Majlis Pelancaran Buku Keberanian Menggapai Harapan Dan Impian Daripada Ayahku

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, yang menyeru manusia supaya membaca dengan menyebut nama Tuhan Maha Mencipta serta mengajar manusia dengan perantaraan kalam; Dia adalah Tuhan yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.[1] Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

  1. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah dan menyempurnakan Pelancaran Buku Keberanian Menggapai Harapan terjemahan daripada The Audacity of Hope and Dreams From My Father hasil tulisan Barack Hussein Obama. Inisiatif Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersama ZI Publications Sendirian Berhad menterjemahkan buku tersebut wajarlah dihargai. Melalui usaha terjemahan sedemikian, masyarakat setempat yang belum menguasai bahasa Inggeris akan turut berpeluang mengikuti inti pati buku tersebut, akan membantu para pembaca untuk memahami daya serta jalan pemikiran seorang insan bernama Barack Hussein Obama, yang hari ini telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat Amerika Syarikat, dipilih menjadi Presiden keempat puluh empat negara berkenaan.
  2. Institut Terjemahan Negara Malaysia telah diamanahkan untuk memenuhi satu cabang tanggung jawab dalam proses pengembangan ilmu dan penyebaran pengetahuan. Beta disembah maklumkan bahawa dalam 15 tahun usianya, Institut ini bukan sahaja telah berjaya meningkatkan jumlah buku terjemahan merangkumi 901 judul penerbitan, malah Institut ini turut berperanan meningkatkan profesionalisme kerjaya penterjemah di samping memperbaiki corak latihan dalam bidang penterjemahan.
  3. Perangkaan menunjukkan dalam tahun 2008, bilangan buku yang diterbitkan di Malaysia tidak pun sampai 10,000 judul. Negara Jepun dan China mencatatkan rekod penerbitan purata 100,000 judul setahun sementara United Kingdom mencatatkan penerbitan purata 200,000 judul setahun. Dari segi per kapita, Malaysia menghasilkan satu judul bagi setiap 4,000 penduduk berbanding satu judul bagi setiap 300 penduduk di United Kingdom, satu judul bagi setiap 700 penduduk di New Zealand, satu judul bagi setiap 1,000 penduduk di negara-negara Kanada, Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan, satu judul bagi setiap 1,500 penduduk di Amerika Syarikat dan satu judul bagi setiap 2,000 penduduk di Australia.[2] Negara kita bukan sahaja masih rendah dari segi kuantiti menghasilkan penerbitan malah berada di paras yang belum mencapai taraf cemerlang dari segi kualiti bahan-bahan penerbitan yang dihasilkan.
  4. Diperhatikan pula, berlaku trend popular menghasilkan buku-buku politik berunsur destruktif, berlandaskan matlamat jangka pendek politik dan komersial, memilih tema penulisan untuk memburuk-burukkan individu tertentu, diterbitkan secara bermusim yang berkait rapat dengan takwim perjalanan organisasi politik tertentu di dalam negara. Trend sedemikian jika terus berkembang, dibimbangkan akan membina satu budaya penulisan yang tidak sihat; budaya penulisan yang menyuburkan budaya fitnah, budaya penulisan kurang beretika yang sanggup mengetepikan fakta, dan budaya penulisan yang akan membawa pengaruh negatif dalam perkembangan minda warga. Budaya penulisan sedemikian pastinya akan merugikan bangsa dalam jangka masa panjang berbanding dengan apa juga keuntungan singkat yang bermotifkan matlamat sempit kumpulan atau individu tertentu. Budaya penulisan sedemikian pastinya tidak memenuhi roh kalam ilmu yang terkandung dalam surah Al-‘Alaq, surah pertama yang diwahyukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala melalui Malaikat Jibril Alai Wassalam yang berlaku di Gua Hira, ketika Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam diangkat ke martabat seorang Rasul.
  5. Beta disembah maklumkan bahawa Negara bercadang meletakkan sasaran untuk menerbitkan satu judul bagi setiap 1,000 penduduk. Ini adalah sasaran yang ambitious dan baik untuk negara. Jika sasaran ini mahu dicapai, berasaskan bilangan 26 juta penduduk negara, Malaysia perlu menerbitkan 26,000 judul setiap tahun; satu sasaran yang memerlukan tambahan sekurang-kurangnya 16,000 judul penerbitan setiap tahun. Sasaran tersebut jangan ditinggalkan sebagai satu mimpi negara bangsa; di sebaliknya dasar dan imbuhan harus digubal untuk membolehkan impian menjadi realiti dengan didukung oleh program bertindak yang realistik lagi menggalakkan. Impian boleh menjadi realiti jika hasrat dan niat tidak sekadar diumumkan secara retorik tetapi diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang diperkukuhkan dengan komitmen dan kesungguhan di peringkat perlaksanaan. Di samping usaha menggalakkan penghasilan penerbitan tempatan, usaha-usaha terjemahan secara lebih aktif lagi agresif tentunya diperlukan untuk menjadi pelengkap membantu pencapaian sasaran mahu menambahkan bilangan penerbitan.
  6. Kerja-kerja terjemahan yang berjaya dihasilkan memberikan sumbangan penting untuk menambahkan khazanah bahan bacaan; apatah lagi ketika warga masih mempunyai modal intelek yang masih terbatas. Usaha-usaha terjemahan di negara ini telah lama dirintis. Pada tahun 1925, penulis, pemikir dan pengajar, Syed Syeikh bin Syed Ahmad al-Hadi telah menterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu Hikayat Setia Asyik kepada Masyuknya disusuli pada tahun 1928, dengan Hikayat Taman Cinta Berahi, dan Hikayat Anak Dara Ghassan. Selain dari menterjemahkan novel, Syed Syeikh turut menterjemahkan Tafsir Juz Amma, tulisan Muhammad Abduh pada tahun 1927. Melalui terjemahan tersebut Syed Sheikh al-Hadi telah menyampaikan moral dan fikiran reformis Islam dalam hasrat mahu memajukan orang Melayu yang masih jauh tertinggal, hidup dalam era yang memiliki prasarana pendidikan yang begitu terbatas lalu menghindarkan dapat berlakunya proses perkembangan minda, perkembangan intelek dan perkembangan ilmu secara pesat di kalangan masyarakat Melayu.
  7. Hasil dari usaha terjemahan-terjemahan tersebut bukan sahaja telah dapat menambahkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu malah turut memberikan pendedahan baru kepada masyarakat tempatan akan budaya kehidupan di luar masyarakatnya. Bahan-bahan bacaan yang diterjemahkan itu turut menjadi sumber maklumat baru yang dapat mencetuskan imaginasi, ilham serta inspirasi baru kepada para pembaca. Malah cerita dan kisah yang mempunyai latar belakang dan tema yang berlainan turut berupaya meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk membaca.
  8. Aktiviti terjemahan terbukti berperanan penting dalam sejarah kejayaan bangsa Arab Islam membina tamadun ilmu yang tinggi dari abad kelapan sehingga abad kelima belas. Di kalangan bangsa yang dikategorikan sebagai ahli kitab, bangsa Arab beragama Islam merupakan yang pertama berjaya membina tamadun ilmu sains dan falsafah yang tinggi, serta berjaya menyebarkannya secara meluas hingga merebak ke serata Eropah selepas abad kesebelas. Banyak pemikiran bangsa Greek yang dipelopori antaranya oleh Plato dan Aristotle telah diperkenal dan diperluaskan; bangsa Arab Islam di abad kelapan dan di abad kesembilan, gigih membahaskan persoalan teologi Islam secara rasional lalu bersedia menterjemahkan karya sains, perubatan, astronomi dan falsafah bangsa Greek ke dalam bahasa Arab hingga dapat membantu memperkembangkan khazanah ilmu umat Islam.
  9. Ilmuwan Islam ketika itu kuat didorong oleh seruan yang terkandung di dalam Al-Quran yang menyarankan manusia menuntut ilmu, melakukan kajian dan berfikir akan kejadian alam ciptaan ILAHI. Tamadun ilmu di dunia Islam turut dibina dari sumber pemikiran-pemikiran berbahasa Parsi lalu diterjemahkan ke bahasa Arab. Di samping terdapat penterjemah yang prolifik seperti Abdullah bin al-Muqaffa, kegiatan penterjemahan mencapai kemuncak yang sangat luar biasa pada zaman pemerintahan Khalifah Jaafar al-Mansur yang sangat mencintai ilmu falsafah dan astronomi.
  10. Bahawa khazanah ilmu dapat diperkaya melalui keterbukaan minda serta sifat kesediaan untuk mempelajari dari kejayaan pihak lain, selaras dengan seruan ILAHI bahawa manusia itu telah dicipta berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling kenal mengenal;[3] dan sejajar pula dengan Sunah Rasul Junjungan yang menyeru umat Baginda untuk mencari ilmu sehingga ke negeri China. Manusia yang dicipta ILAHI berbangsa dan bersuku itu juga dibekalkan dengan bahasa masing-masing. Untuk membolehkan manusia turut mendapat faedah dari khazanah ilmu dari bangsa dan bahasa yang pelbagai itu, maka manusia mempunyai dua opsyen; opsyen pertama, secara menguasai bahasa yang diguna oleh bangsa tersebut atau opsyen kedua, secara menterjemahkan khazanah ilmu dan pengetahuan milik bangsa lain ke bahasa sendiri. Opsyen kedua memberi peluang kepada sesuatu bangsa mendapat akses akan ilmu dari bangsa lain secara lebih meluas berbanding opsyen pertama yang hanya terbatas kepada elit ilmuwan yang berupaya menguasai bahasa selain dari bahasa ibunda mereka. Pendekatan negara menggalakkan warga menguasai bahasa selain dari bahasa ibunda di samping menubuhkan sebuah institut terjemahan, adalah sejajar dengan hasrat dan matlamat untuk menyemarak dan menyuburkan perkembangan ilmu, perkembangan maklumat, perkembangan minda dan perkembangan intelek di kalangan warga.
  11. Beta juga telah disembah maklum bahawa Institut Terjemahan Negara sedang melaksanakan projek terjemahan karya-karya agung Malaysia dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Antara karya agung yang sedang dalam terjemahan ke bahasa Inggeris adalah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut serta Cerita Lipur Lara. Karya-karya agung yang telah dihasilkan itu adalah satu cerminan ketinggian budaya, satu modal sosial negara bangsa yang amat bernilai. Terbukti dari kandungan karya-karya agung itu bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang memiliki budaya yang tinggi – memiliki tamadun yang agung serta lengkap dengan adab, tertib, budi dan bahasa baik dalam kehidupan harian, baik dalam hubungan antara Raja Pemerintah, ulama, pembesar, pemimpin, pedagang, pemimpin dan rakyat, begitu juga dalam sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan hukum – bertiangkan adat.
  12. Betapa bangsa yang telah memiliki ketinggian budaya dan keagungan tamadun itu kemudiannya menerima nasib dihanyutkan oleh arus kolonialisme hingga majoriti mereka terpinggir dalam arus pembangunan yang kemudiannya berlangsung dalam budayanya. Betapa tercatat dalam karya agung itu akan kehebatan dan kebanggaan bangsa yang kemudiannya musnah akibat persengketaan sesama bangsa. Betapa perebutan wilayah dan perebutan negeri yang berlaku sesama bangsa, betapa hasad dengki, iri hati, cemburu dan fitnah, betapa sifat tamak – sifat haloba, dan betapa perebutan kuasa di alam Melayu ini, kesemuanya menjadi punca memberi ruang memudahkan berlakunya proses kolonialisme. Dan akhirnya, betapa harga sosial, harga politik, harga budaya dan harga ekonomi yang perlu dibayar oleh bangsa akibat dilanda arus kolonialisme. Akhirnya tanah air terjajah, bangsa menerima nasib malang dipinggiri dan disisihkan di bumi warisan bangsanya; lalu bangsa menerima nasib laksana ayam yang lapar di kepuk, laksana itik yang haus di air.
  13. Karya-karya agung yang telah lengkap diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris akan dapat membuka jendela memberi akses kepada dunia luar untuk dapat memahami sejarah, budaya, daya intelek, prinsip, politik dan pemerintahan yang telah membina tamadun di alam Melayu. Semoga karya-karya agung yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris akan membolehkan dunia luar memberikan penilaian yang lebih adil dan faktual terhadap alam dan dunia Melayu di rantau ini.
  14. KEBERANIAN MENGGAPAI HARAPAN (THE AUDACITY OF HOPE) akan memberikan peluang para pembaca mengenali latar, sejarah, pemikiran,emosi, pandangan dan wawasan Barack Hussein Obama, Presiden Amerika Syarikat yang keempat puluh empat. Barack Obama secara berdisiplin dan tekun telah mengetengahkan pemikiran beliau bukan sahaja secara lisan malah secara tulisan, di samping menggunakan pelbagai saluran komunikasi semasa dalam bentuk Facebook, Wikipedia, Myspace, YouTube, dan Flickr untuk berinteraksi khususnya dengan masyarakat Amerika, demikian juga dengan masyarakat dunia keseluruhannya.
  15. Nyatalah Presiden Amerika Syarikat itu cekap menggunakan instrumen komunikasi moden secara bijak untuk mendampingi minda, hati dan emosi rakyat Amerika lalu mendapat kepercayaan untuk dipilih menjadi Presiden mereka. Proses seorang pemimpin untuk mendapat penerimaan umum tidak berlaku dalam sekelip mata. Secara teratur atau secara kebetulan, Barack Hussein Obama telah membina prasarana laluan politik untuk sampai ke Rumah Putih. Beliau telah memilih laluan yang melepaskan beliau di setiap perhentian tol. Perjalanan politik yang beliau pilih telah dapat diterima oleh majoriti besar masyarakat Amerika.
  16. Beliau adalah anak yang telah besar dan dewasa mengikuti sistem pendidikan arus perdana di Amerika Syarikat; beliau bertutur dalam bahasa dan mengamalkan cara hidup berlandaskan budaya yang diamalkan oleh majoriti penduduk Amerika; beliau memilih menganut agama Kristian, agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Amerika walaupun datuknya Hussein Onyango Obama telah memeluk agama Islam dan bapanya Barack Hussein Obama Sr. telah dilahirkan dalam keluarga Islam. Kesimpulannya, Barack Hussein Obama dalam segala segi adalah seorang warga Amerika sejati dan memperlihatkan sifat sejati warga Amerika berpegang kepada prinsip di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
  17. Barack Hussein Obama telah berjaya membina persepsi yang mencerminkan beliau merupakan pemimpin yang dapat menyelesaikan masalah dan membawa kemajuan hebat kepada Amerika Syarikat dan dilihat sebagai wira dunia. Segala-galanya bermula dari impian yang disusuli dengan langkah pertama; melangkah setapak demi setapak secara bijak – secara cekap. Kejayaan Barack Hussein Obama dari keturunan yang tidak seratus peratus berkulit putih untuk sampai ke Rumah Putih hendaklah dijadikan inspirasi kepada generasi muda negara bahawa impian yang di dukung dengan usaha, ketekunan, disiplin dan fokus akan membuahkan kejayaan. Liku-liku perjalanan yang beliau lalui, rintangan dan cabaran yang beliau atasi, impian dan pemikirannya, misi dan visinya adalah perkara-perkara yang akan menjadi subjek pengkajian yang amat menarik oleh pelbagai sub disiplin pengajian.
  18. Beta mengucapkan tahniah kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dan ZI Publication atas kejayaan menghasilkan terjemahan tersebut. Semoga usaha baik ini akan dapat memberikan manfaat juga diberikan apresiasi yang sewajarnya. Dengan ini, dengan berkat kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya melafazkan pengisytiharan pelancaran buku KEBERANIAN MENGGAPAI HARAPAN.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

************

  1. Al Quran, Surah Al ‘Alaq, ayat 1 hingga 5.
  2. UNESCO Institute for Stastics.
  3. Al-Quran, Surah Al Hujuraat, ayat 13.
%d bloggers like this: