Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas perkhidmatan yang telah diberikan di dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sepanjang tempoh keahlian mereka pada penggal yang lalu, dari tahun 2015 sehingga tahun 2018. Beta mengalu-alukan ahli-ahli yang dilantik bagi penggal 2018 sehingga 2021, demikian juga kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah yang dikurniakan watikah lantikan pada pagi ini.
- Sistem pentadbiran di dalam tradisi Islam didukung oleh tiga entiti, ia itu – al-Sultah al-Tasyri’iyyah (kuasa perundangan), al-Sultah al-Tanfidhiyyah (kuasa pemerintahan) dan al-Sultah al-Qada’iyyah (kuasa kehakiman),[1] sistem pentadbiran yang memiliki unsur-unsur keselarian dengan apa yang dikenali pada hari ini sebagai konsep pengasingan kuasa berpaksikan teori Montesquieu[2], yang didukung oleh badan perundangan, badan pentadbiran dan badan kehakiman.
- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS), ditubuhkan di bawah kuatkuasa undang-undang, untuk membantu dan menasihati Paduka Seri Sultan di dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam[3] dan bertanggungjawab secara langsung kepada Raja Pemerintah atas kapasiti Baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Kuasa Raja Melayu dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam bersifat prerogatif, bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian. MAJLIS adalah pihak berkuasa utama mengenai pentadbiran hal ehwal Islam selepas Paduka Seri Sultan;[4] manakala perkara berhubung hukum syarak (legislative), diletakkan di bawah tanggungjawab Mufti[5] serta Jawatankuasa Fatwa, dan perkara berkaitan keadilan (judiciary) berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.[6]
- MAJLIS, Jawatankuasa Fatwa dan Mahkamah Syariah memenuhi peranan dan tanggungjawab masing-masing secara harmoni, saling membantu – saling menyemak, serta saling nasihat menasihati demi memastikan keperluan syarak dalam urusan agama Islam dapat dilaksanakan secara adil, telus, teratur lagi dihormati.
- Selain daripada berperanan sebagai wasilah ummah di dalam urusan pentadbiran agama Islam, Majlis berperanan sebagai pendukung aspirasi dan harapan ummah untuk memangkinkan kesejahteraan hidup yang lebih baik dengan visi, menjadi sebuah institusi Islam yang syumul di dalam memacu kemajuan dan kesejahteraan, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.[7]
- Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Terbinanya Islam itu atas lima perkara, syahadah bahawasanya tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji.”[8]
MAJLIS memperlihatkan prestasi pencapaian program zakat yang cemerlang. Kutipan zakat meningkat daripada 57.96 juta ringgit pada tahun 2008 kepada 167.43 juta ringgit pada tahun 2017,[9] mencatatkan purata pertumbuhan 11% setahun. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha-usaha MAJLIS melaksanakan pelbagai program menyedarkan ummah akan tanggungjawab berzakat, baik di kalangan individu, lebih-lebih lagi di kalangan badan-badan perniagaan, terutama yang kepimpinannya diterajui oleh umat Islam. Jumlah kutipan zakat yang diperoleh adalah juga satu indikator yang menunjukkan kejayaan umat Islam meningkatkan pendapatan dan keuntungan di dalam pelbagai urus niaga yang diceburi.
- Di samping mencatatkan kutipan zakat yang terus meningkat, MAIPK turut dianugerahkan beberapa pengiktirafan. Sempena Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri Tahun 2016, MAIPK terpilih menerima Anugerah Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan); dan sempena Majlis Sambutan Tahun 2017, MAIPK terpilih menerima anugerah Inovasi Zakat Terbaik (Agihan), Anugerah Ikon Asnaf Kategori Akademik dan Anugerah Ikon Asnaf Kategori Usahawan. Beta mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah memenuhi pelbagai peranan, melaksanakan tanggungjawab secara berdedikasi lagi cemerlang, memungkinkan tercapainya pengiktirafan-pengiktirafan tersebut.
- Di dalam kesyukuran mendapat pengiktirafan, usaha-usaha penambahbaikan wajib diteruskan. Kaedah kutipan yang lebih mesra pelanggan akan terus dirintis, dan keberkesanan agihan, terutama usaha menangani kemiskinan akan terus diterokai. Berpandukan data agihan, asnaf fakir dan miskin merupakan penerima terbesar dengan peruntukan lebih 53% daripada agihan keseluruhan. Keadaan ini menandakan masih ramai ummah berada dalam kategori miskin yang wajib dibantu. Modul bantuan yang lebih inovatif, yang berupaya memberi impak berkesan hingga berjaya mengeluarkan golongan penerima daripada kepompong kemiskinan wajib diperkenalkan. Hendaklah dijadikan matlamat, semoga pada kemudiannya nanti, para penerima, ditransformasikan beralih status daripada seorang penerima kepada seorang pembayar zakat.
- Kejayaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Khalifah Bani Umayyah Kelapan pada tahun 717-720 Masihi, membasmi golongan miskin secara mutlak wajib dijadikan inspirasi di dalam melaksanakan langkah-langkah untuk membolehkan zakat berperanan sebagai instrumen pertumbuhan ekonomi dan pembangunan ummah. Antara rahsia kejayaan program pembangunan zakat yang dipelopori oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ialah menyemaikan sifat qanaah di dalam sanubari rakyat, ia itu sikap yang rela menerima dan selalu merasa cukup, hingga tidak ada lagi orang yang mahu menerima zakat ketika zaman pemerintahan baginda.
- Milik harta dan kekayaan umat Islam di negara ini berada di tahap lebih rendah berbanding milik harta bukan Islam. Keadaan lebih merisaukan, apabila Beta disembah maklum, dianggarkan 60 bilion ringgit nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut, serta aset yang beku disebabkan masalah faraid, setelah berlakunya kematian pemilik aset. MAIPK hendaklah menggerakkan langkah aktif, membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam ini, terutama membantu menghindar masalah ini daripada terus membesar. MAIPK bersama JAIPK,[10] dengan kerjasama seluruh masjid dan surau, pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta pelbagai saluran media, hendaklah menganjurkan secara besar-besaran program mendidik umat Islam melakukan hibah. Taklimat penerangan mengenai hibah hendaklah dianjurkan secara berjadual – secara menyeluruh, di seluruh negeri.
- Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya).[11] Al-Quran itu wahyu diturunkan dari Tuhan semesta alam;[12] sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa;[13] dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini.[14] Wahyu yang mengandungi peringatan, pelajaran dan kebenaran akan dapat dimanfaatkan secara optimum melalui kaedah pengajaran Al-Quran yang turut diperlengkapkan dengan komponen pemahaman dan penghayatan. Pengajaran Al-Quran hendaklah dilengkapkan dengan mengimbangkan aspek bacaan dan aspek hafalan dengan aspek-aspek pemahaman dan penghayatan serta aspek-aspek relevansi dan aplikasi dengan senario semasa.
- Majlis khatam Al-Quran bukan satu penghujung kepada pengajian Al-Quran di kalangan anak-anak keluarga Islam; di sebaliknya majlis khatam Al-Quran adalah titik permulaan untuk menyelami kandungan Al-Quran, kerana tidak harus ada garis penamat di dalam pengajian Al-Quran. Al-Quran bukan untuk sekadar dibaca dan diselesaikan dengan sekali bacaan lalu dalam hidup insan. ALLAH Subhanahu Wata’ala sendiri tidak terburu-buru menurunkan ayat-ayat Al-Quran, tetapi telah menggunakan ruang masa 22 tahun, 2 bulan, 22 hari, menurunkan wahyu secara berperingkat-peringkat sebelum Al-Quran dilengkapkan. Dalam ayat 114, surah Thaahaa, firman ALLAH bermaksud:
“Maha tinggi ALLAH, Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan katakanlah: ‘Ya Tuhanku, tambahlah kepadaku ilmu pengetahuan”[15]
Membaca Al-Quran dengan memahami maknanya wajib dijadikan budaya harian. Masyarakat mithali yang bersandarkan hidup kepada Al-Quran, InsyaAllah akan dapat dijelmakan apabila dilakukan inovasi dan pengubahsuaian kepada kaedah pengajaran Al-Quran secara yang lebih progresif, kaedah pengajaran yang membolehkan setiap ummah memahami dan menghayati peringatan, pelajaran dan kebenaran yang terkandung di dalamnya.
- Dunia yang semakin terbuka, menghamparkan pelbagai cabaran baru. Alam semesta bagaikan mengecut, menjadi lebih kecil dengan terciptanya teknologi komunikasi serta teknologi perjalanan yang semakin mendekatkan perhubungan insan. Generasi muda kini dibekalkan kemudahan mendapatkan pelbagai sumber ilmu dan bahan rujukan untuk dijadikan perbandingan. Generasi muda pada hari ini, tidak mudah memamah atau menghadam sesuatu perkara yang dilontarkan kepada mereka. Mereka memiliki daya untuk menyelidik, memiliki keberanian untuk menyoal, serta memiliki kesediaan untuk berhujah. Keadaan ini memerlukan pendekatan penerangan yang lebih lengkap lagi meyakinkan, sebelum anak-anak muda bersedia menerima sesuatu arahan, pandangan, ketetapan dan peraturan. Keadaan ini semestinya menghamparkan cabaran baru yang memerlukan pendekatan baru. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa perlu mempunyai dimensi minda yang berupaya membaca senario dan memahami tuntutan semasa, lalu menyediakan ruang yang memberikan keselesaan kepada generasi muda dapat berinteraksi untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai latar belakang, asas dan rasional agar sesuatu fatwa yang dikeluarkan, benar-benar difahami, dihormati dan dipatuhi.
- Aspek menjaga maruah untuk tidak mengaibkan nama seseorang insan amat ditegaskan di dalam Islam. Menjaga maruah, aib dan nama seseorang insan adalah sebahagian daripada komponen keadilan. Mahkamah Syariah hendaklah meneliti dan menghalusi akan tahap pendedahan prosiding kes-kes syariah yang boleh diizinkan untuk dipaparkan kepada umum, agar selaras dengan semangat yang dianjurkan oleh Islam, yang melarang manusia daripada diaibkan kepada khalayak ramai. Perbuatan mensensasikan prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah secara terbuka, hendaklah diteliti dan diperhalusi kesesuaiannya. Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah terutama yang berkaitan dengan isu-isu keluarga dan peribadi hendaklah memastikan bahawa nama baik anggota keluarga, ibu bapa dan anak-anak terjamin dilindungi daripada disensasikan.
- Nilai-nilai murni yang mengutamakan hikmah, bijaksana, sopan dan tertib yang dianjurkan oleh Islam hendaklah senantiasa dicerminkan di dalam tindak tanduk yang dilakukan atas nama Islam. Budaya kerja para pegawai dan penguat kuasa agama, hendaklah berpaksikan kepada nilai-nilai murni tersebut. Islam hendaklah diuruskan dengan penuh hikmah – penuh bijaksana – penuh sopan – penuh tertib, demi memelihara nama baik Islam tidak dicemari dan agama Islam senantiasa dihormati.
- Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk dan hidayah kepada setiap kita yang telah diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai tugas fardu ain dan fardu kifayah. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk dan hidayah memandu kita ke jalan yang lurus;
[1] Z.A Ahmad, Membentuk Negara Islam, (Djakarta: Widjaya) 1956, 264.
[2] The spirit of laws (1784)
[3] Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Subseksyen 4(1).
[4] Ibid, Seksyen 6.
[5] Ibid, Seksyen 34.
[6] Ibid, Seksyen 50, 51 dan 52.
[7] Bajet 2017 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, ms 1.
[8] Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
[9] Jumlah kutipan pada 31.12.2017,(angka yang belum diodit)
[10] Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
[11] Al-Quran: Al-Muddathir (74:54)
[12] Al-Quran: Al-Haaqqah (69:43)
[13] Al-Quran: Al-Haaqqah (69:48)
[14] Al-Quran: Al-Haaqqah (69: 51)
[15] Al-Quran: Thaaha (20:114)
In the News –