MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH AHLI-AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MASJID

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

 

MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH

AHLI-AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MASJID

 

TARIKH:  13 SAFAR 1445 / 30 OGOS 2023 (RABU);

JAM: 3.00 PETANG

TEMPAT: KOMPLEKS ISLAM DARUL RIDZUAN, IPOH.

Masjid berperanan penting sebagai pusat yang mengembangkan syiar Islam dan membangunkan tamadun. Masjid dirujuk sebagai rumah Allah, tempat paling istimewa di muka bumi ini, tempat yang diiktiraf mulia, suci dan barakah untuk melakukan ibadah. Dengan sifat Maha Pemurah Allah Subhanahu Wata’ala, negeri Perak ketika ini mempunyai 707 buah masjid. Seiring dengan pertumbuhan penduduk, dikembari pembangunan kawasan penempatan dan perumahan yang baharu, permintaan untuk membina masjid baharu terus dikemukakan. Masyarakat Islam di negara ini pada hari ini, sewajibnya bersyukur kerana mempunyai kemudahan masjid yang dapat memenuhi permintaan. Perkara yang lebih perlu diberikan perhatian ialah aspek pengimarahan masjid.

2. Banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid, dan banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid. Oleh itu falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, tiga puluh malam setahun pada bulan Ramadhan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha. Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi. Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan untuk membina masjid, dan sewajarnya diperlengkap dengan usaha untuk mengimarahkan masjid.

3. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga yang dianjurkan dalam tahun 1992, dan Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang berlangsung dalam tahun 1999, begitu juga Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada tahun 2009, merumuskan resolusi khusus mengenai peranan masjid. Ditegaskan pentingnya masjid berperanan lebih aktif, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya.

4. Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam tidak sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid. Baginda lebih mengutamakan komponen perisian untuk mengimarahkan masjid. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah meletakkan masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat pembangunan ilmu, pusat pembangunan budaya dan pusat pembangunan ekonomi. Membangunkan, memakmurkan dan mengimarahkan masjid ialah sunah. Beta gembira mengikuti kemajuan yang berjaya dicipta oleh beberapa buah masjid di negeri Perak melalui program-program yang memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Kejayaan-kejayaan tersebut hendaklah dijadikan contoh ikutan oleh masjid-masjid di negeri Perak.

5. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam turut memperkenalkan konsep syura sewaktu melaksanakan pemerintahan dan dalam usaha membangunkan ummah dan membina tamadun. Syura bermaksud, perbincangan dalam kalangan ahli untuk mengambil pendapat bagi mencapai keputusan yang tepat[1]. Perbincangan mestilah dihadiri oleh orang-orang yang memiliki keahlian dan kepakaran dalam perkara-perkara yang mahu diputuskan.

6. Syura ialah forum yang membolehkan berlakunya percambahan minda dan pertukaran pendapat, berlangsung dalam suasana tertib, sopan, profesional dan berdisiplin. Syura memberikan kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat dan kepada pihak yang bertikai pendapat untuk mencari persefahaman dan rumusan secara rasional dalam semangat saling mendengar dan saling menghormati pendapat yang berlainan dan berbagai. Melalui syura, ahli-ahli berpeluang menghalusi isu, meningkatkan persefahaman, melontarkan idea, merungkaikan permasalahan dan mengemukakan jalan penyelesaian.

7. Syura ialah pendekatan pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam kerana syura membolehkan pemerintah mencari penyelesaian dan mencapai keputusan yang melibatkan rakyat dalam semangat permaafan dan perundingan, selaras dengan firman Allah yang terkandung dalam ayat 159 Surah Ali-Imran yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu). Dan sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang dilakukan oleh mereka terhadapmu) dan mohonkanlah keampunan bagi mereka serta bermesyuaratlah dengan mereka dalam apa-apa urusan (peperangan dan soal keduniaan). Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada Nya”.[2]

8. Idea penubuhan Majlis Perundingan Masjid, dicetuskan melalui majlis syura, iaitu program percambahan minda yang diadakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan ahli-ahli jawatankuasa masjid di negeri Perak. Idea tersebut telah diangkat sembah dan mendapat perkenan Beta. Beta turut memperkenankan nama-nama yang diperakukan oleh urus setia untuk dilantik sebagai ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 18 bermaksud:

“Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka diharapkan mereka termasuk dalam golongan orang yang mendapat hidayah petunjuk”.[3]

Semoga nama-nama yang diangkat sembah untuk mendapat perkenan Beta dilantik sebagai ahli, terdiri daripada kalangan Muslimin dan Muslimat yang memenuhi inti pati yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut.

9. Majlis Perundingan Masjid ini, ialah majlis syura, merupakan entiti baharu, yang diperkenalkan dan ditubuhkan buat pertama kali. Semoga melalui Majlis ini akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid. Ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna, dikeluarkan dari kotak sempit, dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.

10. Semoga masjid-masjid di negeri Perak akan dapat ditingkatkan pengimarahannya melalui idea-idea segar yang dicetuskan dalam persidangan Majlis Perundingan Masjid. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk dan hidayah memandu kita ke jalan yang lurus;

  1. Kamus Dewan Perdana, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka), 2021; 2197.
  2. Al-Quran, Surah Ali Imran (3:159)
  3. Al-Quran, At-Taubah (9:18)
%d bloggers like this: