Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga, para sahabat Baginda, para Tabiin, para Ulama dan kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat.
2. Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dariNya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Pelancaran Bulan Berzakat Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.
3. Bahawa ibadah zakat adalah salah satu rukun Islam yang menuntut untuk dilaksanakan jika cukup segala syarat dan rukunnya. Pengumpulan dana zakat yang berkesan amat diperlukan untuk memenuhi kehendak golongan asnaf yang memerlukan.
4. Prestasi pembangunan ekonomi sesebuah negara dapat diketahui sama ada berkembang atau sebaliknya dengan beberapa petunjuk prestasi. Kemakmuran ekonomi tersebut seharusnya juga menyaksikan peningkatan dalam jumlah kutipan zakat. Jika sebaliknya yang berlaku, ia melambangkan usaha-usaha memberikan kefahaman tentang kewajiban berzakat belum dihayati sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat. Janganlah hendaknya segala kenikmatan yang sedang di kecapi hari ini atas limpah rahmat ILAHI akan ditarik balik akibat keengganan umat yang telah mendapat nikmat menafkahkan sebahagian harta menunaikan rukun zakat.
- Beta gembira dengan perlantikan Pos Malaysia Berhad berperanan sebagai agen kutipan zakat. Ini memandangkan kemudahan kaunter pos wujud disetiap pekan kecil dan bandar. Kesediaan Pos Malaysia memenuhi peranan sebagai agen kutipan zakat tentunya memudahkan lagi urusan orang ramai untuk menunaikan pembayaran zakat.
- Perkembangan dan peranan teknologi dalam pengurusan perlu diterokai sepenuhnya. Penggunaan teknologi ICT dalam menyampaikan maklumat berkaitan zakat hendaklah digunakan secara optimum. Pembangunan laman web yang bersifat interaktif dengan menyediakan semua maklumat dan formula pengiraan zakat hendaklah dibangunkan. Disamping itu, kemudahan pembayaran melalui kaedah e-banking juga hendaklah mula dipelopori agar segala bentuk saluran bagi orang ramai menunaikan zakat dapat disediakan. Jika usaha-usaha secara bersepadu ini berjaya dilakukan ianya akan memberikan gambaran yang baik bahawa Islam itu sentiasa bersifat semasa serta progresif dalam menguruskan kehidupan alam dan kehidupan manusia.
7. Sistem pengagihan zakat juga hendaklah berjalan lancar. Ketelusan dalam melaksanakan pengagihan zakat akan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap pengurusan zakat. Semakan terhadap semua proses kerja sehingga agihan zakat dapat dilaksanakan secara lebih cekap akan memberi imej positif kepada pentadbiran jabatan. Sistem agihan yang cepat dan berkesan ini juga akan menjadi satu daya tarikan untuk orang ramai membayar zakat setelah mengetahui bahawa apa yang mereka sumbangkan benar-benar membawa faedah kepada umat Islam.
8. Beta menyeru kepada semua pilik yang wajib menunaikan zakat agar segera menunaikannya. Sampaikanlah seruan ini kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah sempena bulan Syaaban yang penuh kebaikan ini dan bulan Ramadhan yang bakal menemui kita sebagai bulan yang meningkatkan amal jariah yang baik
9. Beta berbangga apabila disembah maklumkan bahawa Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak adalah antara badan berkanun pertama di negeri Perak yang berjaya menyediakan penyata kewangan tahunan bagi tahun 2003 yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Beta berharap prestasi baik dari segi menguruskan akaun-akaun terus ditingkatkan dari masa ke semasa supaya dapat dijadikan contoh dan teladan.
10. Dengan lafaz BISMILLAHI RAHMANI RAHIM, Beta melancarkan Bulan Berzakat Peringkat Negeri Perak tahun 1425H / 2004 M pada petang ini.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********************