MAJLIS PELANCARAN BUKU SIRI TITAH II SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MAJLIS PELANCARAN BUKU

SIRI TITAH II SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TARIKH: 5 OGOS 2023 / 18 MUHARAM 1445 (SABTU)

JAM: 10.30 PAGI.

TEMPAT: DEWAN TUN DR. ISMAIL,

PUSAT DAGANGAN DUNIA, KUALA LUMPUR.

Dengan penentuan Ilahi, kita dipertemukan dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah II, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Majlis ini berlangsung pada tarikh 5 Ogos, bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia. Majlis ini mencipta sejarah tersendiri, berlangsung dalam Bulan Kebangsaan, dalam suasana negara sedang diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-66; suasana yang mendorong Beta memilih untuk menyentuh tiga perkara.

Pertama:

2. Tarikh 5 hari bulan Ogos, tarikh yang sangat bersejarah. Enam puluh enam (66) tahun lalu, pada jam 9.30 pagi, 5 Ogos 1957, bertempat di King’s House Kuala Lumpur, seramai 15 orang penandatangan utama, terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivary bagi pihak Ratu Elizabeth II, lapan orang Raja Melayu, Tengku Mahkota Johor, dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan, serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan menggunakan pena khas bertulis ‘Federation of Malaya Agreement 1957’. Upacara bersejarah tersebut berlangsung selama dua jam.

3. Perjanjian tersebut telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 salinan dalam Bahasa Melayu dan 20 salinan dalam Bahasa Inggeris. Dua salinan dihantar kepada Kerajaan British, dua salinan disimpan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, satu salinan, tiap-tiap satu dihantar kepada tiap-tiap negeri, termasuk negeri Melaka dan Pulau Pinang, sementara enam salinan diserahkan kepada Negeri Sembilan.

4. Perkara 3, Perjanjian tersebut menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu Persekutuan yang baharu, dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan sendirinya, perjanjian ini memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen, ke atas Melaka dan Pulau Pinang, juga segala kuasa dan bidang kuasa (jurisdiction) Baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu.

5. Dalam ucapan yang disampaikan sebelum upacara menandatangani perjanjian, Sir Donald MacGillivray, menyatakan bahawa beliau yakin perjanjian yang dimeterai akan dapat menyediakan segala keperluan sebuah kerajaan yang sesuai, kepada negara yang berbilang bangsa, dan negara baharu ini akan menghadapi masa hadapan yang agung lagi gemilang.

6. Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, mewakili Raja-raja Melayu bertitah dan berharap kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa bahawa apa yang berlaku pada hari tersebut akan membawa kebahagiaan yang berkekalan kepada negara ini. Dua puluh enam hari kemudiannya, pada 31 Ogos 1957, berkuat kuasalah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British; diikuti laungan ‘MERDEKA’ oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), digemakan dengan sambutan laungan yang bergemuruh oleh hadirin di Stadium Merdeka.

Kedua:

7. Dengan penentuan Ilahi jua, majlis ini, berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail. Negara telah mengadakan majlis memperingati negarawan Tun Dr. Ismail pada 2hb Ogos lalu di Dataran Merdeka, sempena 50 tahun tarikh kembalinya Tun Dr. Ismail ke Rahmatullah.

8. Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada 2 Ogos 1973, ketika baharu mencecah usia 57 tahun, satu jangka hayat yang pendek, namun telah cukup untuk membolehkan namanya terpahat dalam sejarah negara. Begitu berharga jasa – begitu bernilai khidmat Dr. Ismail kepada negara bangsanya. Dr Ismail memiliki karakter tepat di luar – tepat di dalam. Lidahnya bertutur dalam bahasa yang sama meski berhadapan kumpulan yang berbeza. Apa yang dikata, tetap dikota.

9. Dr. Ismail dikenali dengan semangat kebangsaan Melayu yang tulen, namun beliau berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam masing-masing, dan pentingnya bagi negara ini mempunyai pemimpin yang menuju ke arah mencipta sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dalam kepelbagaian tersebut.

10. Ratusan atau mungkin ribuan ucapan telah disampaikan oleh Dr. Ismail di dalam negara dan di pentas antarabangsa. Beta memilih untuk memetik ucapan bersejarah, berkemungkinan besar ucapan pertama yang diucapkan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, berlangsung pada jam 3.00 petang waktu New York, 17 September 1957. Tujuh belas hari selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Dr. Ismail menyampaikan ucapan sulung negara di United Nations General Assembly, setelah Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi anggota kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Petikan:

It is with pride and humility that I speak before you today so soon after the emergence of the Federation of Malaya as an independent and fully sovereign country on 31 August 1957. I speak here today in this, the greatest assembly of nations, as the representative of a small nation, a nation of only six million people, living in an area of only 50,000 square miles…

Although our material wealth and our standard of living compare very favourably with those of many nations in the world today, as a small nation, our basic strength lies not in these material things, but in the moral character of purposes of our people. We have in Malaya three major racial groups: the Malays, the Chinese and the Indians, who have lived together for generations in peace and harmony. Neither the difference in religion and cultural background, nor the difference in their economic and social status, has created an insuperable barrier towards the national unity of these races. Our great desire is to have the right and good fortune to live as a free independent and united nation among the free nations of the world. The achievement of this desire, through peaceful and constitutional means, through friendly negotiations and a spirit of compromise, is the result of the abiding moral strength inherent in each of the three racial communities living in Malaya today…” [1]

11. Beta juga memilih untuk memetik satu para daripada ucapan terakhir Tun Dr. Ismail yang disampaikan pada jam 4.20 petang, 2 Ogos 1973, dalam upacara merasmikan Perayaan Jubli Perak GPMS, bertempat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baharu, Kuala Lumpur:

Petikan:

“Oleh sebab sebahagian besar daripada penduduk-penduduk negara kita ini terdiri daripada generasi muda dan mengingatkan bahawa corak negara kita ini ialah multi-racial, multi-cultural dan multi-religious, maka sebarang langkah yang dijalankan oleh Kerajaan adalah berdasarkan kepada perimbangan dalam bentuk dan konsepnya, sesuai dengan toleransi dan aspirasi nasional. Hakikat ini mestilah difahami benar-benar oleh semua golongan tua dan muda.”[2]

12. Ketara Tun Dr. Ismail berpendirian konsisten mengenai komposisi rakyat di negara ini dan pentingnya dilaksanakan perimbangan bentuk dan konsep supaya terbina sebuah negara bangsa yang warganya, meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya dan menganut pelbagai agama, hidup secara harmoni, kukuh berpadu dan teguh bersatu; sama ada beliau menyampaikan ucapan dalam forum antarabangsa, di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di kota New York, mahupun dalam forum anjuran sebuah pertubuhan Melayu, GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) yang berlangsung di kawasan penempatan Melayu di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Ketiga:

13. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ditubuhkan pada 22 Jun 1956, dipertanggungjawabkan untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Seiring dengan kemerdekaan negara, DBP turut dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan medium untuk memupuk perpaduan. Pelbagai program mengembangkan bahasa Melayu dilaksanakan oleh DBP melalui penerbitan buku, majalah dan risalah, serta menganjurkan seminar dan bengkel. Slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dilancarkan pada tahun 1960; dalam hasrat mahu mengukuhkan pembinaan masyarakat yang bersatu padu melalui bahasa. Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan diperkenalkan, dan DBP menganjurkan pelbagai pertandingan dan aktiviti untuk meningkatkan keyakinan rakyat menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berupaya menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Perpaduan dan penyatuan kaum dijadikan tema dalam pertandingan penulisan novel, prosa dan puisi begitu juga dalam pertandingan pidato, perbahasan dan berbalas pantun.

14. Melalui pelbagai aktiviti yang dirintis dan diusahakan, DBP telah mencipta sejarah tersendiri memenuhi peranan memupuk perpaduan. Dalam tempoh sejak merdeka hingga sekarang, kesusasteraan Melayu berperanan penting memupuk perpaduan kaum dan membantu melahirkan masyarakat Malaysia yang aman, damai, harmoni, bahagia dan mempunyai jati diri sebagai masyarakat Malaysia.

15. DBP juga berperanan memperkembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan. Pendekatan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kaum paling berkesan jika dibandingkan dengan pendekatan politik dan pendekatan sosioekonomi. Hasil karya sastera dalam pelbagai bentuk, melalui bahasa yang indah lagi menarik, yang dijelmakan dalam bentuk cerpen, puisi, drama dan kisah kehidupan, terbukti berperanan menyemai benih perpaduan, berjaya menjuruskan pemikiran, sikap, emosi manusia kepada kehidupan kerohanian yang jujur, ikhlas, reda, bersyukur, rendah diri, berbudi bahasa, pasrah dan bertolak ansur.

16. Apabila Kapten Mohana Chandran, gugur dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Kinta pada 13 Jun 1971; apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dihujani secara kejam dengan tembakan 11 das peluru pada pagi 7 Jun 1974 oleh pengganas komunis; dan apabila Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong ditembak oleh dua orang pengganas komunis di Ipoh pada 13 November 1975 dan meninggal dunia pada 14 November 1975, pelbagai penulisan prosa dan puisi ditulis oleh warga Malaysia daripada pelbagai kaum, menangisi pemergian wira-wira negara tersebut.

17. Penulisan berbentuk prosa dan puisi yang dihasilkan oleh Sasterawan-sasterawan negara sentiasa menggemakan suara kemanusiaan yang merentasi sempadan bangsa, menyuarakan sedu sedan dan kepiluan yang dialami oleh ibu, anak, ayah dan isteri; begitu juga suara kemiskinan penoreh getah, nelayan, buruh kasar atau penarik beca, juga penderitaan anak yatim atau warga tua yang mengalami kesunyian di rumah orang tua tanpa keluarga. Tangisan dan kehibaan merupakan suara penderitaan – suara kepiluan – suara keinsanan yang merentasi kaum; dan para sasterawan memiliki deria batin yang tinggi, meluahkan dalam hasil karya mereka suara-suara kemanusiaan yang merentasi kaum dan tidak menunjukkan kebencian kepada mana-mana kaum.

18. Terkandung dalam prosa dan puisi yang dihasilkan oleh penulis Malaysia daripada pelbagai kaum, nilai-nilai positif dan nilai-nilai optimis yang dapat memajukan fikiran, kesedaran dan membuka hati masyarakat terhadap kepentingan semangat perpaduan di Malaysia. Semangat perpaduan yang tersurat dan tersirat dalam karya sastera perlu dimantapkan dan terus dipupuk. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah melawat semula peranannya yang pernah berjaya memupuk perpaduan pada era awal kemerdekaan, melalui medium bahasa dan sastera. Hari ini usaha untuk memupuk perpaduan semakin diperlukan untuk menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa – atas nama agama, suara-suara bernada permusuhan yang jika tidak segera dibendung, berpotensi besar meracuni pemikiran rakyat untuk curiga mencurigai yang akan berakhir dengan pertelingkahan, perselisihan dan perpecahan.

Hadirin sekalian

19. Siri Titah Sultan Nazrin Shah II, mengandungi 34 titah. Setiap kali menzahirkan titah, Beta menyedari bahawa Raja Pemerintah berperanan menjadi payung naungan kepada setiap rakyat daripada pelbagai kaum dan pegangan agama yang membuktikan taat setia kepada raja dan negara. Beta mengambil iktibar beberapa firman Allah Subhanahu Wata’ala yang terkandung dalam Al-Quran. Allah berfirman melalui ayat 118, Surah Hud yang bermaksud:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendakinya, tentulah Dia menjadikan semua manusia ini umat yang satu (namun Dia tidak berbuat demikian) dan disebabkan itulah mereka terus menerus berselisih faham”.[3]

Allah berfirman melalui ayat 48, Surah Al-Maidah, bermaksud:

“…Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat sahaja (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam melaksanakan) segala yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jualah kamu semua akan kembali lalu Dia memberitahu kamu tentang apa-apa yang telah kamu perselisihkan itu”[4]

20. Dilahirkan dalam keluarga Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Dayak, Iban dan sebagainya telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Kepelbagaian bangsa dan kaum itu ialah ciptaan Ilahi. Dan Allah berfirman melalui ayat 13, Surah Al-Hujurat, bermaksud:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan pelbagai suku agar kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)! Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan Nya”[5]

21. Semasa menyampaikan khutbah terakhir pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda antaranya:

“Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu adalah satu, kamu semua berasal dari Adam dan Hawa, telah dijadikan dari tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain, tidak ada kelebihan seorang putih ke atas seorang hitam, tidak juga seorang hitam memiliki kelebihan ke atas orang putih, kecuali dalam ketakwaan dan ibadahnya. Ketahuilah setiap Muslim itu adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh”.

22. Firman Allah, amalan adil dan saksama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika menjalankan pemerintahan, hingga berjaya memakmurkan Madinah dan pesanan yang terkandung dalam khutbah terakhir Baginda, begitu juga amalan, amanat dan pesanan barisan pemimpin yang telah mengasaskan negara ini, hendaklah dijadikan panduan dan rujukan untuk memupuk perpaduan warga di negara kita.

23. Setelah hampir 66 tahun mencapai kemerdekaan, warga jangan dihanyutkan oleh suara-suara bernada permusuhan yang boleh mencetuskan persengketaan, perselisihan dan perpecahan. Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan yang indah dan kukuh bertaut. Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia.

24. Beta menghargai usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan kumpulan titah yang telah Beta zahirkan. Usaha DBP ini, insyallah akan membolehkan pemikiran dan pandangan Beta sampai kepada khalayak yang lebih luas. Seorang Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat Perlembagaan serta falsafah yang tersirat di sebalik penubuhan sebuah negara merdeka, difahami, dihayati dan diluhurkan oleh rakyat jelata, agar negara kekal berdaulat, buminya makmur dan warganya hidup secara harmoni dan aman.

25. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi, ahli-ahli Lembaga Pengelola, Ketua Pengarah dan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengusahakan penerbitan ini. Beta amat menghargai segala pemikiran, usaha, tenaga dan masa yang telah diberikan oleh pelbagai pihak untuk menghasilkan penerbitan ini, khususnya kepada editor penerbitan, Tan Sri Mohd. Annuar bin Zaini, Puan Suzana Ibrahim yang membantu kerja-kerja mengumpul, menapis dan menyunting; dan pereka, Encik Azman Shah bin Daud. Demikian juga penghargaan Beta kepada para petugas yang menguruskan majlis pelancaran ‘Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah II’, para penaja yang telah membuat tempahan dan mengambil tanggungjawab untuk mengedar penerbitan ini kepada audiens yang lebih luas.

26. Beta zahirkan rasa besar hati kepada para hadirin yang meruang masa hadir untuk meraikan Beta dan memeriahkan majlis ini. Segala jasa dan bakti akan kekal abadi dalam memori, sepanjang hayat Beta.

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang jua.

  1. Tawfik Ismail & Ooi Kee Beng, Malaysia’s First Year At The United Nations, (Singapore; Institute of Southeast Asian Studies, 2009), 104.
  2. Arkib Negara.
  3. Al-Quran, Surah Hud (11:118)
  4. Al-Quran, Surah Al-Maidah (5:48)
  5. Al-Quran, Surah Al-Hujurat (49:13)
%d bloggers like this: