Majlis Penutupan Rasmi Festival Puisi Dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-2

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, juga kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Majlis Penutupan Rasmi Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-2.

Rama-rama dari kepompong

Terbang hinggap di pohon bidara

Kalau tidak di pucuk kelapa

Ramai-ramai kita berkampung

Berpuisi berlagu bertandak berbicara

Pulau Pangkor takkan terlupa

3. Puisi mengajar kita tentang estetik bahasa, lalu terserlahlah akar budaya dan kesantunan bangsa. Dan kebudayaanlah yang membezakan antara kurik kendi dan merah saga, antara Amerika, Paris, London dan Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, dan antara Timur dan Barat. Mengutip kata-kata Rudyard Kipling dalam “The Ballad of East and West”, “East is East and West is West, and never the twain shall meet”. Begitulah besarnya peranan budaya dan cara hidup, yang turut menyangkut bahasa dan sastera. Sudah tentu penyair tidak menyaring keindahan bahasa dan persuratan dari daerah sifar, tetapi secara sedar atau bawah sedar mengutip segala sesuatu yang dilaluinya sepanjang hayat, termasuk agama dan kepercayaan. Para sarjana Barat menyebutnya sebagai rites de passage. Orang Melayu, sejak zaman bahari sangat gemar berpantun. Mereka menaksir alam, dan menterjemahkannya ke dalam rangkap-rangkap yang indah dan simbolik. Pantun dan gurindam menjadi sinonim dengan sudut pandang bangsa Melayu terhadap ruang lingkupnya, seperti yang digambarkan dalam gurindam klasik tentang konsep masa, yang berbunyi:

Kicak-kicak bunyi murai

Taptibau melambung tinggi

Berkokok balam di hujung bendul

Terdengut puyuh panjang bunyi

Puntung sejengkal tinggal sejari

Itulah alamat hari nak siang.

4. Begitu berseninya nenek moyang kita menanggapi peredaran waktu secara berfalsafah. Pantun dijadikan kelok dan kisi bagi setiap majlis dan upacara, sama ada yang berlangsung dalam kalangan rakyat, maupun singgahsana DiRaja. Ia bukan hanya bermain dengan diksi dan suku kata, malahan penuh maksud dan makna. Pantun juga secara tersirat mendskripsikan hubungan simbiotik antara pemerintah dengan yang diperintah, antara pemimpin dengan yang dipimpin. Tidak syak, pantun dan syair adalah hasil adikarya bahasa dari Alam Melayu yang tersohor. Ia telah mula diperkenalkan ke dunia Barat sejak kurun ke-17. Hari ini pantun sudah tersebar luas di persada antarabangsa dan dunia Barat mengenalinya sebagai pantoum.

5. Dalam dunia serba moden yang menunggangi kecangihan teknologi komputer dan alam siber, orang sering tersasar, dan ada kalanya enggan membezakan yang mana real dan yang mana virtual. Hasilnya, kehidupan menjadi kompleks, kadang-kadang mekanikal dan robotik. Acapkali, bahasa juga turut disemberonokan. Bahasa sudah dirojak dan dipasemborkan, dan ramai orang Melayu yang sudah tidak fasih dengan bahasa ibundanya sendiri. Ini adalah malapetaka budaya yang amat serius. Apatah lagi, ada kalangan yang menganggap mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu sebagai satu status simbol alaf baru. Akhirnya di sana tidak, di sini pun tidak; ular tidak, belut pun tidak, lipan tidak, tanglung pun tidak. Ingatlah, kalau kita tidak berasa malu kepada orang, kita harus berasa malu kepada bahasa….

6. Kita jangan panglen, lupa diri dan lupa bahasa. Kita wajar kembali kepada akar budaya demi melestarikan jati diri bangsa. Bak kata pepatah Melayu lama, “Kalau sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan”.

7. Keputusan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu, terutama di jabatan-jabatan dan di agensi-agensi kerajaan merupakan satu langkah yang tepat dan kena pada masanya. Media massa dan eletronik juga harus turut memainkan peranan yang proaktif dalam mendiseminasikan iltizam ini. Pengantara forum, pengacara majlis dan selebriti tv, bahkan orang politik dan wakil-wakil rakyat juga harus belajar berbahasa dengan baik. Pada analisis terakhir, kita akan dinilai daripada apa yang kita tulis dan cakap, yang semuanya didasari oleh “bahasa”. Selak-selaklah lembaran buku-buku nahu, koleksi pantun, bidalan dan peri bahasa, dan jangan biarkannya sepi di rak-rak perpustakaan.

8. Sampai bila-bila pun “Bahasa” adalah “Jiwa Bangsa”. Lantaran, penggiat bahasa, sastera, seni dan budaya harus memainkan peranan agar laluan memartabatkan bahasa Melayu tidak terpiuh. Bahasa Melayu adalah bahasa kelima terbesar di dunia, dan kita harus berbangga dengan hakikat ini. Namun, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan bahasa yang indah ini. Ayuhlah, sama-sama kita melestarikannya.

9. Akhir kata, terimalah pantun enam kerat dari Beta:

Ketika bermadah si anak seni

Buah rokan lambung-lambungan

Simpan sedikit di kepok padi

Jika ingat kami di sini

Bawa pulang seribu kenangan

Tanda kasih kekal abadi

10. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan penutupan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-2.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: