Majlis Memperingati Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

2. Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang terkandung dalam Ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]

3. Demikian kalam ILAHI yang menentukan saat kelahiran dan detik kematian seseorang insan. Bila sampai waktunya, tidak berupaya manusia menangguhkannya. Tersurat sudah, pada hari Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah menyahut seruan ILAHI.

4. Beta amat menghargai Majlis yang dianjurkan oleh Universiti Malaya bagi memperingati Paduka Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. Atas nama peribadi Beta sebagai Anakanda kepada Almarhum serta bagi pihak Paduka Bonda Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan seluruh anggota keluarga, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Universiti Malaya yang telah mengambil daya usaha menganjurkan Majlis yang sangat bermakna dan amat bererti kepada keluarga Almarhum. Beta menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil yang telah menyampaikan pidato peringatan, mewakili pelbagai konstituen termasuk pemidato jemputan dari National University of Singapore.

5. Paduka Ayahanda Beta mempunyai memori yang nostalgik dan hubungan yang lama dengan Universiti Malaya. Pada tahun 1976, Hakim Raja Azlan Shah berperanan sebagai pemeriksa luar bagi ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya. Dalam Istiadat Konvokesyen bertarikh 30 Jun 1979, Universiti Malaya telah menganugerahkan Hakim Raja Azlan Shah, Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan. Sewaktu menyampaikan Pidato Penghargaan Graduan Kehormat, Hakim Raja Azlan Shah telah menyentuh perkara pokok mengenai prinsip-prinsip asas formula penubuhan sebuah Negara bernama Malaysia. Mesej utama yang terkandung dalam Pidato tersebut menyentuh aspek-aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman; akan pentingnya negara memiliki Badan Kehakiman yang bebas lagi berkecuali; dan Mahkamah hendaklah hanya mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran.[2] Pidato tersebut diakhiri dengan peringatan berikut:

Petikan:

“Untuk menjadi masyarakat Malaysia suatu masyarakat yang kuat, dinamik dan tahan lasak, maka seluruh masyarakat di dalamnya perlulah bersatu padu di bawah satu bendera, bendera Malaysia; di bawah satu Ketua Negara, Yang Dipertuan Agong; di bawah satu bahasa, Bahasa Malaysia; di bawah satu lagu, lagu Negaraku; di bawah satu kebudayaan, kebudayaan yang berteraskan kebudayaan Melayu; dan di bawah satu lambang, “Bersekutu Bertambah Mutu”.[3]

6. Pidato yang dizahirkan pada 30 Jun 1979 itu, adalah satu antisipasi, satu peringatan yang telah mendahului waktunya, khusus ditujukan kepada warga di negara ini. Dalam suasana semasa negara yang warganya semakin sehari semakin cenderung mencetuskan isu-isu sensasi hingga semakin menjejaskan hubungan harmoni di kalangan warga malah semakin berpotensi mencetuskan konflik hubungan antara kaum dan antara agama, Pidato tersebut amat wajar dikunjungi semula, dijadikan sumber peringatan – dijadikan bahan rujukan.

7. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diperkenankan lantikan sebagai Canselor Ketiga Universiti Malaya oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Kelapan berkuat kuasa 8 Februari 1986; lantikan tersebut telah di isytiharkan dalam Istiadat Konvokesyen yang berlangsung pada pagi Sabtu, 9 Ogos 1986; pengisytiharan yang turut disaksikan oleh 51 orang wakil universiti dan institusi dari dalam dan luar negara, di samping 211 universiti dan institusi telah mengutus perutusan tahniah.[4] Selama 28 tahun sebagai Canselor, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berangkat menzahirkan titah pada setiap Istiadat Konvokesyen daripada tahun 1986 sehingga tahun 2011; disebabkan kegeringan, Almarhum telah tidak berangkat pada Istiadat Konvokesyen tahun 2012 dan 2013. Dalam 26 Titah Konvokesyen yang dizahirkan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah secara konsisten menegaskan pentingnya Universiti merangka kandungan pendidikan yang holistik, merangkumi aspek-aspek agama, intelek, nilai-nilai murni dan integriti agar Universiti dapat menghasilkan graduan berilmu, beretika, berakhlak mulia, bertanggung jawab serta berkeupayaan, dan pada setiap masa bersifat jujur lagi ikhlas agar mendapat keredaan ILAHI.

8. Semasa menzahirkan titah sempena Istiadat Konvokesyen bertarikh 1 Ogos 1987, Sultan Azlan Shah telah menegaskan pentingnya dipastikan Universiti memiliki autonomi pengurusan akademik;

Petikan:

“Dari segi sejarah, kita boleh perhatikan di negeri-negeri di mana pihak luar cuba campur tangan dalam pengurusan akademik sesebuah universiti, maka mutu akademiknya telah merosot dan sukar hendak diperbaiki bukan sahaja di dunia ketiga tetapi di negeri yang telah maju. Beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik dan orang kenamaan lain di dalam masyarakat kita supaya tidak cuba mengarah atau mempengaruhi ataupun melobi pihak universiti dalam hal ehwal akademik”.[5]

Titah tersebut dizahirkan 27 tahun yang lalu. Namun kata-kata peringatan tersebut adalah mutiara kata yang wajib dijadikan pedoman demi menjamin mutu akademik universiti tidak dikorbankan oleh faktor-faktor bukan akademik.

9. Majlis ini adalah manifestasi menzahirkan penghargaan dan ingatan warga Universiti Malaya kepada seorang insan yang telah memberikan naungan pimpinan kepada Universiti selama 28 tahun. Penghargaan dan ingatan yang lebih abadi adalah secara menghayati segala kata bimbingan yang telah Almarhum zahirkan untuk dijadikan amalan. Semoga setiap kata bimbingan yang diterjemahkan berbentuk amalan, akan turut diterima ILAHI sebagai sebahagian daripada amal soleh yang dialirkan ganjaran kebaikan kepada roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

10. Dalam Istiadat Konvokesyen yang berlangsung pada 9 September 1989, dengan limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Beta telah diisytiharkan sebagai Pro Canselor Universiti Malaya. Semasa bertitah di Istiadat Konvokesyen tersebut, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah menzahirkan pantun berikut:

Petikan:

“Petik nanas di tepi jambatan

Putus benang ikatan baldu

Terbang undan ke tanah seberang

Kalung emas bertatah intan

Semakin dikenang bertambah rindu

Semakin berjauhan bertambah sayang”

11. Demikian rasa rindu yang kini terasa, terutama oleh anggota keluarga dan ingatan kasih sayang yang semakin sehari semakin mendalam. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah meninggalkan kita, menyahut panggilan ILAHI. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 39 Surah Al-Mu’min bermaksud:

“….,sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.”[6]

12. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah kini berada di alam barzakh. Semoga roh Almarhum dilimpahkan rahmat dan kasih sayang ILAHI. Beta pohonkan segala keikhlasan untuk sama-sama kita membaca Surah Al-Fatihah, dan apa juga ganjaran yang dikurniakan ILAHI daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. AL-FATIHAH.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran: Surah Al-Anbiya (21:35)
  2. Raja Azlan Shah, “Pidato Penghargaan Graduan Kehormat”, Universiti Malaya, 30 Jun 1979.
  3. Ibid.
  4. Warta Universiti ISSN 0126-6292, Universiti Malaya, Bil 23, Disember 1986
  5. Titah Canselor, 1 Ogos 1987
  6. Al-Quran, Surah Al-Mu’min (40:39)
%d bloggers like this: