MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN HAKIM-HAKIM SYARIAH NEGERI PERAK DAN ANGGOTA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN

HAKIM-HAKIM SYARIAH NEGERI PERAK

DAN

ANGGOTA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK.

TARIKH: 5 SYAABAN 1442 / 19 MAC 2021 (JUMAAT)

JAM: 11.00 PAGI

TEMPAT: KOMPLEKS ISLAM DARUL RIDZUAN, IPOH.

‘MENGHAYATI AJARAN – MENERAPI NILAI’

Berpandukan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018, Beta memperkenankan pelantikan Hakim-hakim Syariah Mahkamah Utama, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Negeri Perak. Pelantikan yang diperkenankan ini merupakan satu amanah – satu tanggungjawab. Junjunglah amanah dan laksanakan tanggungjawab berpandukan firman Allah yang terkandung dalam ayat 58 surah Al Nisa, bermaksud:

“Sesungguhnya, ALLAH menyuruh mu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada mu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1]

Jadikan pedoman, hadis daripada Buraidah bin al-Hashib Radiallahuanhu, akan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang maksudnya:

“Para kadi terbahagi kepada tiga golongan: satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum, maka dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.”[2]

2. Islam menetapkan tatacara hidup menurut yang diredai Allah untuk memastikan kebahagiaan hidup di dunia, dan kesejahteraan berada di alam akhirat. Insan yang menghayati ajaran Islam, insaf untuk mematuhi setiap suruhan dan menjauhi setiap larangan yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Hukum dan peraturan berlandaskan syariah lebih luas skop akauntabilitinya, tidak terbatas kepada hukum dan peraturan duniawi menyentuh hubungan insan sesama insan, dan hubungan insan dengan negara, malah merangkumi hubungan lebih agung dengan Allah Subhanahu Wata’ala. Insan yang menghayati ajaran Islam sepenuhnya, gentar akan hukuman yang menanti, bagi setiap kesalahan yang telah dilakukan baik terhadap diri, keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Daripada perspektif Islam, setiap kesalahan yang dilakukan oleh seseorang insan, ditafsirkan telah melakukan dosa; kerana itu manusia diunjurkan memohon keampunan Ilahi atas dosa yang telah dilakukan di sisi Allah yang bersifat Maha Pengampun.

3. Pada masa yang sama, manusia diingatkan bahawa pengampunan dosa yang dilakukan sesama manusia, perlu dipohon daripada manusia yang dosa tersebut telah dilakukan. Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai, merupakan antara perlakuan jenayah terhadap organisasi, syarikat atau kerajaan. Perlakuan jenayah-jenayah tersebut turut memberikan implikasi perlakuan dosa terhadap pemegang kepentingan (stakeholder) entiti-entiti berkaitan, sama ada mereka terdiri dari pemegang saham, pemilik syarikat atau rakyat sesebuah negara. Manusia yang telah melakukan dosa sesama insan tetapi tidak memohon ampun atau tidak diampunkan dosanya oleh insan yang dia telah melakukan dosa, meskipun secara zahir terlepas daripada hukuman di dunia, tetapi tidak dapat lari daripada diadili di Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan nanti.

4. Insan yang menghayati ajaran Islam, sama sekali tidak mahu meninggalkan dunia dengan membawa bersamanya ke liang lahad, dosa yang tidak mendapat keampunan, dosa yang akan menjadi beban seksaan ketika berada di alam barzakh, dosa yang akan dibentangkan untuk diadili di Padang Mahsyar, dan dosa yang berkemungkinan menjerumuskan seseorang insan menerima azab neraka.

5. Insan yang menghayati ajaran Islam akan takut melakukan dosa. Insan yang menghayati ajaran Islam, jika telah melakukan dosa akan segera bertaubat, atau mengaku kesalahannya, dan memohon maaf daripada orang yang mereka telah lakukan dosa. Insan yang berjaya dididik menghayati ajaran Islam, berasa tersangat takut untuk melakukan dosa. Apabila lebih ramai insan menghindarkan diri daripada melakukan dosa, kejadian jenayah akan menurun, dan beban kerja di mahkamah akan bertambah ringan. Insan yang menghayati ajaran Islam, apabila terlajak melakukan dosa, memilih segera bertaubat, mengaku telah melakukan dosa, dan reda menerima hukuman ketika berada di dunia kerana gentar untuk menghadapi ILAHI pada hari kebangkitan dengan wajah yang bergelumang dosa.

6. Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak merasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar untuk menghadapi seksa kubur dan azab neraka, hinggakan insan yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa, memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah, tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi. Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa. Mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi, yang sering kali pula dibiayai dari wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa.

7. Realiti yang berlaku pada hari ini, memberikan gambaran bahawa masih ramai ummah yang belum menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Dosa sesama manusia bukan sahaja dilakukan, malah dilakukan secara berterusan, secara berulang, secara lebih berani, membayangkan dalam kalangan yang melakukan dosa, sama sekali tiada rasa gentar terhadap apa yang bakal ditempuhi di alam barzakh dan alam akhirat.

8. Perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah dan penjara. Jenayah lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai-nilai Islam secara berkesan, sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan, yang menyedari bahawa pada setiap masa, Malaikat Raqib dan Atid yang juga disebut Kiraman-Katibin, ditugaskan untuk mencatat setiap perbuatan insan. Setiap insan yang melakukan dosa, boleh menipu hakim, mahkamah, peguam, masyarakat dan orang ramai, tetapi mereka tidak boleh menipu dirinya dan tidak boleh menipu ALLAH Subhanahu Wata’ala. Oleh yang demikian, pendekatan pencegahan, menerapkan nilai-nilai Islam secara berkesan, merupakan pendekatan yang wajib diberikan fokus, dan angka jenayah yang rendah hendaklah dijadikan pengukur kejayaan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam.

9. Firman Allah dalam ayat 13 dan 14, Surah Al-Kahfi bermaksud:

“Kami ceritakan kepada mu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka”[3]

“dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya andai kami melakukan sedemikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran”[4]

10. Pemuda yang dimaksudkan dalam ayat 13 dan 14 Surah Al-Kahfi ialah sekumpulan pemuda yang Allah mencatat sumbangan mereka berusaha mengembalikan masyarakat pada zaman mereka kepada ajaran Islam sebenar. Mereka melambangkan golongan remaja yang mendukung idealisme yang tinggi, berpegang kepada prinsip kebenaran dan memiliki kekuatan untuk menegakkan kebenaran.

11. Sejarah menunjukkan ramai sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah menabur bakti membantu usaha Baginda memperkembangkan Islam ketika masih berusia muda. Antara mereka ialah Abdullah bin Abas, Abdullah bin Umar, Muaz bin Jabat, Khalid ibnul Walid dan Al-Mutsana bin Haritsah. Zubair al Awwam Az Zubai bin Awwan ketika berusia 15 tahun, sering dirunding oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam untuk memimpin gerakan dakwah Islamiah; Zaid bin Tsabit yang memiliki kelebihan celik huruf, mendaftar nama untuk berjihad sejak usia 13 tahun, kepakarannya telah digunakan untuk menulis wahyu ketika berusia 21 tahun, sementara Usamah bin Zaid telah dilantik sebagai ketua angkatan tentera ketika berusia 18 tahun.

12. Sejarah turut mencatatkan karisma kepimpinan anak muda mencipta kejayaan apabila diberikan peluang seperti yang dibuktikan oleh Muhammad al-Fatih, menaiki takhta Kesultanan Uthmaniyyah ketika berusia 19 tahun dan ketika berusia 21 tahun berjaya menakluki Constantinople. Alexander The Great mewarisi takhta pemerintahan Macedonia ketika berusia 20 tahun, sementara Salahuddin al-Ayubi menjadi Sultan di Mesir dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyah ketika berusia 37 tahun.

13. Ketika memimpin gerakan kemerdekaan Indonesia, Presiden Soekarno (Allahyarham) pernah mengungkapkan kata-kata, “Beri Aku 10 Pemuda, Maka Akan Ku Goncang Dunia”. Hari ini, Malala Yousafzai, Greta Thunberg, Jaylen Arnold, Marley Dias, Isra Hisri. Sophie Cruz, Jasilyn Charger, Jazz Jennings, Param Jaggi dan Abigail Lupi merupakan sepuluh orang anak muda, melalui gerakan mereka telah mengubah dunia. Malala Yousafzai diiktiraf sebagai aktivis memperjuangkan pendidikan wanita; beliau pemenang Nobel Peace Prize termuda, menerima anugerah tersebut ketika berusia 17 tahun. Greta Thunberg pada usia 15 tahun, telah mencabar pemimpin dunia dan kini diiktiraf sebagai aktivis yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar. Abigail Lupi ketika berusia 10 tahun telah mengasaskan Care Girlz, sebuah organisasi yang berusaha menangani masalah kesunyian yang dialami oleh penghuni rumah orang tua. Dalam kalangan penerima anugerah JCI Ten Outstanding Young Persons of the World, Wassim Dhaouadi dari Tunisia, dalam tahun 2020, ketika berusia 22 tahun, berjaya merungkaikan masalah fizik yang menjadi misteri selama lebih seratus tahun, dan Aaron Hannon dari Ireland yang berjaya menghasilkan pelbagai inovasi daripada kawalan serangga merentas ke kereta Formula One, kini merintis usaha menghasilkan

alat pengudaraan (ventilator) berharga murah dalam niat mahu membantu memenuhi keperluan pesakit Covid-19 yang miskin.

14. Mengambil iktibar daripada pelbagai sumber akan peranan penting golongan remaja mencipta sejarah, Beta memperkenankan, buat pertama kalinya, melantik dua orang mewakili belia, seorang lelaki dan seorang wanita, sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program di bawah anjuran Majlis dengan menyuntik dinamisme baharu. Golongan remaja wajib didampingi, suara golongan remaja wajib didengari, pandangan golongan remaja wajib difahami, kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf, agar program-program yang dianjuri atas nama Islam, berbentuk lebih relevan dengan golongan remaja hingga berjaya menarik penyertaan lebih ramai golongan remaja berjinak dengan aktiviti-aktiviti di masjid dan program-program atas nama Islam. Dengan pelantikan seorang lagi anggota wanita, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kini, memiliki tiga orang anggota wanita.

15. Semoga segala yang diusahakan mendapat restu Ilahi dan segala yang dihasratkan dimakbulkan Ilahi. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala terus memberikan taufik dan hidayah membimbing kita menemui Siratulmustakim. Amin Ya Rabul Alamin.

  1. Al-Quran, Al-Nisa’’, (4:58).
  2. Riwayat Abu Daud 3573
  3. Al-Quran, Al-Kahfi (18:13)
  4. Ibid, (18:14)
%d bloggers like this: