Majlis Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS)

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Opening of Speech

Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) akan menganugerahkan 478 diploma. KUISAS yang dinaiktarafkan kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) telah diasaskan dengan penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) pada tahun 1999. Dalam tempoh enam belas tahun kewujudannya, KUISAS telah menceritakan satu kisah kejayaan.

2. Bermula dengan menawarkan tiga program pengajian dan pengambilan kumpulan pertama pelajar KISDAR seramai 47 orang, enrolmen pelajar KUISAS pada tahun 2015 telah mencecah angka tiga ribu lima ratus tiga puluh lima (3,535) orang. KUISAS pada masa ini menawarkan lima belas (15) program diploma, enam (6) program Sarjana Muda, tiga (3) program Sarjana dan empat (4) program Doktor Falsafah. Pengurusan KUISAS terus merancang untuk menambah program pengajian di samping berusaha untuk meningkatkan bilangan pengambilan pelajar. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Pengerusi, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KUISAS di atas pencapaian ini.

3. Pendidikan telah melalui pelbagai fasa perkembangan yang telah memungkinkan ia dapat dinikmati oleh lebih ramai manusia sejagat. Pada era tamadun purba (ancient civilisation), kemudahan pendidikan secara formal, bukan sahaja sangat terbatas tetapi dikawal dan bersifat elitis, disediakan hanya kepada anak lelaki daripada keturunan diraja, keluarga bangsawan dan penjaga biara. Agama adalah pemangkin penting yang telah mendemokrasikan program pendidikan. Ilmu dan pengajaran dalam semua agama utama dunia, terkandung secara bertulis dalam bentuk kitab. Dalam memenuhi tanggung jawab ketuhanan untuk mengembangkan agama, para penyebar semua agama perlu terlebih dahulu memperkenalkan program celik huruf.

4. Pendidikan telah melalui proses pendemokrasian yang membolehkan majoriti umat manusia menikmati faedah daripadanya. Pendidikan telah membantu manusia memahami dan mengenali alam ciptaan ILAHI, membolehkan manusia menerokai pelbagai khazanah kurniaan ILAHI, serta mengupayakan manusia melakukan pelbagai daya cipta dan inovasi untuk membina tamadun moden berasaskan sains dan teknologi. Pendidikan berperanan besar mengubah nasib begitu ramai manusia, membebaskan mereka daripada tempurung minda yang sempit dan mengeluarkan sebahagian mereka dari kepompong budaya kemiskinan. Pendidikan adalah program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara ini. Malah ramai di kalangan tetamu, tenaga akademik dan warga pengurusan KUISAS serta ibu bapa yang berada dalam Dewan ini adalah produk daripada program pendidikan yang terkandung Dasar Ekonomi Baru.

5. Ilmu dan pengetahuan, berperanan semakin utama dalam era ekonomi berpaksikan pengetahuan. Semakin ramai manusia sedar bahawa untuk mencapai taraf kehidupan yang lengkap, ilmu dan pengetahuan merupakan komponen keempat yang diperlukan selepas makanan, pakaian dan tempat tinggal. Hari ini permintaan untuk mendapatkan tempat pengajian di peringkat kolej dan universiti semakin meningkat. Setiap keluarga, setiap ibu bapa, setiap pelajar mengimpikan untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Semakin ramai pula graduan tidak lagi mahu menamatkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah pertama. Bilangan pelajar pasca siswazah semakin meningkat. Setiap senario baru pastinya mencetuskan cabaran baru. Permintaan yang bertambah perlu disambut dengan kemudahan yang ditambah. Menyediakan prasarana pengajian tinggi merupakan satu tanggung jawab besar yang wajib dipenuhi terutama oleh setiap kerajaan. Permintaan yang terus meningkat turut memerlukan kerajaan bersifat terbuka untuk membolehkan pihak swasta turut membangunkan prasarana dan membekalkan perkhidmatan pengajian tinggi.

6. Permintaan yang terus meningkat turut memberi dimensi baru kepada program pendidikan, beralih daripada khidmat sosial yang berpaksikan kemasyarakatan kepada khidmat yang semakin condong berpaksikan perdagangan dan keusahawanan. Matlamat sosial pendidikan semakin ditenggelami dengan matlamat komersial memandangkan potensi besar yang terhampar untuk mengkomersialkan program pendidikan.

7. Falsafah asal program pendidikan ialah untuk mengilmukan insan, dengan tujuan agar insan berilmu akan dapat mencapai status sosial ekonomi lebih baik, sekali gus turut membantu menangani isu membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan. Falsafah asal program pendidikan, kini semakin bertukar wajah. Agenda pendidikan sedang berhadapan dengan senario yang dianggap oleh banyak pihak, terutama dari kalangan yang tulen berjiwa pendidik sebagai bercanggah dan bertentangan daripada falsafah asalnya apabila program pendidikan semakin cenderung untuk dikomersialkan.

8. Perkembangan yang berlaku membentuk landskap baru di peta pendidikan dunia. Universiti-universiti pada hari ini terbahagi kepada klasifikasi universiti bertaraf elit dan universiti bertaraf pertengahan. Universiti-universiti elit memiliki autonomi sendiri dari segi dasar, dana, pengurusan, kurikulum, yuran pengajian dan pengambilan pelajar dan pada umumnya dimiliki oleh pihak swasta atau badan amanah yang memiliki endowment yang besar lagi bebas. Tempat pengajian di universiti elit dijadikan komoditi yang terhad bekalannya, dijadikan komoditi yang menjadi rebutan, dijadikan komoditi yang ditawarkan dengan harga yang tinggi. Kriteria pemilihan, yuran pengajian, dan keutamaan pengambilan pelajar yang dikaitkan dengan tajaan dan sumbangan endowment yang diamalkan oleh universiti bertaraf elit memberikan kelebihan kepada calon-calon yang memiliki latar belakang elit. Senario ini telah meletakkan program pendidikan sebagai program yang menambah lebarkan jurang perbezaan di kalangan masyarakat berpendapatan tinggi dengan masyarakat berpendapatan rendah. Anak-anak dari keluarga elit, mendapat tempat pengajian di universiti elit dan memiliki ijazah daripada universiti elit; meletakkan mereka berada jauh ke hadapan dalam persaingan untuk mengisi jawatan-jawatan utama di tempat-tempat pekerjaan yang ternama. Keadaan lebih memberatkan jika anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, perlu melakukan pinjaman kewangan untuk membiayai pengajian tinggi dan setelah tamat pengajian, mereka gagal mendapat pekerjaan atau sekadar mendapat pekerjaan yang memberikan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyara hidup dan membayar semula pinjaman. Mereka terperangkap dalam putaran ganas yang berpotensi meletakkan status mereka berada lebih miskin daripada sebelumnya.

9. Di serata dunia sedang berlaku polemik tentang arah haluan kemudahan pengajian tinggi, perdebatan di antara pendidik dengan usahawan, perdebatan antara kumpulan idealis yang mengutamakan agenda perkembangan ilmu dengan kumpulan usahawan yang melihat peluang komersialisasi. Program kemudahan dan akses pengajian tinggi sedang berhadapan dengan tiga persoalan utama;

Pertama: bagaimanakah kemudahan pengajian dapat diakses oleh seramai mungkin pelajar.

Kedua: bagaimanakah penyebaran ilmu dapat dioptimumkan penyebarannya seluas mungkin untuk memastikan tidak ada pelajar berlatarbelakangkan status sosioekonomi yang rendah dinafikan peluang mendapatkannya disebabkan yuran pengajian yang di luar kemampuan mereka.

Ketiga: bagaimanakah diimbangkan falsafah asal program pendidikan dengan kepentingan komersial yang dilihat memberi kelebihan kepada pelajar yang berlatarbelakangkan status sosioekonomi yang tinggi.

10. Formula ajaib diperlukan untuk menangani tiga persoalan tersebut. Sejarah membuktikan bahawa perubahan-perubahan signifikan yang berlaku di dunia, dicetuskan oleh individu-individu yang memiliki nilai murni dan wawasan jauh; individu-individu yang berfikiran inovatif, individu-individu yang membawa minda mengembara keluar daripada kotak pemikiran konvensional, individu-individu yang berani memperkenalkan pembaharuan secara radikal.

11. Stanford University ialah sebuah universiti berstatus elit bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di seluruh dunia baik dalam bidang liberal arts dan kemanusiaan, begitu juga dalam bidang sains dan kejuruteraan. Stanford University mempunyai ikatan sejarah dengan Lembah Silicon, menjanakan mitos sebagai tempat kelahiran inovasi. Presiden Stanford yang kesepuluh, John Hennesy, seorang saintis komputer, sering kali dirujuk sebagai “godfather of Silicon Valley”[1]. Dunia dihadiahkan dengan industri-industri bioteknologi dan recombinant DNA oleh para saintis dari Stanford[2]. Barisan profesor yang berwawasan telah membantu graduan Stanford melancarkan syarikat-syarikat ikonik seperti Hewlett-Packard[3]. Sergei Brin dan Larry Page adalah lulusan Stanford yang mengasaskan jentera pencarian Google yang pertama (Google first search engine)[4].

12. Profesor Sebastian Thrun mengajar subjek ‘artificial intelligence’ di Stanford. Saiz kelas beliau di Stanford terbatas untuk menampung 200 orang pelajar bagi setiap semester pengajian. Sebastian Thrun merasakan kaedah pengajaran secara konvensional telah tidak mengoptimumkan manfaat penyebaran ilmu. Pada tahun 2011, Sebastian Thrun menawarkan kursus ‘artificial intelligence’ secara percuma melalui talian dengan jaminan bahawa taraf penguasaan ilmu dan standard kelulusan pelajar adalah setaraf dengan pelajar yang mengikuti pengajian di dalam kampus. Seribu (1,000) orang mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam tempoh beberapa jam selepas tawaran kursus diiklankan dan mencecah angka 5,000 orang pada keesokan harinya. Angka pendaftaran terus meningkat dan kerana kebimbangan berlakunya over-loading terhadap server Stanford’s Web, pendaftaran terpaksa ditutup apabila mencecah angka pendaftaran 160,000 orang. Dua puluh lima ribu (25,000) orang daripada jumlah 160,000 orang yang mendaftar untuk mengikuti kursus secara talian, berjaya menamatkan pengajian dalam satu semester dan memenuhi kriteria untuk dianugerahkan sijil. Angka tersebut memecah rekod pencapaian dan tahap produktiviti seorang profesor kerana berasaskan kaedah pengajaran secara konvensional, beliau memerlukan 125 semester untuk mengilmukan 25,000 orang pelajar[5]. Yang lebih mengejutkan Profesor Thrun, pencapaian pelajar-pelajar yang mengikuti kursus secara talian adalah lebih baik daripada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian secara langsung di bilik kuliah[6]. Ini adalah satu pencapaian besar yang memberikan satu kepuasan luar biasa kepada seorang profesor yang hatinya terpaut kuat dengan falsafah untuk menyebarkan ilmu bagi manfaat seramai mungkin manusia.

13. Profesor Sebastian Thrun telah mencetuskan kaedah pengajaran yang radikal di peringkat pengajian tinggi. Semasa berlangsungnya konferensi Digital-Life-Design 2012 di Munich, apabila Profesor Thrun mara ke podium untuk berucap, para peserta konferensi menjangkakan beliau akan menyentuh subjek berkaitan teknologi dan kejuruteraan robotik yang terkini. Di sebaliknya beliau telah memilih konferensi di Munich untuk bercerita tentang kaedah pendekatan pengajaran yang beliau lakukan eksperimennya di Stanford University yang berpotensi mencetuskan revolusi terhadap dunia pendidikan tinggi[7].

14. Di samping, Sebastian Thrun, Profesor Daphne Koller dan Profesor Jennifer Woldon di Stanford Universiti turut melakukan eksperimen dan eksplorasi membuka peluang pengajian secara lebih luas dengan menggantikan kaedah pengajaran berbentuk bilik kuliah kepada kaedah pengajaran yang menggunakan teknologi internet. Di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Profesor Anant Agarwal dalam hasrat menangani bilangan permintaan yang terus membanjir, telah memperkenalkan versi talian untuk kursus ‘Pengenalan Kejuruteraan Elektrik’ melalui Open-CourseWare (OCW) Web site[8]. Meskipun ketika ini para pelajar yang mengikuti kursus secara talian tidak diberikan ‘kredit MIT’, namun pihak MIT sedar bahawa sesuatu perubahan besar sedang berlaku dalam dunia pendidikan tinggi apabila 150,000 orang pelajar mendaftar dan mengikuti kursus tersebut secara talian. Presiden Emeritus dan Profesor Kejuruteraan Elektrik MIT (1990-2004) telah menyediakan bahan-bahan kursus MIT secara percuma yang boleh diakses oleh masyarakat di serata dunia melalui Web browser. Di Lembah Silicon, Salman Khan, seorang analis kewangan telah menyediakan bahan pengajaran matematik melalui video di Youtube kepada jutaan penonton. Di Kanada, George Siemens telah menawarkan Massive open online courses (MOOCs) kepada pihak-pihak yang berminat dalam kegiatan-kegiatan penyelidikan pembelajaran. Pemenang Nobel Carl Wieman dari Universiti of British Columbia sedang melakukan eksperimen untuk menukar kaedah pedagogi yang beliau anggap terkurung dalam sebuah gedung pengeluaran dan bersifat dingin kepada pedagogi pengajaran yang lebih bersifat interaktif untuk membolehkan pelajar berfikiran secara seorang saintis, ekonomis atau sosiologis[9].

15. Satu revolusi sedang berlaku dalam dunia pendidikan tinggi. Kaedah pendidikan yang lebih mudah diakses dengan yuran pengajian yang lebih murah sedang dirintis. Malah para pemegang amanah serta lembaga pengurusan beberapa buah institusi pengajian tinggi, kini turut mempersoalkan justifikasi untuk terus melakukan pelaburan besar bagi menambah lebih banyak infrastruktur dewan kuliah dan tenaga fakulti sedangkan manfaatnya hanya terbatas kepada kumpulan terpilih yang kecil bilangannya. Kaedah pembangunan dan perkembangan universiti yang diamalkan sekarang, yang diperkenalkan ratusan tahun dahulu adalah kaedah yang disifatkan telah usang kerana diformulasikan ketika permintaan untuk mendapatkan tempat pengajian tinggi secara relatif adalah jauh lebih rendah daripada bilangan permintaan yang dihadapi ketika ini. Kos penyelenggaraan kampus yang besar dan bilangan tenaga fakulti dan pengurusan yang besar, dianggap sudah tidak bersesuaian lagi dalam era sudah terciptanya teknologi yang mengupayakan ilmu boleh disebar secara lebih luas dan secara lebih ekonomik.

16. Cetusan idea baru dan setiap pendekatan baru, secara semula jadi tidak akan menempuh laluan yang mudah. Tentangan dan bantahan akan dihadapi terutama dari kalangan stakeholders yang berkepentingan. Namun gelombang dan arus perubahan ini semakin membesar. Dinamik yang sedang berlaku ini berpotensi memperkenalkan format dan kontrak sosial baru dalam dunia pendidikan tinggi. Satu anjakan sedang berlaku – satu revolusi sedang dicetuskan oleh pencinta tulen pendidikan yang tidak rela melihat pendidikan menjadi bahan komersial yang memberi kelebihan kepada kumpulan elit dan menidakkan peluang kepada kumpulan masyarakat yang berpendapatan rendah. Satu pendekatan radikal sedang rancak dirintis dan pendekatan radikal ini apabila berjaya akan meningkatkan pendemokrasian program pendidikan secara sejagat. Institusi pengajian tinggi tempatan tidak harus menjadi penonton yang pasif, di sebaliknya wajib mengikuti dinamik yang sedang berlaku ini secara aktif, sambil memikirkan pengubahsuaian dan adaptasi yang harus dilakukan.

17. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada setiap graduan yang telah mencapai kejayaan. Setiap kejayaan adalah anugerah dari ILAHI. Bersyukurlah kepada ILAHI dengan azam dan tekad untuk senantiasa memenuhi perintah ILAHI, melakukan amal makruf – menjauhi segala kemungkaran. Berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan mendoakan kejayaan saudara saudari, hargailah jasa para guru yang telah melaksanakan amanah secara komited lagi berdedikasi; jadikan diri sebagai hamba yang bersyukur akan nikmat, anak yang soleh kepada kedua-dua ibu bapa, murid yang senantiasa mendoakan kesejahteraan para gurunya dan warga yang setia kepada Raja dan Negara. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menunjukkan kita ke jalan yang lurus,

Al Fatihah 1:6

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Richard A. DeMillo, “Revolution in Higher Education”, (Cambridge, Massachusetts: The MIT Press, 2015), 22.
  2. Ibid.
  3. Ibid.
  4. Ibid.
  5. Ibid. 23.
  6. Ibid. 24
  7. Ibid, 21
  8. Ibid, 25
  9. Ibid, 10.
%d bloggers like this: