(DI ZAHIRKAN OLEH DYTM RAJA MUDA PERAK)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan limpah kurnia dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan, bagi tahun 1426 Hijrah dan menzahirkan titah bagi pihak Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
3. Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam membuka satu era baru dengan terbinanya sebuah Kerajaan dan Negara Islam. Kerajaan Islam tersebut dilandaskan kepada peraturan dan undang-undang melalui Perlembagaan Medina. Dengan terbinanya sebuah Kerajaan Islam, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah meletakkan satu mercu tanda kepimpinan berlandaskan Islam.
4. Baginda memperkenalkan sistem ‘syura’, sistem pentadbiran yang dilandaskan kepada perundingan. Sistem ‘syura’ memberikan peluang kepada manusia untuk menghurai seruan ILAHI dan mengaitkannya dalam mengurus kehidupan manusia dan kehidupan alam. Kerajaan Islam Medina menekankan peranan pemimpin yang perlu diimbangkan antara tanggung jawab terhadap Tuhan Yang Maha Mencipta serta tanggung jawab terhadap manusia dan alam persekitaran. Kerajaan Islam Medina juga menggariskan ketetapan betapa perlunya pemimpin bersifat telus, jujur, ikhlas dan amanah serta tidak berlaku zalim, bersih dari rasuah dan jauh sekali dari menyalah gunakan kuasa.
5. Pemimpin mempunyai tanggung jawab yang perlu dilaksanakan secara amanah lagi adil. Kekayaan yang dilimpahkan Allah di dunia ini adalah rahmat dan dijadikan sumber rezeki. Sumber rezeki itu perlu diuruskan dengan bijak tanpa melakukan kemusnahan dan pembaziran serta hendaklah dibahagikan secara saksama. Kepimpinan Baginda menjadi contoh ikutan para sahabat dan umat Islam ketika itu. Baginda memperkenalkan satu sistem kerajaan dan pemerintahan yang adil, stabil lagi makmur hingga membina satu tamadun bangsa yang penuh keagungan.
6. Peristiwa Hijrah bukan sekadar pergerakan fizikal manusia dari Mekah ke Medina. Peristiwa Hijrah memperlihatkan perubahan minda manusia dari era pemikiran jahiliah ke era pembaharuan. Kerana itu peristiwa Hijrah telah disusuli dengan pembangunan insan, pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan perdagangan dan ekonomi serta pembangunan diplomasi dan hubungan antara bangsa. Peristiwa Hijrah membawa satu pembangunan insani yang hebat hingga membina satu tamadun yang agung.
7. Peristiwa Hijrah telah berlangsung selama 1426 tahun. Dalam tempoh tersebut dunia telah berkembang dan terus berkembang pesat. Zaman Pembaharuan (Renaissance) telah muncul. Era pertanian telah beralih ke era industri dan dunia kini berada di era teknologi komunikasi dan maklumat. Ilmu pengetahuan kini menjadi faktor penentu utama kepada pencapaian kejayaan terutama sekali di bidang ekonomi. Ekonomi berpaksikan pengetahuan telah mengubah struktur ekonomi dunia. Kejayaan tidak lagi bergantung kepada sumber prima dan hasil bumi. Sektor perkhidmatan merupakan sektor paling berkembang dan berpotensi besar.
8. Perangkaan di tahun 2000 memperlihatkan 150 billion ringgit bertukar tangan dalam setiap minit perdagangan global. Dari angka tersebut hanya dua peratus dari nilai dagangan berbentuk barangan; selainnya adalah berbentuk perkhidmatan dan royalti kepada daya imaginasi dan daya cipta. Daya imaginasi dan daya cipta bergantung kepada keupayaan minda; minda yang memiliki daya fikir dan daya imaginasi, minda yang kaya dengan inovasi – kaya dengan kreativiti.
9. Minda adalah satu anugerah besar ILAHI kepada umat manusia yang dipilih untuk menjadi khalifah di bumi Allah. Agama Allah adalah agama kebenaran. Kebenaran di dalam pelbagai cabang ilmu, baik sejarah, politik, ekonomi, sains, teknologi termasuk ilmu agama akan dapat ditemui melalui akal dan melalui minda yang aktif dan rajin berfikir. Minda akan menjadi inovatif dan kreatif, jika minda selalu diasah untuk berfikir hingga minda berhasrat dan berani berhijrah menerokai alam baru.
10. Cabaran dunia semasa memerlukan ketajaman dan kepantasan minda. Dunia hari ini memberi kemenangan kepada keupayaan menguasai minda. Oleh itu dalam usaha menegakkan kebenaran ILAHI, umat Islam perlu mempunyai keupayaan dan kekuatan minda. Minda perlu dikeluarkan dari kepompong keselesaan untuk di bawa berhijrah merentasi sempadan menerokai
pemikiran-pemikiran baru. Minda umat Islam harus mempunyai kekuatan untuk berupaya bersaing di luar gelanggang masyarakat Islam memperlihatkan kebernasan dan ketajaman, menyuarakan pendirian umat Islam di persada dunia dengan segala keberanian yang didukung oleh fakta.
11. Untuk itu program Maal Hijrah perlulah dilaksanakan dengan matlamat untuk meningkatkan perkembangan dan ketajaman minda. Minda umat Islam perlu dikembangkan dengan pengetahuan, diperkaya dengan fakta, diberanikan dengan keyakinan dan diperkukuhkan dengan pendirian. Minda umat Islam hendaklah hidup subur kerana minda yang kaku akan hanya membawa umat menjadi jumud.
12. Semoga usaha ke arah memperkayakan minda berlandaskan semangat hijrah mendapat rahmat dan petunjuk dari ILAHI. Dengan ini, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta melancarkan sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1426 Hijrah.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*********