Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen kali ketujuh belas, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.
2. Tiga ratus tujuh puluh tiga (373) calon pada tahun 2011, telah lulus peperiksaan profesional, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, memenuhi kriteria untuk dianugerahkan Sijil Amalan Guaman. Sejak diperkenalkan, Sijil Amalan Guaman telah menetapkan kriteria penilaian yang tinggi lagi berintegriti demi menjamin Sijil yang dianugerahkan memenuhi status kelayakan profesional yang diiktiraf dalam profesion undang-undang. Disiplin pemarkahan dan penilaian yang tinggi ini, penting dipertahankan tanpa sama sekali dilakukan sebarang kompromi dan tidak harus sama sekali membenarkan apa juga bentuk campur tangan luar, demi menjamin pengamal undang-undang yang berwibawa dapat terus dihasilkan di negara ini.
3. Minat terhadap profesion undang-undang di negara ini tidak pernah luntur. Sembilan ratus empat puluh dua (942) orang telah diterima sebagai peguam bela dan peguam cara dalam tahun 2009. Bilangan yang diterima dalam tahun 2011, meningkat kepada 1,247 orang. Bilangan pengamal undang-undang di Malaysia turut meningkat dari 12,800 dalam tahun 2009 kepada 14,050 dalam tahun 2011. Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat disiplin-disiplin pengajian baru yang diperkenal dan ditawarkan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi, bersesuaian dengan kehendak dan perkembangan semasa, profesion peguam, yang merupakan antara profesion yang tradisional atau konvensional, terus menjadi pilihan popular.
4. Pertambahan dari segi kuantiti tidak bermakna, jika kualiti para pengamal undang-undang kini semakin banyak diperkatakan. Sebagai insan biasa, para peguam tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran, dugaan dan godaan. Jika pengamal undang-undang gagal menangani cabaran, dugaan dan godaan secara bijak, reputasi saudara saudari bukan sahaja boleh tercemar secara peribadi, malah saudara-saudari turut membawa aib kepada profesion pengamal undang-undang.
5. Saudara saudari wajar mengambil iktibar akan kes-kes salah laku yang melibatkan profesion peguam yang pernah berlaku. Amalkanlah segala nilai murni, etika, kesopanan dan peradaban yang telah diajar dan dipelajari selama ini; jadikannya sebagai penyuluh menemui jalan yang benar agar amanah dapat dilaksanakan secara telus lagi adil. Etika amalan guaman berhubung perilaku dan keterampilan seseorang peguam, perlu dihayati, dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya, tidak sekadar dihafal bagi tujuan menjawab soalan peperiksaan untuk memperoleh sekeping ijazah.
6. Di samping itu, para peguam tidak seharusnya cepat berpuas hati atau berasa selesa dengan pencapaian di tahap ini. Agenda pembelajaran sepanjang hayat telah ditetapkan sebagai salah satu tunggak utama dalam program pembangunan modal insan negara. Daya saing global serta kepelbagaian keperluan negara masa kini, mengehendaki barisan peguam yang kompeten, barisan peguam yang senantiasa berusaha memperoleh, memperbaharui dan memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
7. Negara sedang dalam proses memperkenalkan liberalisasi kepada sub-sektor perkhidmatan undang-undang. Penyertaan warga asing dalam perkhidmatan-perkhidmatan profesional turut merangkumi perkhidmatan undang-undang. Langkah ke arah liberalisasi kini merupakan satu keperluan, terutama dalam usaha mahu meyakinkan pelaburan langsung asing begitu juga dalam usaha mahu meningkatkan daya saing negara. Kehadiran firma undang-undang asing dan perkongsian antarabangsa bakal mengubah landskap atur urusan undang-undang negara. Para peguam perlu bersedia menghadapi persekitaran kerja yang berpotensi berubah secara dramatik. Bekalkanlah diri masing-masing dengan kepakaran – dengan kemahiran, selaras dengan trend permintaan dan keperluan perkhidmatan undang-undang masa kini. Teknologi maklumat hendaklah dimanfaatkan secara intensif serta dijadikan instrumen memenuhi keperluan pembelajaran sepanjang hayat. Penggunaan laman web dan portal, e-pembelajaran, pembelajaran maya, pembelajaran jarak jauh dan sebagainya adalah antara kaedah yang boleh dipraktikkan dalam usaha memperkayakan ilmu dan meningkatkan kemahiran.
8. Perkhidmatan undang-undang dijangka akan mengikuti aliran perdagangan semasa yang memperlihatkan peralihan daripada barat ke timur. Penubuhan firma undang-undang antarabangsa yang terkenal berserta kehadiran pengamal undang-undang antarabangsa yang semakin bertambah di rantau Asia, adalah antara petanda bahawa gelombang liberalisasi turut sampai di persisiran negara kita. Barisan profesional undang-undang di negara ini mestilah bijak mengatur langkah dalam menghadapi gelombang liberalisasi ini. Liberalisasi perkhidmatan undang-undang hendaklah diterima secara positif. Para peguam di negara ini, hendaklah menghadapi cabaran baru ini secara berani – secara gigih, dengan melakukan persediaan rapi lagi bijaksana, agar daya saing dalam persekitaran yang sihat dapat ditingkatkan.
9. Beta mengikuti usaha-usaha pelbagai pihak mahu memperbaharui, menyemak dan mengkaji semula undang-undang negara untuk dikemaskinikan selaras dengan senario dan tuntutan semasa. Pengumuman untuk memansuhkan dan cadangan untuk meminda undang-undang tertentu, telah menarik perhatian ramai pihak. Perdebatan berlaku di pelbagai peringkat – di pelbagai forum. Penubuhan jawatankuasa khusus untuk mengkaji dan mendapatkan pandangan menyeluruh dari warga di pelbagai peringkat, terutamanya di kalangan pihak-pihak yang berkepentingan, berhubung penggubalan undang-undang baru atau undang-undang pindaan, merupakan trend sihat yang dapat membantu memperkukuhkan budaya demokrasi negara. Semoga segala perkembangan ini berlangsung dalam semangat ke arah membina imej positif dan dalam usaha mempraktikkan amalan demokrasi yang lebih tulen di negara ini selaras dengan tuntutan dan perkembangan alaf semasa.
10. Dalam pada itu, setiap pihak yang terlibat untuk menentukan masa hadapan negara, hendaklah senantiasa mengambil ingatan akan keunikan senario setempat, terutama faktor-faktor yang berkait langsung dengan sejarah dan budaya, keselamatan negara, ketenteraman awam dan perpaduan warga yang tidak boleh sama sekali dikorbankan semata-mata atas nama liberalisasi. Acuan budaya setempat tidak harus sama sekali diketepikan hingga mengizinkan berlakunya situasi yang dikejar tidak kesampaian, yang dikendong keciciran. Ahli-ahli politik di kedua-dua belah pihak sama-sama mempunyai tanggungjawab nasional yang serupa, demi menjamin kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, makmur dan sejahtera. Faktor kelangsungan sebuah sistem demokrasi yang lestari berteraskan sejarah dan budaya setempat amat penting dipertimbangkan dari sekadar matlamat untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.
11. Dengan adanya sesi perjumpaan dan perbincangan, penggubal dasar dan penggubal undang-undang berpeluang mendengar secara langsung maklum balas dari pelbagai pihak, untuk diimbangkan pelbagai pandangan, ketika melakukan kerja-kerja penggubalan. Ini dapat memastikan undang-undang yang digubal adalah komprehensif, relevan, bertepatan bagi tujuan yang dihasratkan, serta paling pentingnya, adalah selaras dengan peruntukan undang-undang utama negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Walaupun proses ini lebih rumit dan memakan masa lebih lama, namun ianya merupakan pendekatan terbaik, yang akan dapat menangkis apa-apa persepsi negatif terhadap undang-undang baru yang bakal diperkenalkan atau bakal dipinda. Beta percaya produk undang-undang yang dihasilkan melalui kaedah musyawarah, kaedah konsultasi dan kaedah bermuafakat, akan lebih mantap – lebih kemas sifatnya; di samping dapat meminimumkan kontroversi, serta lebih mudah diterima dan dihargai oleh warga yang mahu melihat dan diberikan jaminan bahawa keadilan akan berlangsung secara lebih saksama dan lebih telus.
12. Beta mengucapkan setinggi tahniah kepada para lulusan. Semoga saudara saudari akan memberikan sumbangan terbaik kepada profesion undang-undang agar ianya terus dipandang mulia. Beta merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, atas ketekunan dan komitmen dalam hasrat dan usaha membentuk barisan peguam yang berkaliber – barisan peguam yang dapat memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada warga dan negara. Semoga segala usaha murni ini mendapat rahmat dan petunjuk ILAHI.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************