diangkat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada usia 37 tahun, usia yang dianggap paling muda pernah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, di kalangan negara-negara Komanwel.

7. Baginda adalah putera bongsu kepada Sultan Perak ketiga puluh dua, Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Baginda insaf bahawa Baginda mempunyai tiga kakanda lelaki yang mengikut urutan kekananan akan diberikan keutamaan untuk mewarisi takhta Kerajaan. Kerana itu Baginda menumpukan fikiran dan tenaga dalam profesion perundangan. Namun Allah Subhanahu Wata’ala, setelah mengangkat Baginda sampai ke kerusi Ketua Hakim Negara, turut mengangkat Baginda mewarisi takhta Kerajaan Negeri sebagai Sultan Perak ketiga puluh empat, mengangkat Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Kesembilan, dan pada 3hb. Februari lalu membolehkan Baginda menyambut Jubli Perak pemerintahan di negeri Perak Darul Ridzuan.

8. Pada hemat Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah, Tun Azmi (Allahyarham), Tun Soffian (Allahyarham) dan rakan-rakan segenerasi mereka, merupakan pengamal undang-undang yang hati mereka berakar kukuh pada undang-undang, jiwa raga mereka tertumpu pada kerja-kerja mahkamah. Pemikiran mereka tidak pernah lari dari memenuhi tanggung jawab menegakkan undang-undang. Pengamal undang-undang di era tersebut bersaing secara sihat untuk membuktikan penghujahan dan penghakiman yang bijak dan tepat, penghujahan dan penghakiman yang diasaskan kepada fakta dan bukti; kewibawaan mahkamah yang dilengkapi dengan prosiding berkualiti, dibantu oleh Pendakwa Raya dan Peguam Bela yang amat profesional, diperlengkap dengan bahan bukti dan bahan siasatan yang kukuh. Faktor-faktor emosi, talian hubungan dan imbuhan material, tidak menghilangkan konsentrasi terhadap tanggungjawab yang dijunjung dengan penuh amanah. Kesucian mahkamah dapat dilindungi – kemuliaan mahkamah berjaya dipertahankan.

9. Pada tahun lalu, semasa menzahirkan titah di Majlis Konvokesyen Sijil Amalan Guaman kali ketiga belas, pada 19 Februari 2008, Beta telah mengingatkan betapa pentingnya para pengamal undang-undang menjadikan diri sebagai teladan, meletakkan tanda aras kepada warga dari segi amalan menghormati undang-undang dan tidak mempersendakan mahkamah. Para pengamal undang-undang wajib pada setiap masa mempertahankan kesucian mahkamah dari dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Mahkamah jangan sama sekali dibenarkan hingga sampai ke peringkat dianggap oleh masyarakat sebagai satu persembahan bangsawan yang skripnya telah ditulis oleh pengarah tertentu. Mahkamah juga harus dikawal dari dijadikan gelanggang oleh mana-mana pihak untuk mencari pengaruh politik. Di samping mengulangi peringatan tersebut, Beta juga menzahirkan hasrat untuk melihat badan guaman di negara ini dikawal dengan penuh cemburu dari dinodai oleh perbuatan dan perlakuan yang boleh mencemar kemurnian dan imej profesion guaman.

10. Beta mengulangi amanat bahawa amalan perundangan berlandaskan kod etika guaman yang tinggi akan dapat memperkukuhkan sistem demokrasi di dalam negara selaras dengan mekanisme semak dan imbang antara kuasa legislatif, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman. Prinsip asas berkerajaan dan bernegara yang terkandung di dalam Perlembagaan ini wajib dijadikan pegangan demi menjamin berlakunya keadilan – demi memastikan warga terus meyakini sistem perundangan. Sistem perundangan yang adil dan diyakini oleh rakyat adalah pra syarat untuk memastikan keamanan negara tidak tergugat. Sistem perundangan yang saksama adalah instrumen berkesan untuk menjauhkan warga dari mencari alternatif lain yang memudaratkan hingga boleh membawa negara menuju kepada satu anarki. Prinsip kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan secara telus lagi meyakinkan merupakan komponen penting untuk mempertingkatkan keyakinan dunia luar terutamanya para pelabur terhadap negara ini.

11. Beta mengucapkan tahniah kepada para lulusan. Para lulusan berperanan penting memastikan terlaksananya prinsip kedaulatan undang-undang secara benar, telus, adil dan saksama. Bahawa sedarilah bahawa dalam melaksanakan keadilan, para peguam juga turut diadili oleh masyarakat dan jauhilah sama sekali perbuatan-perbuatan yang mengabaikan keadilan. Beta merakamkan apresiasi kepada Pengerusi serta Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia atas komitmen memastikan taraf dan prestij Peperiksaan Sijil Amalan Guaman terus dipertahankan.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: