Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1425 Hijrah.
3. Al-Quran adalah kalam Allah Yang Maha Agung. Kitab suci yang memiliki segala keistimewaan. Ianya tersusun dalam bahasa yang indah dengan sebaik-baik perkataan; dibaca dengan pelbagai olahan lagu dan suara, menggemakan satu kesyahduan yang menyentuh setiap hati. Jika sembahyang dianggap sebesar ibadat dari segi gerak laku dan perbuatan, membaca Al-Quran merupakan ibadat paling utama dari segi bacaan. Mendengar bacaan Al-Quran adalah satu ibadat – satu rahmat, seperti yang dimaksudkan dalam Surah Al-An’am, ayat 155,
“Dan ini sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya), Oleh itu hendaklah kamu menurutnya; dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat”
4. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam untuk menjadi pegangan seluruh umat Islam. Adalah menjadi kewajipan setiap umat yang menerima ketauhidan ILAHI serta amalan dan ajaran Rasul Junjungan untuk memelihara dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda sebagaimana maksudnya:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana jika kamu berpegang kepada keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah”
5. Al-Quran adalah lambang kebesaran ilmu. Al-Quran adalah tanda – bukti bahawa Islam adalah agama yang berteraskan ilmu. Umat Islam pernah mencatat sejarah agung sebagai umat yang gagah lagi dihormati kerana mereka menguasai ilmu. Ketika itu umat Islam hebat dalam bidang perdagangan – perkasa di medan peperangan. Umat Islam pernah menakluki dan membina Empayar. Ketika manusia menyambut milenium yang sebelumnya, umat Islam berada dalam kedudukan yang kuat, tetapi apabila manusia menyambut milenium yang baru lalu, umat Islam berada dalam kedudukan yang paling lemah.
6. Penindasan yang dilalui oleh umat Islam baik di Palestin, di Afghanistan, di Iraq dan di mana juga, berlaku kerana umat Islam sudah hilang kekuatan. Iraq boleh ditumbangkan dalam masa hanya tiga minggu. Kebanyakan Negara Islam berada dalam keadaan rapuh yang kedaulatannya boleh dihapuskan oleh kuasa besar. Kejadian di Penjara Abu Gharib, Baghdad adalah satu penghinaan yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa terhadap kumpulan yang dikuasai.
7. Dalam sejarah keagungan Islam, kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang menjadi pelindung pada tradisi keilmuan dan pemikiran. Umat Islam memerlukan pendekatan kepimpinan dan hala tuju kepimpinan yang menghargai, membangun dan mengembangkan budaya ilmu dan budaya pemikiran. Persekitaran negara yang mengutamakan perkembangan ilmu dan perkembangan pemikiran akan dapat membantu pembangunan intelek yang menjadi faktor utama membina kekuatan ummah dan kekuatan negara.
8. Umat Islam berjumlah 1.3 bilion. Penganut yang berjumlah sedemikian ramai tidak memberi erti jika majoriti umat Islam masih dan terus berada dalam keadaan yang lemah, miskin dari segi kebendaan dan miskin dari segi pengetahuan. Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi kesemua 57 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), yang sebahagian dari negara tersebut dianugerahi ILAHI dengan kekayaan sumber minyak, tidak pun sampai satu pertiga dari KDNK Negara Jepun, sebuah negara yang perlu mengimport minyak bagi keperluan mereka.
9. Penguasaan ilmu di kalangan umat Islam tidak sampai ke tahap yang mengupayakan mereka untuk menyediakan senjata canggih, perisikan satelit, teknologi senjata jarak jauh menggunakan komputer, senjata tepat untuk mempertahankan diri bagi menghadapi peperangan yang berbentuk digital, kerana peperangan di abad ini dan akan datang tidak lagi bersandarkan kepada kekuatan kuda, bersenjatakan panah – bersenjatakan pedang.
10. Oleh itu penghinaan yang dilakukan terhadap saudara-saudara Islam di Penjara Abu Gharib hendaklah menjadi penggerak kepada anak-anak muda Islam untuk menimba ilmu supaya menjadi lebih pintar, lebih bijak, lebih canggih dan lebih maju. Jadikanlah kisah penghinaan di Penjara Abu Gharib sebagai peringatan ILAHI untuk menginsafkan umat Islam supaya lebih bersungguh membongkar segala rahsia – segala ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran dalam hasrat membina barisan ummah yang lebih gagah dan lebih perkasa, berlandaskan penguasaan ilmu, dan tidak lagi secara pendekatan kurang bijak melalui kumpulan berani mati ataupun ‘suicide bomber’ yang mangsa mereka juga terdiri dari orang awam, wanita serta kanak-kanak yang lemah lagi tidak berdosa.
11. Jadikanlah kitab suci Al-Quran sebagai inspirasi, membuka hati – membuka minda kepada kecenderungan mendalami ilmu supaya umat Islam dapat membina keyakinan dan keberanian, kekuatan dan keperkasaan, menebus ummah dari penghinaan, mengembalikan zaman keagungan yang pernah tercipta.
12. Majlis menghafaz Al-Quran adalah satu usaha untuk merapatkan ummah dengan Al-Quran di samping usaha untuk memelihara keutuhan dan kesucian Al-Quran terus terjamin sepanjang masa. Para Hafiz dan Hafizah adalah penyelamat dan penjaga bagi memelihara kesahihan kitab suci Al-Quran. Usaha-usaha sokongan – usaha-usaha pelengkap perlu dilaksanakan secara bersungguh, secara teratur dan secara berkesan demi memastikan mukjizat yang terkandung dalam kitab Al-Quran dapat memberi erti dan makna supaya ummah dapat dipersiapkan untuk menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Semoga Al-Quran dan ajarannya dapat memandu ummah dan dijadikan pedoman kehidupan yang mendapat keredaan duniawi dan ukhrawi.
13. Dengan lafaz BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM, Beta dengan ini merasmikan majlis menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1425 Hijriah.
Wabillahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***************