MAJLIS PELANCARAN JURNAL SYARIAH PERAK AL-QANUN VOL. 1 2022

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

MAJLIS PELANCARAN JURNAL SYARIAH PERAK AL-QANUN VOL. 1 2022

TARIKH: 1 SAFAR 1444H / 29 OGOS 2022 (ISNIN);

JAM: 11.00 PAGI

TEMPAT: CASUARINA@MERU, IPOH.

Penulisan alasan penghakiman merupakan salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada hakim-hakim. Melalui penulisan alasan penghakiman, para hakim akan memberikan alasan dan asas serta sandaran kepada setiap keputusan yang telah dibuat terhadap sesuatu kes yang dibawa di hadapannya. Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya. Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

2. Pertambahan hierarki Mahkamah Syariah di negeri Perak dengan perwujudan Mahkamah Utama Syariah, melalui peruntukan seksyen 44 (3A) dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018 memberi ruang rayuan yang setara antara kes yang bermula di Mahkamah Rendah Syariah dengan kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah. Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya.

3. Penulisan alasan penghakiman menjadi medium penilaian untuk menentukan tahap kompetensi dan kecekapan hakim-hakim. Alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim-hakim dalam menilai sesuatu isu, dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak. Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang. Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri.

4. Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam selain daripada hutang dan wasiat, perihal surat dan perjanjian juga dinyatakan dalam bentuk penulisan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menggunakan penulisan dalam hal urusan negara seperti risalah kepada raja-raja. Perkara ini membuktikan bahawa Islam amat menitikberatkan penulisan dan catatan untuk memastikan kehidupan manusia berjalan secara teratur dan mengelakkan berlakunya penipuan. Terdapat banyak ayat al-Quran dan terdapat banyak hadis yang membincangkan perkara berkaitan penulisan dan catatan, antaranya wasiat, hutang dan perjanjian, seperti yang terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 282, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…”

(Surah al-Baqarah, 2: 282)

5. Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa, rekod secara bertulis, disyariatkan dan boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku pertikaian. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam pernah mengarahkan agar alasan hukuman dan fatwa mengenai diyyat dalam kes pembunuhan ditulis. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu ketika pembukaan Mekah:

“Sesiapa (pihak keluarga yang kena bunuh) yang mempunyai hak ke atas pembunuh, maka dia ada dua pilihan sama ada meminta supaya dibayar diyyat atau dibunuh balas (ke atas pembunuh)”. Seorang penduduk Yaman dikenali dengan panggilan Abu Shah bangun dan berkata “Duhai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, catatkan kepada aku (apa yang kamu sabdakan itu). Justeru Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan penulis Baginda membuat catatan untuk Abu Shah”.

(Abu al-Husayn Muslim Ibn al-Hajjaj Qushayri al-Naysaburi, Sahih Muslim, Kitab al-‘Ilm, no. Hadis 1355)

6. Melalui peristiwa ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda supaya hukuman yang dikenakan ke atas jenayah bunuh dicatatkan; membuktikan arahan berbentuk penulisan dibuat supaya rekod dapat disimpan dan boleh dirujuk semula apabila diperlukan.

7. Penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah an-Nisa’ ayat 135: bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap diri mu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat mu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu tentang kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran”.

(al- Nisa’ 6:135)

8. Dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman. Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan. Menyoroti sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika mengutus Muaz bin Jabal sebagai Kadi Yaman. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah bertanya kepada Muaz bin Jabal:

“Bagaimanakah kamu akan menghakimi sekiranya dikemukakan kepada kamu sesuatu kes?” Maka, Muaz menjawab: “Saya akan menghakiminya berdasarkan hukum yang terdapat dalam kitab Allah (al-Quran)” Rasulullah bertanya lagi: “Sekiranya tidak terdapat dalam kitab Allah?” Maka, Muaz menjawab: “Saya akan menghakimi berdasarkan apa yang terdapat dalam al-Sunnah” Rasulullah bertanya lagi: “Sekiranya tidak terdapat dalam al-Sunnah dan juga kitab Allah?” Lalu Muaz menjawab: “Saya akan berijtihad dengan pandangan sendiri”. Lantas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menepuk dada Muaz (tanda berpuas hati) dan bersabda: “Segala puji bagi Allah yang memberi petunjuk kepada Rasulullah (dan mengajar kamu) dengan apa yang Rasulullah redha.”

(Abi Dawud,Sunan Abi Dawud, Kitab al-Aqdiyyah, Babijtihad al-ra’yu fi al-qada’, hadis no. 3592)

9. Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengiktiraf dan memberi ruang kebebasan kepada Muaz bin Jabal yang diutus sebagai wakil ke negara Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun As-Sunnah. Baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya. Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 (14th Malaysian Laws Conference), petikan:

“The [mere] existence of courts and judges in every ordered society proves nothing; it is their quality, their independence, and their powers that matter.”

Sehubungan itu, demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini.

10. Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan mereka, begitu juga kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan. Kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Beta, membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah. Kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan perlu dipertingkatkan, begitu juga prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini perlu diperuntukkan.

11. Usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis. Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji. Semoga Al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang. Beta mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak atas idea dan usaha menghasilkan penerbitan ini. Semoga usaha murni ini dilimpahi keberkatan Ilahi. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak.

%d bloggers like this: