Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Di Pertua Dan Anggota Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak, Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak.

‘KEPIMPINAN DAN MASYARAKAT BERTERASKAN ISLAM’

Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas perkhidmatan yang telah diberikan ketika menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab sepanjang tempoh keanggotaan dan keahlian mereka pada penggal 2018 sehingga 2020.  Beta mengalu-alukan serta meletakkan amanah dan menyerahkan tanggungjawab kepada Yang Dipertua, anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, serta ahli Jawatankuasa Fatwa yang dilantik bagi penggal 2021 sehingga 2023, demikian juga kepada Hakim Utama Syariah dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak yang dikurniakan watikah lantikan pada pagi ini.  Junjunglah amanah ini dengan sebaiknya dan jadikan pedoman sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang pada janjinya”[1]  

2.      Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; sementara Perkara 3(2) memaktubkan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam Negeri; dan Perkara 3(3) dan 3(5), memaktubkan Yang di-Pertuan Agong berkedudukan sebagai Ketua Agama di Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak; begitu juga di Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

3.      Peruntukan khusus mengenai Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, telah meletakkan agama Islam berada di tempat istimewa di negara ini.  Peruntukan tersebut memberikan identiti kepada negara dan turut membuktikan agama diiktiraf ada peranan tertentu dalam menentukan arah haluan, begitu juga urusan negara.  Peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan bahawa tanggungjawab mengenai agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walau apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik negara dan negeri selepas setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

4.      Agama Islam yang diamanahkan tanggungjawab kepada Raja Pemerintah, akan lebih terjamin dilindungi kesuciannya.  Ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan Sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, wajib dilindungi kesuciannya daripada sebarang manipulasi.  Hukum hakam dan tafsiran mengenai Islam tidak boleh dibenarkan untuk ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana kumpulan hingga tergelincir daripada landasan sebenar.  Umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.     

5.      Islam yang diperuntukkan kedudukan istimewa dalam negara ini hendaklah diangkat kemuliaannya.  Kemuliaan Islam tidak bergantung semata-mata kepada kedudukannya seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.  Tanpa adanya pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan; laksana skrip kosong yang tidak memberikan sebarang erti – sebarang makna.   Tanggungjawab memberi erti – memberi makna kepada frasa perundangan tersebut, terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.

6.      Sedarilah! manusia tidak boleh menerima satu akidah yang kosong – akidah yang tidak dapat dilihat kewujudannya.  Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan di setiap bangunan.  Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji – secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.    Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata.  Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat yang menerima ajaran Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.  Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya.  Oleh itu amatlah penting untuk ummah mengamalkan dan berusaha menegakkan budaya hidup berteraskan Islam.

7.      Masyarakat Islam hendaklah dibina daripada kalangan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna dalam semua lapangan, merangkumi kehidupan-kehidupan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara.  Masyarakat Islam hendaklah diserlahkan melalui kecemerlangan ummah menguasai ilmu dan pengetahuan, pekerjaan dan profesion, penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan, serta kehebatan budaya dan keagungan tamadun.    

8.      Kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui aktiviti sosial, kegiatan ekonomi dan etika berpolitik.  Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas. 

9.      Islam menganjurkan penyerahan diri seseorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata’ala.  Ketika berusaha membina masyarakat berlandaskan Islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengutamakan aspek pengukuhan dan pemantapan akidah.  Baginda terlebih dahulu memberikan tumpuan untuk membersihkan hati nurani seseorang insan agar insan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala, menghayati kalimah syahadah yang telah dilafazkan.     

10.    Seseorang insan melangkah masuk ke alam Islam setelah memenuhi Rukun Islam pertama, melafazkan kalimah syahadah, mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan pengakuan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam Pesuruh Allah.  Insan yang berpegang pada kalimah syahadah akan membuktikan sifat-sifat sayang, takut, menghormati dan mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata’ala, mematuhi Sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam serta berpegang kepada Rukun Iman, mempercayai adanya hari pembalasan dan adanya alam akhirat.  Insan yang menghayati nilai-nilai Islam tidak akan merasakan dirinya lebih tinggi, lebih mulia atau lebih berkuasa berbanding insan lain.  Insan yang jitu imannya dan teguh akidahnya, berpegang kukuh kepada ketauhidan Ilahi dan akan terus memohon taufik dan hidayah, perlindungan dan kekuatan daripada Ilahi; dan pada setiap masa memohon keampunan sekiranya dia telah melakukan kecuaian, kealpaan dan ketelanjuran hingga menjadi punca kepada kesengsaraan ummah, kesusahan masyarakat dan kepincangan negara.  Seseorang insan yang memiliki sifat-sifat takwa, akan bersifat jujur dan ikhlas apabila diamanahkan dengan tanggungjawab; dan apabila diangkat untuk memimpin, akan menjunjung amanah secara luhur dan tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan. 

11.    Insan yang menjiwai roh Islam yakin bahawa Allah Subhanahu Wata’ala akan memberi hidayah, membantunya agar berupaya melakukan perkara yang benar dan betul.  Insan yang menjiwai roh Islam apabila diangkat untuk memimpin amat prihatin untuk melaksanakan tanggungjawab secara berdedikasi, mentafsirkan tanggungjawab sebagai ibadah yang perlu dilaksanakan secara bersungguh, mempamerkan sifat-sifat kemanusiaan, keihsanan, belas kasihan, kejujuran dan keadilan, dan akan berusaha untuk mengharmonikan kehidupan insan ciptaan Ilahi yang terdiri dari pelbagai agama, kaum dan budaya di bumi Allah ini.

12.    Rakyat sedang memerhati, mendengar dan mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini; lebih daripada itu, Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar.  Segala kejadian yang berlaku, hendaklah ditafsirkan dengan berlandaskan iman yang meyakini kuasa dan keadilan Ilahi.  Apa juga ujian yang sedang dilalui oleh ummah, sesungguhnya berpunca daripada perbuatan zalim yang dilakukan oleh manusia, berpandukan peringatan yang terkandung dalam ayat 87, Surah Al-Anbiya:

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus) ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan menyempitkannya (menyulitkannya), maka dia berdoa dalam keadaan yang sangat gelap.  Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau.  Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”[2]

Ya Malik! Ya Muhaimin! Ya Aziiz! Ya Khaaliq!

13.    Hamba-Mu memerhatikan sebahagian ummah Mu, kini berada dalam keadaan bagaikan hilang pedoman – luntur pegangan, hanyut dalam arus kuasa dan kemewahan dunia.  Hamba-Mu juga sedang menyaksikan sebahagian ummah Mu sedang dilanda pelbagai kepincangan, kecelaruan, kekeliruan dan kekusutan hingga menjejaskan nilai moral, akhlak, budi pekerti, akidah, takwa dan tauhid.  Hamba-Mu memohon agar dilindungi ummah-ummah yang tidak berdosa daripada ditimpa bala bencana akibat daripada perbuatan zalim pihak-pihak yang telah melanggar perintah Mu Ya Allah.

Ya Wahhab! Ya Razak! Ya Rafiq! Ya Muiz!    

14.    Di atas bahu hamba-Mu ini telah Engkau amanahkan tanggungjawab berat sebagai Ketua Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan.  Kepada Mu jua, hamba-Mu memohon dikurniakan hidayah agar dapat membantu hamba-Mu menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, agar hamba-Mu berupaya memimpin para jemaah menemui jalan lurus, jalan yang dapat memberi kebahagiaan dunia – kebahagiaan akhirat.  Kurniai hamba-Mu dengan para wazir, para hakim, ulama dan umara yang mempunyai iman yang jitu, pegangan tauhid yang kukuh, berani menegakkan kebenaran – tegas melaksanakan keadilan.  Limpahilah rahmat kepada negeri Perak Darul Ridzuan menjadi sebuah negeri yang gemilang seperti yang terkandung dalam ayat 15, Surah Saba, ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’[3]

15.    Ketika dunia sedang berhadapan pelbagai kemelut, sama ada berbentuk wabak penyakit yang terus menular, bencana alam yang sering melanda, polemik politik yang semakin bergelombang dan suasana ekonomi yang sedang suram, kuatkan pegangan dan kukuhkan iman sekalian hamba Mu agar yakin kepada kuasa Mu yang Esa, berpandukan ayat 23, Surah Al-Hasyr bermaksud:

“Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Maha Menguasai (seluruh alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Pemelihara Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci Allah daripada yang mereka persekutukan”[4]

Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim!       

Ampunkan segala kesilapan kami, lindungi kami daripada bisikan dan hasutan Iblis yang dilaknat, bimbing kami menemui Siratulmustakim,   makbulkan doa kami, Amin Ya Rabbul Alamin.


[1] Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA.

[2] Al-Quran, Al-Anbiya (21:87).

[3] Ibid, Saba (34:15)

[4] Ibid, Al-Hasyr (59:23)

In the News:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775391/bhplus

https://www.sinarharian.com.my/article/118648/BERITA/Nasional/Lindungi-Islam-daripada-sebarang-manipulasi-Sultan-Perak

%d bloggers like this: