TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN
YANG DIPERTUA DAN ANGGOTA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK,
DAN
HAKIM MAHKAMAH SYARIAH NEGERI PERAK
TARIKH: 30 JAMADILAKHIR 1445 / 12 JANUARI 2024 (JUMAAT)
JAM: 10.30 PAGI
TEMPAT: KOMPLEKS ISLAM DARUL RIDZUAN, IPOH.
‘JUNJUNGI AMANAH – SEMPURNAI TANGGUNGJAWAB’
Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak penggal 2021-2023, atas khidmat bakti mereka menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023. Beta mengalu-alukan serta meletakkan amanah dan menyerahkan tanggungjawab kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, penggal 2024 – 2025, demikian juga kepada hakim-hakim Mahkamah Syariah yang akan dikurniakan watikah lantikan pada pagi ini.
2. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS) ditubuhkan secara perundangan, berperanan membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, kecuali perkara-perkara hukum syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Negeri Perak selepas Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak).[1]
3. Selain berperanan menasihati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, menjadi hasrat Beta untuk MAJLIS turut menjadi badan bertindak dan kumpulan kerja yang aktif, menggerakkan pelbagai program untuk meningkatkan syiar Islam, memakmurkan pelbagai institusi Islam terutamanya masjid, memajukan pemikiran, serta memperkayakan modal sosial dan modal budaya ummah melalui pelbagai aktiviti, serta inovasi yang berupaya menarik lebih ramai golongan remaja mengimarahkan masjid. MAJLIS tidak seharusnya membatasi peranan sebagai badan dengan imej yang berorientasikan isu (issue oriented body) tetapi hendaklah menjadi sebuah badan bertindak (action oriented body) yang berupaya menghijrahkan pemikiran dan menghijrahkan budaya ummah menjadi lebih dinamik – lebih progresif. Mengikuti isu-isu utama semasa, begitu juga bacaan terhadap cabaran-cabaran yang sedang dihadapi, juga memahami sumber kewangan dan sumber manusia yang terhad, Beta berpendirian adalah penting untuk MAJLIS mewujudkan rangkaian strategik agar berupaya berperanan lebih bermakna, dalam hasrat dan usaha, memenuhi tugas-tugas fardu kifayah untuk memajukan ummah dan meningkatkan syiar Islam.
4. Islam tidak wujud dalam vakum, tetapi wujud melalui dukungan para penganut yang menerima atau memilih Islam sebagai agama. Jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini ialah penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam. Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati, dan Islam akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram, serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna. Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan. Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus.
5. Agama Islam tegak atas dasar ilmu. Perkataan ilmu disebut dalam pelbagai bentuk, diulangi lebih 750 kali dalam al-Quran. Pelbagai ayat al-Quran memuliakan taraf dan mengangkat martabat insan berilmu. Melalui ayat 269, surah Al-Baqarah Allah berfirman bermaksud:
“Allah memberikan hikmah (kebijaksanaan) atau ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendaki Nya. Maka, sesungguhnya yang diberi hikmah itu dia benar-benar telah mendapat kurnia yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran (daripada firman Allah) kecuali orang yang berakal dan tulus”[2]
6. Ilmu ialah teras untuk membangunkan masyarakat yang progresif dan tamadun yang agung. Tahap penguasaan ilmu akan menentukan tahap pengertian, tahap fahaman dan tahap penguasaan sesuatu bidang kehidupan. Ilmu ialah komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seseorang insan, yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat, dan yang akan menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara. Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran, atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama.
7. Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan, melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan dan digabungkan. Dalam hasrat mewujudkan pendekatan strategik tersebut, MAJLIS bersama institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri serta Jawatankuasa Masjid, perlu digabungkan agar berupaya mewujudkan rangkaian kerja strategik, mengoptimumkan, menyelaras dan mengkoordinasi sumber dan tenaga, merintis usaha, memperkenalkan dan melaksanakan program-program yang lebih inovatif dan kreatif sifatnya, bersasar dan berfokus sesuai dengan cabaran dan keperluan semasa.
8. Belia ialah aset utama dunia. Belia menjana tenaga yang sangat dinamik. Tenaga yang sangat dinamik ini perlu diempang secara produktif, agar menjana kuasa yang konstruktif (constructive force) untuk membangunkan masyarakat dan negara. Kerugian besar kepada negara jika tenaga yang sangat dinamik ini tidak diempang secara produktif untuk menjanakan tenaga yang konstruktif lagi dinamik. Bermula penggal perkhidmatan anggota MAJLIS 2021-2023, Beta telah memperkenankan lantikan dua orang anggota daripada kalangan belia, serta memperkenankan lantikan wakil belia dalam Jawatankuasa Baitul Mal negeri dan daerah. Alhamdulillah, wakil-wakil belia yang diberikan amanah telah membuktikan dinamisme penyertaan mereka dengan menyuarakan idea-idea baharu di luar kotak. Masjid mula diperkaya dengan kegiatan riadah, sukan, dan seni silat, juga program-program pendidikan serta ekonomi. Sewajibnya, masjid diperkaya dengan aktiviti-aktiviti yang berupaya menarik minat anak muda.
9. Beta disembah maklum semasa berlangsungnya persidangan Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak pada 25 November 2023, wakil belia telah menyarankan agar masjid menganjurkan pertandingan e-sport atau sukan elektronik dalam kalangan belia di kariah masing-masing. Sukan elektronik atau e-sport; ia itu pertandingan sukan maya melalui permainan video[3], kini telah diterima sebagai sebahagian acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Semasa berlangsung Sukan SEA Manila 2019, atlet Malaysia berusia 29 tahun, seorang pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan elektronik, dan penolong profesor di Universiti Heriot Watt, Dr. Yew Weng Keng telah memenangi pingat emas sulung untuk Malaysia dalam permainan ‘hearthstone’[4] Pemenang pingat gangsa acara ‘mobile legends’ wanita di Sukan SEA Phnom Penh 2023, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi, ialah seorang hafizah 30 juzuk al-Quran ketika berusia 14 tahun, penuntut Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Profesional MARA Beranang yang memperoleh CGPA 4.0 selama lima semester berturut-turut.[5]
10. e-Sukan merupakan satu trend ketika ini. Remaja dan generasi muda akan lebih terikut dengan permainan elektronik. Ibu bapa dan masyarakat seharusnya melihat permainan elektronik secara positif, kerana permainan elektronik sebenarnya boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.[6] Ibu bapa dan pendidik hendaklah berperanan sebagai pemudah cara dan pengimbang, memberikan bimbingan kepada anak muda untuk menguasai kemahiran e-Sukan tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, penjagaan kesihatan juga tuntutan fardu ain dan fardu kifayah. Amatlah bertepatan agar usul yang disuarakan oleh wakil belia itu, diberikan perhatian sewajarnya dan masjid mengambil daya usaha menganjurkan pertandingan-pertandingan atau latihan-latihan, daripada dibiarkan anak muda berkelana bersendirian mengembara alam e-sukan, tanpa batas – tanpa panduan.
11. Dipercayai lantikan Pengarah Belia dan Sukan Negeri bersama Presiden Majlis Belia Negeri sebagai anggota MAJLIS akan berupaya memperkenalkan pelbagai langkah inovasi yang berupaya menarik minat dan meningkatkan penyertaan lebih ramai para belia dalam program-program keagamaan begitu juga kehadiran lebih ramai belia untuk mengimarahkan masjid. Program-program kreatif yang dapat menarik minat belia terutama para belia di luar bandar dan para belia dalam kawasan-kawasan FELDA dan FELCRA akan berperanan sebagai usaha preventif yang dapat melindungi para belia daripada terjerumus dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
12. Bermula tahun 2022, institusi agama Islam di negeri Perak telah mempromosikan kempen, “KATAKAN TIDAK KEPADA PLASTIK SEKALI GUNA”. Jabatan Agama Islam Perak telah melaksanakan kempen di semua sekolah menengah agama negeri dan Madrasah Idrisiah. Inisiatif ini dianjurkan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar melalui sisa buangan bahan plastik. Beta amat menghargai usaha yang telah dirintis dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada para guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan kempen ini.
13. Ummah berdosa jika hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan langkah pembetulan setelah menyedari kerosakan yang berlaku kepada alam dan kehidupan alam akibat sisa buangan bahan plastik. Kejayaan MAJLIS bersama Jabatan Agama Islam Perak melaksanakan kempen meminimumkan penggunaan bahan-bahan plastik wajib diperluaskan agar memberi kesan yang lebih signifikan. Untuk itu, Beta telah memperkenankan lantikan Pengarah Jabatan Alam Sekitar sebagai salah seorang anggota MAJLIS. Dipercayai Jabatan Alam Sekitar dapat memberikan input dan garis panduan penting membantu hasrat dan usaha MAJLIS untuk menyedarkan rakyat melalui institusi masjid, maahad tahfiz dan sekolah agama, aktiviti-aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Umat Islam wajib berada di barisan hadapan, menjadi contoh teladan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perbuatan-perbuatan mencemari alam yang wajib dikawal. Di samping meminimumkan penggunaan bahan plastik, institusi agama Islam dan masjid hendaklah juga berada di barisan hadapan menyedarkan rakyat mengenai program kitar semula serta menghentikan perbuatan yang mencemarkan sungai dan sumber air.
14. Alhamdulillah, bilangan masjid, maahad tahfiz dan sekolah agama yang menceburkan diri dalam program keterjaminan makanan (food security) semakin bertambah. Usaha-usaha MAJLIS menyemai kesedaran terhadap keterjaminan makanan dan pembaziran makanan telah mendapat sokongan, nasihat dan bantuan teknikal daripada Jabatan Pertanian Perak. Kesedaran rakyat mengenai masalah bekalan dan keterjaminan makanan wajib ditingkatkan. Rakyat wajib disedarkan untuk sama-sama berusaha menghasilkan bahan makanan. Masjid hendaklah berperanan sebagai pemangkin dan penukar permainan (game changer) menggerakkan ahli-ahli kariah untuk terlibat aktif menghasilkan bahan makanan. Hendaklah dijadikan sasaran, pada akhir tahun ini, agar setiap masjid dan surau di negeri Perak, menunjukkan usaha menghijaukan kawasan masjid dan surau masing-masing dengan tanaman bahan-bahan makanan. Bantuan dan sokongan Jabatan Pertanian Perak sangat kritikal untuk menjayakan kempen bumi hijau ini dan pelantikan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri dipercayai dapat membantu secara lebih berkesan pencapaian impian MAJLIS untuk memenuhi agenda keterjaminan makanan.
15. Pada pagi ini, Beta turut berkenan mengurniakan watikah lantikan seorang Hakim Mahkamah Rayuan Utama Syariah, dan enam orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Watikah pelantikan pada hari ini turut mengukir sejarah baharu di negeri Perak dengan pelantikan seorang hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah.
16. Kaedah-kaedah Peguam Syarie Perak (2003) mensyaratkan seseorang yang berhasrat menjadi pengamal peguam syarie di negeri Perak, di samping memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf, perlu menjalani peperiksaan atau temu duga yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie. Menyahut titah nasihat Beta, bermula 18 Oktober 2023, Jawatankuasa berkenaan telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, yang membolehkan mana-mana orang yang berkelayakan, yang telah memiliki sijil amalan guaman syarie di mana-mana negeri, diterima untuk beramal di negeri Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga. Kini, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal sebagai peguam syarie di negeri Perak. Langkah ini dipercayai akan memudahkan hasrat para peguam syarie yang mahu melakukan amalan guaman di negeri Perak, di samping memberikan manfaat kepada anak guaman mempunyai pilihan mendapatkan khidmat guaman syarie yang lebih luas.
17. Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak begitu juga para hakim yang dikurniakan watikah lantikan pada pagi Jumaat yang berkat ini telah diamanahkan dengan tanggungjawab. Junjunglah amanah dan sempurnakan tanggungjawab ini sebaik-baiknya, berpedoman sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang pada janjinya”[7]
Ya Malik! Ya Aziz! Ya Alim! Ya Hakim!
18. Sesungguhnya hamba-Mu ini amat insaf bahawa pemimpin yang amanah akan berlaku adil dan memenuhi tanggungjawab kepada ummah secara saksama berlandaskan hukum. Pemimpin yang amanah akan membawa rahmat kepada organisasi dan ummah di bawah pimpinannya sementara pemimpin yang tidak amanah akan memusnahkan organisasi dan merosakkan ummah di bawah pimpinannya. Insaflah! Seseorang yang diamanahkan dengan tanggungjawab, akan disoal di Padang Mahsyar mengenai tanggungjawab yang diamanahkan, sama ada telah disempurnakan dengan telus dan jujur, terutama ketelusan dan kejujuran mengurus khazanah dan membelanjakan dana. Semoga orang-orang yang telah diberikan kepercayaan, terdiri daripada kalangan insan-insan yang amanah. Semoga hamba-Mu tidak terkhilaf melakukan pilihan. Semoga pilihan Hamba-Mu ini, selaras dan memenuhi firman Mu yang terukir dalam ayat 58, Surah an-Nisa yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhan Nya itu) memberikan sebaik-baik pengajaran kepada mu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”[8]
Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim!
19. Ampunkan segala kesilapan kami, lindungi kami daripada bisikan dan hasutan Iblis yang dilaknat, bimbing kami menemui Siratulmustakim, makbulkan doa kami, Amen Ya Rabbulalamin.
- Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Subseksyen 4(1) ↑
- Al-Quran, Surah Al-Baqarah (2: 269) ↑
- Hamari, J. and Sjoblom, M.(2017), “What is eSport and why do people watch it?”, Internet Research, Vol.27 No.2, pp211-232. ↑
- https://www.mstar.com.my/sukan/2019/12/09esport-emas. ↑
- https://www.hmetro.com.my/amp/arena/esukan/2023/06/974697/atlet-mobile-legends-negara-hafaz-al-quran. ↑
- https://www.mstar.com.my/sukan/2019/12/09esport-emas. ↑
- Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA. ↑
- Al-Quran, Surah An-Nisa (4:58) ↑