Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kedai.kom Wilayah Utara

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kedai.Kom Wilayah Utara.

3. Teknologi Maklumat dan Komunikasi kini berperanan penting dalam usaha pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. Teknologi Maklumat dan Komunikasi secara langsung telah memudahkan rakyat memperoleh maklumat berhubung dengan peluang ekonomi, peluang pekerjaan, pelbagai perkhidmatan dan barangan yang dibekal dan diperlukan dalam pasaran.

4. Ekonomi dunia semakin dipengaruhi dengan impak era maklumat yang membawa oder baru, ekonomi yang berpaksikan pengetahuan. Lalu berlaku pula satu fenomena baru yang dikenali sebagai jurang digital terutama di negara sedang membangun berpunca dari ketidak seimbangan agihan kekayaan dan agihan maklumat. Jurang digital adalah refleksi ketidak seimbangan sosial dan ketidak seimbangan ekonomi yang ketara berlaku baik di dalam negara mahupun di antara negara.

5. Jurang digital akan menjadi bertambah luas jika langkah-langkah berkesan dan bersungguh tidak dilaksanakan untuk merapatkan jurang tersebut. Oleh itu usaha bersama yang dirintis oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia, Kerajaan Negeri, MAXIS dan TIME untuk membawa Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui projek Kedai.Kom kepada penduduk luar bandar amatlah bertepatan. Program ini perlu diperluaskan supaya jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dikurangkan. Usaha ini akan dapat membantu mengatasi dari berlakunya secara berterusan keadaan kemiskinan maklumat di kalangan penduduk luar bandar yang mempunyai kesan langsung kepada tahap pencapaian taraf sosioekomoni mereka.

6. Dalam pada itu perlu disedari bahawa usaha memodenkan pemikiran penduduk luar bandar tidak bergantung semata-mata dengan pembangunan prasarana dan pembangunan perkakasan (hardware). Usaha membangunkan masyarakat luar bandar tidak lengkap sekadar menyediakan kemudahan teknikal sekiranya kemudahan tersebut gagal mendapat apresiasi dan penerimaan masyarakat luar bandar. Isu utama pembangunan di luar bandar menyentuh aspek-aspek perisian minda dan perubahan sikap.

7. Usaha yang dirintis melalui program Kedai.Kom perlu ditakrif dan dilihat sebagai satu fasa dalam usaha memodenkan pemikiran masyarakat luar bandar. Usaha berganda perlu dilakukan supaya kemudahan fizikal ini dapat dihargai dalam bentuk gunaan sehingga mereka dapat mengaitkan bahawa teknologi maklumat dan komunikasi ini relevan dalam proses kehidupan dan dalam proses mereka melakukan kerja harian. Nilai ekonomi teknologi maklumat dan komunikasi perlu diterangkan sehingga ke peringkat masyarakat luar bandar benar-benar menghayati dan melihatnya sebagai instrumen penting membantu meningkatkan produktiviti untuk seterusnya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

8. Untuk itu perlu dirancang program dan disediakan peruntukan kewangan yang dapat melengkapkan program Kedai.Kom supaya segala pelaburan dan usaha yang telah dilabur ini dapat memberi pulangan sosial dan pulangan ekonomi secara optimum. Komponen kursus dan latihan yang disediakan perlu dikembangkan. Rakan kongsi yang efektif perlu dikenal pasti untuk membawa impak yang lebih besar. Sesuai dengan hasrat Beta mahukan masjid berperanan lebih bermakna sebagai pusat perkembangan dan penyebaran ilmu, Beta menyarankan supaya rangkaian kerjasama bijak dapat dijalinkan antara Kedai.Kom dengan institusi masjid di negeri Perak.

9. Beta mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang berjaya dipilih menerima anugerah. Semoga pertandingan yang diadakan ini dapat membantu usaha untuk meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan Kedai.Kom di samping memberikan dorongan kepada para pengusaha untuk menjadi pemangkin kepada usaha pemodenan pemikiran masyarakat di luar bandar.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

******************

%d bloggers like this: