Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen Peperiksaan Sijil Amalan Guaman kali kesembilan belas.
- Dalam suasana negara diselubungi awan mendung kedukaan menghadapi tragedi malang penerbangan MH 370 pada pagi 8 Mac 2014, melibatkan dua ratus dua puluh tujuh (227) penumpang dan dua belas (12) anak kapal, marilah sama-sama kita bertafakur selama satu minit, berdoa semoga ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diberikan kekuatan menghadapi tragedi duka ini dengan penuh ketenangan dan ketabahan.
- Sejak peperiksaan Sijil Amalan Guaman diperkenalkan pada tahun 1984, seramai sepuluh ribu tiga ratus tiga puluh tiga (10,333) orang telah memenuhi kriteria untuk dianugerahkan Sijil. Dalam tahun 2013, seramai tiga ratus dua puluh tujuh (327) orang lagi telah lulus peperiksaan tersebut. Para lulusan seterusnya akan menjalani sesi latihan dalam kamar (pupillage) atau lebih dikenali dengan istilah ‘chambering’ untuk tempoh sembilan bulan. Proses melayakkan seseorang individu menganggotai profesion guaman telah distrukturkan secara terperinci lagi teliti demi memastikan hanya individu-individu yang berkelayakan dan kompeten diterima sebagai pengamal undang-undang.
- Peperiksaan Sijil Amalan Guaman telah melalui proses evolusi yang ketara. Ia mula diperkenalkan bagi membantu lulusan undang-undang dari United Kingdom, didaftarkan sebagai pengamal undang-undang di Negara ini. Hari ini Peperiksaan Sijil Amalan Guaman telah diiktiraf sebagai sijil kelayakan profesional berprestij.
- Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya’. Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: ‘Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’. PERKARA 5(3) dan PERKARA 8(1) yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh pertama: KEBEBASAN ASASI dan kedua: KESAMARATAAN.
- Kedua-dua PERKARA tersebut merupakan satu piagam negara yang menghargai aspek keadilan; dan jaminan untuk memastikan berlakunya keadilan, jaminan bahawa setiap individu memiliki hak yang sama untuk mendapat keadilan, jaminan untuk memastikan tidak berlaku sebarang penganiayaan kepada mana-mana pihak, jaminan memastikan tidak akan berlaku sebarang kezaliman. Dua PERKARA tersebut diperkukuhkan dan diperlengkapkan dengan pelbagai undang-undang lain, bersandarkan sistem perundangan yang berakarkan COMMON LAW, didukung oleh struktur prasarana perlaksanaan yang moden dan kemudahan yang semakin canggih.
- Namun jaminan keadilan tidak hanya ditentukan atau dapat dijamin melalui dokumen undang-undang secara bertulis, struktur organisasi yang moden dan peralatan yang canggih. Keadilan yang sejati menuntut kepada pelaksanaan perundangan secara telus lagi jujur, dapat diperlihatkan bahawa keadilan benar-benar terlaksana hingga ke tahap meyakinkan rakyat bahawa keadilan itu sebenar-benarnya berlaku dan terbukti berlaku tanpa ragu.
- Majoriti rakyat di negara ini berada dalam kategori berpendapatan rendah. Malah masih ramai rakyat berada dalam kategori miskin. Kos guaman bukannya murah. Bukan sahaja rakyat berpendapatan rendah dan miskin tidak mampu untuk membayar khidmat guaman, malah kos mendapatkan perkhidmatan guaman sering kali berada di luar kemampuan kalangan rakyat kelas menengah dan kelas menengah rendah. Keadilan sudah pastinya tercicir sekiranya khidmat guaman hanya berpihak kepada kelas masyarakat berpendapatan tinggi dan kumpulan elit di dalam negara.
- Jika khidmat guaman hanya dapat diperoleh oleh kumpulan atasan, akan berlaku senario dua darjat dalam pengurusan keadilan. Akibatnya yang miskin berakhir menjadi mangsa yang kaya, ibarat mentimun yang kalah dengan durian, digolek luka – menggolek pun luka. Oleh itu akses untuk mendapatkan khidmat guaman kepada semua pihak tanpa diskriminasi adalah faktor penting dalam hasrat mahu memastikan berlakunya pengurusan keadilan secara saksama.
- Peguam, Penulis dan Penganalisis Undang-undang CNN, Jeffrey Toobin, (graduan tahun 1986 daripada Harvard Law School), ketika menyampaikan syarahan kepada kelas Harvard Law School tahun 2013 antara lain menyatakan;Quote:
“ …A Study of women seeking restraining orders found that eighty-three per cent of those with lawyers secured an order while only thirty-two percent of those without lawyers got them. Tenants represented by lawyers are three to nineteen times more likely to beat their landlords in eviction cases;…people facing foreclosure and eviction are dramatically more likely to be able to keep their homes if they are represented by a lawyer.”
Unqoute.
- Dilaporkan bahawa lapan puluh peratus tertuduh di dalam kes-kes jenayah di negara tidak diwakili oleh peguam disebabkan faktor kewangan. Langkah Majlis Peguam menubuhkan Pusat Bantuan Guaman dalam tahun 1983 adalah satu langkah dan usaha untuk membantu golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah mendapat kesaksamaan keadilan. Usaha yang dirintis oleh Majlis Peguam sejak 31 tahun lalu, bersedia mengambil satu tanggung jawab sosial dan tanggung jawab hak asasi, ketika istilah Corporate Social Responsibility masih belum di uar—uarkan, adalah langkah murni yang wajib direkodkan dengan penuh penghargaan. Ia adalah satu usaha yang mengatasi retorik, mencerminkan komitmen Majlis Peguam untuk mendokong prinsip bahawa bantuan guaman merupakan satu hak asasi setiap insan.
- Di pihak Kerajaan, Biro Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada tahun 1970 dan telah ditingkatkan bertaraf Jabatan sejak 16 Januari 2010; berperanan mengendalikan prosiding jenayah, membantu rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapat khidmat peguam swasta dalam kes-kes rayuan untuk meringankan hukuman bagi tertuduh yang mengaku bersalah, prosiding berkaitan jenayah kanak-kanak serta prosiding sivil dan syariah.
- Akses mendapat khidmat guaman di kalangan rakyat berpendapatan rendah, kini semakin diperluaskan. Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah dilancarkan pada 25 Februari 2011. Ia satu komitmen penting Kerajaan melalui satu keputusan politik yang berani. Keputusan politik yang berani wajib diperkukuhkan melalui gerak kerja yang dinamik dan pencapaian yang meyakinkan, agar penubuhan YBGK tidak akan dipersendakan sekadar satu nama besar tetapi hanya berupaya melaksanakan kerja kecil. YBGK hendaklah dipastikan berjaya memberi impak, mencetuskan satu perubahan signifikan lagi positif dalam menegakkan keadilan di negara ini. Keyakinan terhadap keberkesanan peranan YBGK akan memberikan imej positif rakyat bukan sahaja terhadap sistem perundangan tetapi terhadap Kerajaan secara keseluruhannya. Oleh itu, para pendukung YBGK walaupun berhadapan dengan cabaran tetapi turut berpeluang untuk mencipta dan melakarkan sejarah kejayaan melalui sistem penyampaian dan khidmat guaman berkualiti tinggi.
- Pencapaian awal YBGK amat menggalakkan. Sejak beroperasi, dilapurkan 1,075 orang telah tampil melibatkan diri sebagai panel peguam; sementara dalam tahun 2013 sahaja, 140,761 orang telah mendapat manfaat bantuan guaman di seluruh negara.[1] Rancangan YBGK untuk meluaskan skop terhadap kes-kes keganasan rumah tangga apabila berjaya diimplementasikan, pastinya akan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat terutama wanita yang sering kali menjadi mangsa.
- Negara Maju adalah negara yang memberikan penekanan terhadap pemerintahan yang berteraskan undang-undang. Pemerintahan yang berteraskan undang-undang, jangan diizinkan tergantung sebagai slogan yang terapung. Ia harus direalisasikan – ia hendaklah ketara kelihatan dilaksanakan, terutama dalam era negara sedang menghadapi konstituen rakyat yang semakin literate.
- Pelaksanaan undang-undang secara adil – secara saksama – secara telus hingga berjaya meyakinkan rakyat adalah pendekatan preventif paling penting, menghindarkan rakyat daripada memilih untuk berdemonstrasi dan berarak di jalan-jalan raya kerana mahu menuntut perlaksanaan keadilan secara lebih telus dan lebih berintegriti. Oleh itu Mahkamah dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam urusan Mahkamah, sama ada Hakim, Pendakwa dan Peguam Bela mempunyai tanggung jawab sangat kritikal untuk menjamin demokrasi dapat disuburkan dan integriti pemerintahan awam dalam sesebuah negara dapat dipertahankan. Rangkaian hubungan profesional dan semangat saling menghormati antara tiga entiti utama, Institusi Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam adalah amat penting dipupuk; dan penghormatan itu tidak datang bergolek, ia perlu diusahakan melalui amalan integriti dan etika profesional yang tinggi.
- Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para lulusan yang telah memenuhi kriteria dan seterusnya layak dianugerahkan Sijil Amalan Guaman. Semoga bakal pengamal guaman yang berada di Dewan ini terdiri daripada kalangan angkatan muda dan barisan baru akan memenuhi peranan dan tanggung jawab kepada anak guam dengan komitmen dan dedikasi yang tinggi. Wakililah anak guam sebaik mungkin; berhujahlah dengan penuh berhemah lagi bijaksana. Keadilan sejati hanya dapat dicapai melalui sifat integriti yang tinggi, melalui sifat-sifat kejujuran dan keikhlasan. Hindarkan dari melakukan sesuatu hingga memungkinkan tercicir keadilan serta menghalalkan berlakunya kezaliman. Ajaran Islam memperingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu, tidak ada dinding dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala.
- Beta turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia di atas peranan dan komitmen, berusaha memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini berada di tahap tinggi; peranan dan komitmen tersebut sewajarnya diberikan penghargaan dan apresiasi.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- Abdul Gani Patail, “Speech at the Opening of the Legal Year 2014”, 11 January 2014. ↑