Majlis Munaqasyah Falak: Pengkisahan Tokoh Falak Almarhum Tuan Haji Mohd Khair Bin Haji Mohd Taib

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam begitu juga ke atas keluarga dan semua pihak yang menerima kepimpinan Baginda.

2. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izinNya kita dapat hadir di majlis munaqasyah yang mulia ini sebagai bukti kesungguhan cita-cita kita untuk memahami Islam sebagai cara hidup, mengamalkan segala isi kandungannya serta menyebarkannya dan seterusnya mempertahankannya apabila ia dipermainkan oleh musuh-musuhnya.

3. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala menerima majlis kita pada hari ini sebagai sebahagian daripada amal jariah yang ada ganjarannya di dunia dan akhirat nanti.

4. Lipatan sejarah telah mencatatkan seribu satu macam liku-liku kehidupan yang telah dilalui oleh setiap tokoh. Sejarah sepatutnya tidak hanya dilihat dari sudut fakta, tarikh dan nama sahaja kerana sejarah pada hakikatnya, mengandungi penelitian dan usaha mencari kebenaran, penjelasan yang halus tentang sebab dan asal sesuatu, pengertian dan pengetahuan tentang substansi, esensi, dan pengetahuan tentang bagaimana dan sebab terjadinya peristiwa-peristiwa.

5. Buku-buku sejarah, tidak terkecuali dari catatan peristiwa yang tidak benar dan tidak tepat. Malah kadang-kadang, ia direka hanya semata-mata sebagai penyedap kisah. Akhirnya kisah itu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi hingga ia menjadi pegangan hingga tidak mampu diganggu – gugat. Maka akan lahirlah satu generasi yang bertaqlid buta dengan tradisi yang sudah bercampur-gaul di antara yang haq dan bathil, yang putih dan hitamnya. Generasi taqlid buta inilah yang menjumudkan tradisi ilmu dan membekukan aliran pemikiran. Di masa yang sama pula, akan wujud satu golongan yang mendabik dada sebagai aliran pemodenan yang cuba membuka pintu pemikiran-pemikiran seluas mungkin seolah-olah tiada penghujungnya. Akal diletak sebagai hakim kata pemutus, tanpa dirujuk pada wahyu Ilahiyyah dan sunnah an-Nabawiyyah. Maka berlakulah pertembungan dua pihak yang akhirnya akan hanya merugikan umat Islam seluruhnya.

 

6. Sejarah bukan setakat sebagai ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk difahami, dinilai, dijadikan pengajaran dan diamalkan. Di dalam surah Yusuf, ayat 111, Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman :

Maksudnya : “ Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka adalah ibrah

( pengajaran ) untuk orang-orang yang berakal.”

7. Ibrah di dalam ayat tersebut telah ditafsirkan oleh Imam al-Qurtubi sebagai peringatan, amaran dan pemikiran.

8. Jelas kepada kita bahawa al-Quran sendiri telah memberikan petunjuk tentang pentingnya untuk kita memahami sejarah untuk kita jadikan ia sebagai ibrah seperti yang telah disebutkan di dalam ayat 111, surah Yusuf tadi.

9. Program Pengkisahan merupakan satu program yang amat baik. Ia adalah satu usaha untuk kita kembali melihat lembaran-lembaran sejarah, usaha perjuangan, pahit jerih dan kesungguhan tokoh yang berusaha mengembangkan dan memperjuangkan satu-satu bidang.

10. Maka melalui program pengkisahan ini, Beta berharap ia akan menjadi satu wadah untuk kita kembali bertafakur dan bertadabbur mengenai segala simpang siur, onak dan duri perjuangan tokoh.

11. Melalui pengkisahan ini juga, Beta berharap usaha-usaha pendokumentasian dapat dilakukan untuk dimanfaatkan sebagai warisan bernilai bagi tatapan generasi akan datang. Ia penting untuk dijadikan sumber kajian dan seterusnya dihalusi dan ditafsiri agar menjadi sumber inspirasi dan panduan dalam membina kehidupan dan mengembalikan semula kegemilangan tamadun umat.

12. Begitu juga dalam setiap kisah-kisah tokoh, kita dapat kembali mentahqiq dan menyaring segala sumber-sumber peristiwa supaya setiap jalur-jalur sejarah itu adalah benar dan haq. Adalah penting untuk kita mengambil dan memaparkan kisah yang sebenar untuk penghayatan kita dan generasi akan datang, supaya kita tidak akan terkeliru dan terus terkeliru oleh kepelbagaian kucar-kacir fakta.

13. Dalam sejarah sains Islam, terlalu banyak fakta telah dikucar kacirkan oleh musuh Islam semata-mata untuk menghilangkan sumbangan yang telah pun diberikan oleh cendekiawan-cendekiawan muslim. Nama-nama seperti al-Khawarizmi, Abu Kamil Syuja’, al-Farghani, al-Battani, ibnu Yunus dan sederetan ahli-ahli sains muslim yang telah menyumbang untuk perkembangan sains cuba dipadam dari catatan sejarah. Suatu masa anak-anak kita lebih mengenali Thomas Edison, Albert Einstein dan Galileo Galilei dari nama-nama yang telah kita sebutkan sebelum ini.

14. Walau bagaimanapun, Beta bersyukur kerana usaha-usaha dari masyarakat Islam kini samada di Malaysia maupun diperingkat antarabangsa untuk mengenengahkan semula sejarah sains Islam telah berkembang. Usaha ini patut diteruskan dan disokong oleh segenap pihak supaya masyarakat Islam maupun bukan Islam akan dapat menghayati dan melihat lembaran sejarah yang haq, yang sebelum ini telah dikuburkan tanpa nesan.

15. Munaqasyah Falak: Pengkisahan Tokoh Falak Almarhum Tuan Haji Mohd Khair bin Haji Mohd Taib sememangnya dilangsungkan tepat pada masanya. Beliau yang sememangnya penuh dedikasi dalam penulisan, ceramah dan setiap usaha dalam memperkembangkan ilmu falak. Di saat masyarakat amat dahagakan ilmu, maka kesempatan yang amat baik ini, perlulah diisi dengan program-program sebegini.

16. Ilmu falak yang merupakan ilmu dari kesatuan fiqh, sains dan sosial mempunyai makna tersendiri pada umat Islam. Ia menunjukkan betapa Islam sangat terbuka dalam menerima kajian-kajian sains dan sosial dalam aspek ibadah. Betapa konsep fleksibiliti yang memudah dan mengatur umat Islam dalam setiap kehidupan akan dapat membawa umat ke arah yang maradatillah.

 

17. Beta berharap munaqasyah ini merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan ilmu falak dan tokoh falak negeri Perak. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berusaha menjayakan munaqasyah ini. Kepada semua peserta dari dalam dan luar negeri pula, Beta doakan agar mendapat manfaat yang maksimum.

18. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Munaqasyah pada hari ini.

**************

%d bloggers like this: