Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen Peperiksaan Sijil Amalan Guaman kali kelapan belas.
2. Dalam tahun 2012, lapan ratus enam puluh (860) calon mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman. Dari jumlah tersebut, hanya tiga ratus lima puluh (350) calon yang lulus, mencatat pencapaian 41 peratus.
3. Peperiksaan Sijil Amalan Guaman mula diperkenalkan pada tahun 1984. Sembilan puluh satu (91) dari sembilan puluh enam (96) calon telah lulus dalam peperiksaan tersebut, mencatatkan pencapaian 95 peratus. Tahun 1996, mencatatkan bilangan calon paling ramai; seribu, lima ratus, empat puluh lapan (1548) calon mengambil peperiksaan, tetapi hanya enam ratus, enam puluh lapan (668) yang lulus, pencapaian 43 peratus. Perangkaan menunjukkan berlaku naik turun peratusan kelulusan; tetapi sejak tahun 1994, peratus calon yang lulus berada di bawah paras 50 peratus, malah pencapaian terendah 26 peratus berlaku dalam tahun 2006. Pada tahun 2006, dari 706 calon yang mengambil peperiksaan, hanya 185 yang lulus. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, calon yang lulus, terus memperlihatkan trend menurun, 49 peratus dalam tahun 2010, menurun kepada 45 peratus dalam tahun 2011, menurun kepada 41 peratus dalam tahun 2012.
4. Senario ini mengundang kepada beberapa interpretasi; kelihatan berlaku jurang yang semakin ketara antara kuantiti dan kualiti graduan undang-undang yang dihasilkan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi; selanjutnya mengundang kepada perlunya dinilai secara teliti akan kualiti sebahagian siswa siswi yang mengambil pengajian undang-undang, demikian juga kualiti tenaga pengajar, kualiti pengajaran, nisbah pengajar dengan pelajar, serta kualiti pengetahuan dan kemahiran yang berjaya dibekalkan kepada graduan. Analisis perlu dilakukan di kalangan graduan yang gagal dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman; sama ada peratus yang gagal lebih tinggi nisbahnya dari kalangan graduan yang dihasilkan oleh institusi pengajian di dalam atau dari luar negara; dan mengenal pasti dari institusi pengajian manakah di dalam negara yang kalangan graduannya paling tinggi gagal dalam Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.
5. Ketika ini, enam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam negara menawarkan pengajian undang-undang. Graduan lulusan dari lima Institusi Pengajian Tinggi Awam tidak diperlukan mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman; sementara Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia sedang dalam proses menimbangkan status graduan keluaran Universiti Sultan Zainal Abidin. Sembilan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara, menawarkan pengajian undang-undang. Dari bilangan tersebut hanya graduan keluaran Multimedia Universiti dikecualikan dari keperluan mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman.
6. Pihak awam, terutama ibu bapa, bakal pelajar dan penaja berhak dibekalkan maklumat-maklumat tepat akan status, prestasi dan reputasi setiap Institusi Pengajian, terutama Institusi Pengajian Swasta yang mengenakan yuran pengajian lebih tinggi. Majoriti siswa siswi, terutama yang berlatar belakangkan keluarga berpendapatan rendah, perlu melakukan pinjaman kewangan untuk membiayai pengajian. Para graduan meletakkan harapan bahawa setelah tamat pengajian, mereka akan dapat memanjat tangga sosioekonomi untuk sampai ke tingkat lebih tinggi. Amatlah malang, jika keadaan di sebaliknya berlaku; apabila tamat pengajian, mereka terperangkap dalam satu putaran; menghadapi pinjaman kewangan yang perlu dibayar balik, sedangkan pada masa yang sama, mereka tidak dikategorikan bernilai tinggi dalam pasaran pekerjaan dan jika ditawarkan pekerjaan, mereka tidak berada dalam kategori yang diberikan imbuhan tinggi.
7. Dalam tahun 2012, Majlis Peguam Malaysia telah melakukan kaji selidik di kalangan 393 firma guaman. Kaji selidik tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas akan sifat, kemahiran dan keupayaan yang dianggap penting ketika menyaring calon-calon sebelum diambil berkhidmat. Kaji selidik tersebut juga bertujuan mendapatkan maklum balas sama ada calon-calon memenuhi sikap dan set kemahiran yang diutamakan oleh firma-firma guaman. Empat faktor dirumuskan sebagai faktor-faktor yang diutamakan oleh firma guaman[1]:
Pertama: penguasaan bahasa Inggeris secara lisan dan tulisan.
Kedua: kemahiran komunikasi.
Ketiga: pengetahuan perundangan.
Keempat: komitmen kepada firma.
8. Kaji selidik tersebut menunjukkan terdapat jurang antara harapan dan keperluan majikan dengan sifat dan set kemahiran yang dimiliki oleh sebahagian graduan. Turut dilaporkan bahawa graduan yang memiliki ijazah dari luar negara memperlihatkan keupayaan lebih tinggi dalam memenuhi aspek-aspek penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran berkomunikasi dan pengetahuan perundangan.
9. Penemuan ini hendaklah dijadikan maklum balas penting kepada Institusi Pengajian Tinggi tempatan yang menawarkan pengajian undang-undang. Demi memastikan graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tempatan memiliki nilai pasaran yang setanding dengan graduan lulusan Institusi Pengajian dari Luar Negara, aspek kualiti sama sekali tidak boleh dikompromikan ketika berusaha untuk mencapai sasaran kuantitatif. Malah aspek kualiti hendaklah tidak dikompromikan dari peringkat pengambilan siswa siswi di fakulti undang-undang oleh Institusi Pengajian Tempatan.
10. Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan, cabang yang diwujudkan di bawah naungan Majlis Peguam telah melakukan kaji selidik kedua, di kalangan 227 peguam muda yang baru menyertai tiga tahun pertama profesion guaman. Majoriti mereka yang menyertai soal selidik tersebut, baru berada dalam tahun pertama perkhidmatan. Kaji selidik tersebut ditumpukan kepada aspek perhubungan di antara peguam muda dan majikan serta imbuhan yang mereka terima.
11. Forum membincangkan dua kaji selidik tersebut telah diadakan pada 20 Oktober 2012. Antara perkara yang disuarakan oleh Jawatankuasa Peguam Muda adalah aspek mengimbangkan imbuhan supaya setimpal dengan beban kerja; apatah lagi mengambil ingatan akan realiti beban kewangan yang mereka sedang hadapi. Majoriti berhadapan dengan tanggungan berat kos sara hidup yang semakin meningkat dan kesan inflasi. Adalah penting untuk diberikan perhatian kepada aspek kebajikan tenaga profesional muda ini agar mereka dapat berfungsi secara lebih inovatif, lebih kreatif dan lebih produktif.
12. Tenaga profesional yang menghadapi tekanan untuk memenuhi beban perbelanjaan hidup harian, tidak akan berupaya memberi sepenuh tumpuan dan fokus kepada kerja. Malah dipercayai, tingkat produktiviti, daya kreativiti dan daya inovasi seseorang insan amat dipengaruhi oleh keadaan sosioekonomi diri dan sosioekonomi keluarga. Lebih membimbangkan lagi, imbuhan yang tidak dapat mengimbangi keperluan perbelanjaan hidup harian, berpotensi mendorong seseorang petugas untuk cenderung melakukan perkara-perkara yang melanggar etika profesion, malah menjadi pendorong kepada perlakuan rasuah. Apatah lagi jika jawatan yang disandang, disertai dengan pengaruh dan kuasa, serta dipertanggungkan dengan amanah untuk menyimpan dan melindungi pelbagai khazanah maklumat. Individu yang mula terlibat dengan rasuah di usia sebegitu muda dan dari peringkat awal kerjaya lagi, dalam jangka panjang bukan sahaja akan menjadi pengamal rasuah lebih besar, malah berpotensi menerapkan budaya rasuah berkembang subur dalam organisasi dan institusi di bawah pimpinannya. Akibatnya akan lupus integriti organisasi.
13. Kemusnahan sesebuah pentadbiran dan kehancuran sesebuah negara bangsa berlaku apabila tanggung jawab menguatkuasakan dan melaksanakan undang-undang diserahkan kepada kalangan yang tidak amanah, kalangan yang sama-sama bersubahat melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan etika kerana agenda dan kepentingan peribadi, kalangan yang tidak ada keberanian untuk mempertahankan kebenaran, kalangan yang tidak ada ketegasan untuk menegakkan keadilan.
14. Kemajuan sesebuah negara bangsa amat dipengaruhi oleh keyakinan warga dan keyakinan dunia bahawa negara diurus tadbir secara adil lagi saksama berteraskan sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus. Sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus bergantung pada dukungan oleh para individu dan pengamal undang-undang yang berintegriti dan berani bersifat telus. Oleh itu elemen integriti, amat penting untuk senantiasa disemai dan dipertahankan di kalangan pengamal undang-undang.
15. Beta mengucapkan tahniah kepada saudara-saudari yang telah memenuhi kriteria layak dianugerahkan Sijil Amalan Guaman. Sebagai angkatan muda, saudara-saudari hendaklah terus menyuarakan idealisme murni dan bergerak ke arah mencapai idealisme murni tersebut demi masa hadapan negara yang lebih gemilang.
16. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di atas peranan dan komitmen, berusaha memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini berada di tahap tinggi. Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia hendaklah tegas memastikan tahap profesionalisme pengamal undang-undang di negara ini, sama sekali tidak dikompromikan dan oleh itu tidak akan tunduk dan melenturkan diri, memberi laluan kepada sebarang permintaan atau desakan yang boleh mengkompromikan tahap piawaian yang telah ditetapkan.
17. Semoga setiap niat murni dan usaha baik mendapat lindungan dan petunjuk ILAHI.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- Kenyataan Media: “Bar Council Surveys Explore Employability of New Law Graduates and Working Conditions of Young Lawyers”. (Laman web Majlis Peguam Malaysia; 30.10.2012.) ↑