Semasa bertitah di dalam Majlis Pengurniaan Watikah ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) pada 16 Rabiulakhir, bersamaan 4 Januari yang lalu, Beta telah menzahirkan kebimbangan apabila disembah maklum, bahawa majoriti nilai harta pusaka yang terbeku, dan belum diwariskan, ialah milik umat Islam. Beta telah menitahkan agar MAIPK menggerakkan langkah aktif, membantu menangani masalah yang sedang dihadapi, bermula dengan memperkenalkan pendekatan preventive, ia itu kaedah pencegahan, agar masalah ini dapat dibendung daripada terus membesar. Alhamdulillah, susulan daripada titah tersebut, MAIPK menganjurkan Majlis Pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.
- Dianggarkan 60 bilion nilai harta pusaka di Malaysia, berbentuk tanah dan rumah, sementara 6.6 bilion ringgit yang berada di dalam akaun bank dan insurans terbeku, belum diwariskan dan belum dituntut;[1] setelah berlakunya kematian pemilik aset. Keadaan pembekuan harta ini berlaku, terutamanya kepada harta umat Islam disebabkan faktor-faktor berikut:-
Pertama: masalah faraid selepas kematian pemilik harta.
Kedua: urusan tuntutan pusaka yang tidak difahami oleh waris.
Ketiga: tiada inisiatif daripada waris untuk memulakan prosiding tuntutan.
Keempat: perbalahan berpanjangan di kalangan waris, dan berlaku dalam beberapa kes, apabila muncul secara mengejut, tuntutan daripada keluarga kedua, malah ada kalanya keluarga ketiga atau keempat disebabkan semasa hidup, pemilik harta merahsiakan bilangan sebenar wanita yang dikahwini.
Kelima: ketidaksediaan waris mendahului perbelanjaan untuk membiayai kos prosiding atau guaman, apatah lagi jika nilai pusaka tidak besar tetapi melibatkan agihan kepada bilangan waris yang ramai.
Keenam: proses birokrasi yang memakan masa yang lama, menjadi bertambah rumit dan kumulatif, apabila berlaku pula pertindihan kematian, sedangkan urusan memproses agihan masih belum selesai.
- Harta bukan diperoleh secara pipis datang melayang – harta tidak dimiliki secara bulat datang bergolek. Harta yang diperoleh dan dimiliki adalah dengan penat jerih yang diusahakan sepanjang hayat oleh pemilik harta, mengorbankan keperluan hari ini untuk persediaan memenuhi keperluan hari esok; melalui simpanan, tabungan, pelaburan, pinjaman dan berbagai usaha lagi. Amatlah malang, setelah pemilik harta meninggal dunia, harta tersebut yang bertaraf pusaka, ditinggalkan terbeku, tidak boleh digunakan sebagai faktor pengeluaran yang dapat memberikan pulangan hasil. Senario ini, merupakan satu kerugian kepada waris, dan apabila terkumpul menjadi jumlah yang begitu besar, adalah satu kerugian amat besar kepada umat Islam.
- Ada kalanya harta yang ditinggalkan, beralih daripada status aset menjadi liabiliti kepada pelbagai pihak, antaranya disebabkan pinjaman atau hutang yang belum diselesaikan, cukai yang tersangkut, dokumen hak milik dijadikan cagaran atau dokumen hak milik tidak dapat dikesan kerana tempat disimpan, hanya diketahui oleh si mati. Harta berbentuk rumah seringkali terbiar usang, harta berbentuk tanah kebun seringkali menjadi belukar. Rumah usang yang ditinggalkan dan tanah kebun yang menjadi belukar, ada yang menjadi tempat biawak, musang dan ular bersarang, serta tempat membiaknya tikus, nyamuk dan unggas; menjadi liabiliti kepada jiran tetangga, di samping kerajaan pula tidak memperoleh sebarang hasil cukai. Selagi urusan harta tidak diselesaikan, rungutan waris dan rungutan jiran tetangga, mungkin menjadi satu tanggungjawab dunia yang mengheret nama si mati, yang telah berada di alam barzakh.
- Islam adalah agama yang syumul, bersifat menyeluruh lagi sempurna, agama yang menggariskan pelbagai panduan, merangkumi pelbagai dimensi untuk menangani keperluan dan masalah ummah. Bidang muamalat merupakan salah satu aspek penting yang diberi penekanan dalam memastikan manusia dapat mengalami kehidupan yang sejahtera ketika di dunia, di samping menabung bekalan untuk melalui era akhirat. Manusia dipertanggungjawabkan untuk mencari harta agar dapat menunaikan kewajipan nafkah, dan manusia turut digalakkan untuk memiliki serta menjaga harta miliknya, sehingga harta tersebut dapat diperuntukkan kepada mereka yang memerlukan, diagihkan dalam bentuk zakat, wakaf, dihadiahkan semasa hidup dalam bentuk hibah, atau ditinggalkan sebagai pusaka setelah mati, agar dapat memberi manfaat kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.
- Majoriti umat Islam, ketara bukan sahaja kurang memberi perhatian, malah kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka. Akibatnya, harta yang ditinggalkan mencetuskan masalah setelah pemilik harta meninggal dunia. Selain daripada hukum faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta.
- Hibah merupakan salah satu cabang muamalat, ‘akad tabaruk’ antara dua pihak, ia itu, proses memindah milik sesuatu harta tanpa sebarang balasan;[2] merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk memuliakannya dengan sesuatu tujuan. Harta yang dihibah, dapat dijana dengan lebih pantas berbanding harta yang ditinggalkan berbentuk pusaka. Islam menggalakkan amalan hibah, terutama kepada anggota keluarga terdekat seperti maksud yang terkandung dalam ayat 177, Surah Al-Baqarah:
“Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada ALLAH, dan hari akhirat, segala Malaikat, segala kitab, sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang yang meminta-minta…..”[3]
- Amalan hibah memberi manfaat terutamanya dalam menyelesaikan beberapa pertikaian berkaitan harta pusaka. Hibah memudahkan urusan perpindahan milik. Hibah hendaklah dilihat sebagai salah satu kaedah pelengkap kepada sistem pengurusan pengagihan harta. Hibah membolehkan seseorang Islam menetapkan agihan hartanya ketika dia masih hidup, yang dapat menghindarkan daripada berlakunya perbalahan di kalangan waris selepas kematian. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda kepada Sa’ad ibnu Abi Waqas yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada manusia.”[4]
- Gerakan Kesedaran Hibah yang dilancarkan pada hari ini akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak bagi memenuhi lima matlamat utama:
Pertama: memperkenal dan menyedarkan umat Islam mengenai hibah.
Kedua: menghindar atau meminimumkan umat Islam daripada menghadapi masalah agihan harta pusaka selepas kematian pemilik harta.
Ketiga: membantu agar harta pusaka dapat diagih dengan cepat dan tepat supaya boleh segera digunakan oleh penerima untuk menjana kegiatan ekonomi.
Keempat: membimbing dan menggalakkan umat Islam melakukan hibah ketika masih hidup.
Kelima: membantu memperkenal platform mengenai urusan menyediakan dokumen hibah melalui perkhidmatan profesional.
- Usaha memberi penerangan memperkenalkan hibah, hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan di negeri Perak, hingga sampai ke mukim dan kampung, dilakukan secara berterusan – secara berkesinambungan. Hibah, telah Beta titahkan dijadikan tema khutbah Jumaat di semua masjid di negeri Perak, pada minggu hadapan. Setiap Ketua kepada Jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Berkanun dan pelbagai agensi di bawah naungan Kerajaan Beta, hendaklah secara bersungguh, menganjurkan program penerangan hibah kepada para anggota dan ahli keluarga di tempat masing-masing. Gerakan menyedarkan dan memperkenalkan ummah mengenai hibah hendaklah disambut oleh semua masjid, surau, pelbagai institusi latihan serta badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan sukarela. Makluman mengenai hibah boleh diuar-uarkan secara lebih luas dengan memperkenalkan slot pendidikan dan soal jawab mengenai hibah di dalam program-program ‘Perak fm’.
- Orang Besar Jajahan dengan kerjasama Pegawai Tadbir Agama di jajahan masing-masing, hendaklah bertindak aktif, merangka perlaksanaan program hibah di setiap masjid di dalam Jajahan masing-masing. Hendaklah dijadikan sasaran, agar di negeri Perak Darul Ridzuan, akan tercapai indeks sifar masalah, dalam urusan pengagihan harta selepas kematian. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bersama Jabatan Agama Islam negeri Perak, hendaklah menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat mengenai hibah di peringkat negeri dan di peringkat daerah serta jajahan; diikuti dengan melatih pegawai-pegawai di semua masjid di negeri Perak, agar memiliki pengetahuan untuk memberi khidmat nasihat yang tepat mengenai hibah kepada ahli kariah masing-masing.
- Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberi petunjuk dan hidayah kepada setiap kita yang telah diamanahkan untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan kita kejayaan dalam hasrat dan usaha melaksanakan salah satu tugas fardu kifayah mengenai agihan harta. Semoga usaha hamba-hamba Mu memperkenalkan dan menggalakkan hibah, mendapat keredaan daripada Mu jua Ya ALLAH; Amin Ya Rabul Ala min.
Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh kesyukuran melancarkan Gerakan Kesedaran Hibah Negeri Perak Darul Ridzuan.
[1] Dipetik pada 28 Januari 2016 daripada, http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/harta-pusaka-orang-Isla-tidak-dituntut-rm60-bilion-1 394655#ixzz55coPJ8f7 bertarikh 14 Oktober 2016.
[2] Ameer Azeezy, “Kedudukan Produk Hibah Dalam Pasaran di Malaysia”, dalam Jurnal ILIM Bil 2, 2009, (Bangi: ILIM,2009), 88.
[3] Al-Quran, Al-Baqarah (2:177)
[4] Muttafaqun ‘Alaih.
In The News:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/sultan-nazrin-gerak-kesedaran-hibah-1.804038
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/394440/hibah-bantu-selesai-pertikaian-pusaka
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/video-hibah-selesaikan-pertikaian-harta-pusaka-sultan-nazrin-1.618901
http://www.kosmo.com.my/terkini/umat-islam-perlu-amal-hibah-dalam-selesaikan-pertikaian-berkaitan-harta-1.618879
https://www.nst.com.my/news/nation/2018/03/340212/muslims-should-bequeath-property-avoid-conflicts-sultan-perak-nsttv