Majlis Pelancaran Logo Dan Pelan Strategik 2016-2021 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Basmalah & Salam

Opening of Speech

Beta telah memberi perkenan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS) mempunyai logo tersendiri; Beta turut memberikan perkenan kepada Pelan Strategik MAJLIS untuk tempoh lima tahun akan datang.

2. Logo ini dilakar untuk memberi satu identiti kepada Majlis. Logo ini hanyalah satu lakaran di atas kertas; logo ini, sekadar satu simbol – satu lambang. Yang lebih penting dibina, ialah imej dan reputasi, serta persepsi positif di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap MAJLIS. Kerana itu MAJLIS turut mengambil langkah, merangka pelan strategik untuk tempoh lima tahun akan datang. Pelan strategik ini, ialah komponen pengisian yang mengandungi rangka kerja tindakan untuk mencapai misi dan objektif MAJLIS.

3. Islam menyarankan umatnya melakukan perancangan secara teliti lagi tersusun dalam setiap perkara, kerana Islam adalah agama yang berpandukan sistem, aturan dan ketertiban yang sempurna. Perancangan yang didasari prinsip keislaman akan sentiasa menjunjung amanah ALLAH. ALLAH Subhanahu Wata’ala mengamanahkan setiap hamba Nya untuk memelihara lima hak manusia, juga dikenali sebagai maqasid syariah.[1] Atas fahaman tersebut, perancangan strategik MAJLIS, dirasionalisasikan, berlandaskan al-Quran dan As-Sunah, yang sama sekali tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Rasionalisasi dalam perancangan juga bererti meletakkan sasaran, sesuai dengan keupayaan sebenar tanpa bebanan yang melampau, berpandukan semangat yang terkandung dalam ayat 185 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”[2]

4. Terkandung pelbagai contoh di dalam Al-Quran, perancangan yang di laksanakan oleh para Rasul dalam menyusun rangka kerja secara strategik, ketika memenuhi amanah untuk menyebarkan seruan ILAHI, begitu juga dalam menghadapi situasi semasa. Setiap Rasul menghadapi tentangan yang hebat, disekat, juga dihalang, daripada menyempurnakan amanah; setiap Rasul dan pengikut, berhadapan, bukan sahaja dengan tentangan untuk menyebarkan seruan ILAHI, malah menghadapi ancaman terhadap nyawa mereka. Namun seruan ILAHI tetap dilaksanakan, dan Islam berjaya diperkembangkan melalui perancangan yang tersusun lagi strategik.

5. Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, melaksanakan pelbagai perancangan strategik, bermula daripada peristiwa pertama menerima wahyu, kepada peristiwa israk dan mikraj, peristiwa hijrah, membangunkan Kerajaan Madinah, menghadapi pelbagai peperangan, mengadakan rundingan dan mempersetujui perjanjian, menguasai semula Kota Mekah, sehinggalah Islam berjaya tersebar luas. Nabi Yusuf Alaihissalam, secara bijaksana, telah merancang persiapan, menyimpan kekayaan hasil bumi Mesir selama tujuh tahun, untuk menghadapi tujuh tahun kemarau yang menyusul selepas itu. Nabi Nuh Alaihissalam pula telah membina bahtera besar sebagai persiapan bagi menyelamatkan pengikut Baginda serta kehidupan alam untuk menghadapi banjir besar.

6. Dalam pada itu, tanpa susulan gerak kerja yang berkesan, pelan hanyalah sekadar himpunan huruf, rajah dan angka yang tercetak di atas kertas. Kunci kejayaan setiap pelan bergantung kepada tahap pencapaian perlaksanaan. Tahap pencapaian perlaksanaan pula, bergantung kepada tahap keupayaan individu-individu yang diamanahkan memenuhi tanggungjawab. Firman ALLAH dalam ayat 58, Surah An-Nisaa bermaksud:

Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. [3]

7. Ayat tersebut menyentuh tiga komponen penting, pertama; amanah wajib diserahkan kepada seseorang yang memiliki keahlian dalam perkara yang dipertanggungjawabkan, kedua, hukum hendaklah dipatuhi dan ketiga, hukum dilaksanakan secara adil. Keharmonian hidup insan dan ketenteraman alam dapat berlangsung, selagi tiga komponen tersebut dipatuhi. Hari ini, kita selamat sampai ke Dewan ini, kerana tanggungjawab memandu kenderaan yang kita naiki, diserahkan kepada para pemandu yang memiliki kemahiran memandu dan pengetahuan tentang laluan untuk sampai ke destinasi. Hari ini, dengan izin ALLAH Subhanahu Wata’ala, ramai pesakit, sembuh daripada penyakit, kerana mereka dirawati oleh para doktor yang memiliki keahlian dalam bidang perubatan. Hari ini, kita mengenali huruf dan berupaya khatam Al-Quran, kerana ibu bapa kita, telah menyerahkan kita untuk mempelajari Al-Quran kepada para ustaz dan ustazah yang memiliki pengetahuan untuk mengajar Al-Quran.

8. Perkataan hukum, merangkumi peraturan, tatacara, prosedur dan tertib. Hari ini, kita selamat sampai ke tempat yang dituju, kerana pemandu kenderaan yang kita naiki, menghormati peraturan di jalan raya. Hari ini, harta atas nama kita, menjadi milik kita, kerana manusia menghormati hukum, lalu mengiktiraf hak milik seseorang individu. Hari ini, manusia memandang tinggi dan memuliakan para kadi, hakim dan ketua, selagi mereka melaksanakan hukum secara adil, atas perkara-perkara yang terletak di bawah bidang kuasa masing-masing. Firman ALLAH dalam ayat 24, Surah As-Sajdah, bermaksud;

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar (ia itu sabar dengan menegakkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat kami”.[4]

9. Sejarah telah membuktikan, sama ada organisasi, institusi, urusniaga mahupun negara, apabila dipertanggungjawabkan amanah kepada mereka yang bukan ahli, berlakulah kekecohan yang berakhir dengan kemusnahan. Malah sejarah turut membuktikan, jika sekalipun amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka yang ahli dalam bidang tertentu, tetapi apabila hukum disisihkan dan keadilan dipinggirkan, akan terjejaslah keharmonian insan dan ketenteraman awam, mengakibatkan organisasi, institusi, urusniaga mahupun negara berakhir dengan kehancuran.

10. Para pendukung amanah, wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil pada setiap masa, tanpa memilih kasih tanpa berasa gentar. Tugas, wajib disempurnakan secara berhemah, terutama, kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa. Perbuatan para pegawai penguatkuasaan, memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam. Tindakan secara kasar dan keras, yang merendah-rendah dan memperkecilkan, hingga mengakibatkan orang merasa terhina, dizalimi dan diaibkan, baik secara lisan apatah lagi secara perbuatan, tidak harus berlaku dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pegawai penguatkuasaan agama.

11. Pegawai-pegawai penguatkuasaan agama berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum. Keindahan Islam itu wajib dicerminkan dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi, dengan mengamalkan pendekatan berdakwah, untuk menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak yang melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup, mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling. Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya pendekatan punitif.

12. Dalam tempoh lima tahun perlaksanaannya, pelan strategik ini harus memberi ruang kepada pengubahsuaian. Teknologi pada hari ini, berubah dengan fasa yang tersangat laju. Situasi ekonomi dan urusniaga dunia, begitu jua senario politik dan urus tadbir dunia tidak kekal statik. Penemuan baru terus berlaku, perubahan turut berlaku sepanjang masa. Apa yang hari ini, disifatkan baru, boleh menjadi sejarah dan boleh menjadi jumud dalam tempoh masa yang singkat. Oleh itu, ahli-ahli MAJLIS hendaklah berwaspada, peka dan cerdas untuk membaca dan mentafsir dinamik yang berlaku, serta sedia melakukan pengubahsuaian kepada strategi yang telah diperkenankan ini, selaras dengan perkembangan dan perubahan, senario semasa dunia dan negara.

13. Pembinaan imej dan reputasi serta membina persepsi positif masyarakat terhadap MAJLIS, adalah komponen yang amat perlu diberikan perhatian. Pengendalian dan pengurusan media, amat penting diurus secara profesional, supaya media dapat membantu membina imej dan reputasi MAJLIS, agar masyarakat mempunyai persepsi positif terhadap MAJLIS. Amatlah silap, jika organisasi bersikap pasif dan berandaian bahawa masyarakat akan dapat memahami niat baik yang mahu mereka laksanakan. Amalan yang kurang bersifat anticipative, amalan yang tidak proaktif, atau amalan yang lebih cenderung bersifat defensif, selepas berlakunya sesuatu kesalahfahaman, sudah tidak sesuai lagi. Era ini adalah era yang menuntut pengurusan mengamalkan budaya ketelusan dan keterbukaan maklumat. Oleh itu, Yang Dipertua dan ahli-ahli serta pengurusan MAJLIS, wajib mengurus imej MAJLIS dan persepsi awam secara profesional.

14. Semoga tekad, iltizam dan usaha kolektif warga MAJLIS menghasilkan pelan strategik ini akan membuahkan hasil, berupaya membawa MAJLIS mencapai kejayaan yang lebih gemilang. Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada setiap seorang yang terlibat menghasilkan pelan strategik ini. Semoga jasa bakti tersebut diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf.

15. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan Logo dan Pelan Strategik MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK.

Ending of Speech

  1. Mohamad Zaidi Abdul Rahman, “Aplikasi Maqasi Al-Syariah Dalam Pentadbiran Negara: Satu Tinjauan Sejarah Islam, Jurnal Fiqh, No 12 (2015), 29-56.
  2. Al-Quran, Surah Al-Baqarah, (2:185)
  3. Al-Quran, An-Nisaa (4:58)
  4. Al-Quran, Surah As-Sajdah (32:24)
%d bloggers like this: