Majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen kali keenam belas, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.

2. Hari ini Negara telah diperkaya dengan bilangan profesional dalam bidang undang-undang. Semoga tambahan dari segi kuantiti ini akan turut membawa kesan meningkatkan kualiti amalan undang-undang yang lebih berintegriti di negara ini, di samping menawarkan accesibility yang lebih luas kepada warga terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan khidmat perundangan.

3. Profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit; ia mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri. Salah satu tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti; memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah begitu juga terhadap klien dapat disempurnakan. Dalam melaksanakan tanggung jawab, mahkamah jangan sama sekali dipersendakan, para peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan, dan para peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan. Para pengamal undang-undang wajib menjadi tauladan, dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan. Sedarilah bahawa tingkah laku para peguam turut diadili oleh masyarakat.

4. Beta mengikuti langkah yang sedang dirintis oleh mahkamah untuk mempercepatkan perbicaraan dan pemutusan kes-kes dalam hasrat baik supaya kes yang tertunggak dapat dikurangkan, sekali gus memberi ruang kepada kes-kes baru dapat segera dibicarakan. Imej sebuah negara maju turut diukur dari kesegeraan pelaksanaan keadilan kerana ‘keadilan yang tertangguh – adalah keadilan yang dinafikan’ (justice delayed is justice denied). Kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan sahaja dapat memastikan keadilan dilaksanakan secara segera tetapi turut meningkatkan ‘standing’ pengurusan mahkamah di kaca mata umum. Beta juga mengikuti hujah-hujah kebimbangan yang kurang selesa, susulan kepada inisiatif yang diperkenalkan oleh mahkamah. Salah satu cabaran kepada usaha perubahan dan langkah pembaharuan adalah untuk mendapatkan persefahaman, persetujuan dan sokongan dari pelbagai pihak. Memandangkan profesion undang-undang dianggotai oleh cerdik pandai, penghujahan dan perbincangan rasional hendaklah diterokai. Saluran komunikasi yang berkesan di antara kedua pihak harus ditingkatkan supaya hasrat baik dapat menemui titik persefahaman demi kepentingan klien dan demi menjamin pelaksanaan keadilan tidak ditangguhkan terlalu lama; kerana setiap keadilan yang tertangguh terpaksa ditanggung oleh klien dan keluarga mereka dari segi beban kewangan begitu juga tekanan emosi.

5. Kesediaan melakukan perubahan dan merintis langkah pembaharuan adalah satu kemestian kepada semua profesion dalam dunia global yang semakin terangkai. Diramalkan evolusi dalam profesion undang-undang sepuluh tahun akan datang akan berlaku lebih hebat dari kadar yang berlaku sejak seratus tahun yang lalu. Evolusi tersebut sedang dan akan terus berlaku dalam menghadapi gelombang-gelombang baru; antaranya: penemuan pesat di bidang sains dan kemajuan pesat teknologi, pengaruh globalisasi yang semakin meningkat membawa kepada perubahan bentuk persaingan, perubahan demografi penduduk dari segi usia berserta kebangkitan media sosial, perubahan sosial, serta perubahan persekitaran intelek. Setiap gelombang baru ini memerlukan peraturan baru dan akan meningkatkan keperluan interaksi perundangan di peringkat antara bangsa.

6. Gelombang globalisasi akan terus sampai ke persisiran pantai negara ini. Justeru itu Negara memerlukan barisan profesional yang kompeten di bidang undang-undang antarabangsa untuk dapat membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global. Saudara-saudari, para graduan di dewan ini, berada dalam zon usia yang akan melayari bahtera di lautan maya mengharungi gelombang-gelombang baru ini. Nakhoda yang bijak akan cekap membaca haluan angin dan bijak mengukur ketinggian gelombang. Persiapan yang selengkapnya perlu disediakan supaya di kalangan saudara-saudari akan dapat mengharungi gelombang baru ini dan berupaya membantu meningkatkan daya saing dan daya tahan negara menghadapi gelombang globalisasi.

7. Beta mengucapkan tahniah kepada para lulusan. Beta menghargai usaha setiap pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha terus membekalkan negara dengan lulusan di bidang undang-undang, dari kalangan ibu bapa dan anggota keluarga, tenaga pengajar, Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang dan saudara-saudari yang telah mencapai kejayaan melalui ketekunan dan disiplin. Semoga saudara-saudari terus mencipta kejayaan gemilang dalam profesion undang-undang.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: