Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menganugerahkan negara ini dengan keamanan dan kemakmuran. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassallam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan 2004, yang merupakan acara kemuncak Festival Sastera Kemerdekaan 2004.
3. Negara di ambang merayakan ulang tahun hari kemerdekaan kali ke empat puluh tujuh (47). Kemerdekaan adalah satu peristiwa keramat bagi sesebuah negara bangsa. Kemerdekaan adalah milik negara bangsa yang amat berharga lagi bernilai. Kemerdekaan adalah pencapaian kepada perjuangan politik bangsa yang berlandaskan keinsafan, kecekalan, kesungguhan dan kegigihan. Lalu membaralah puntung-puntung perjuangan – terhimpun – menyalakan api kesedaran – semarak membahang – meluapkan semangat bangsa. Lalu bangsa sepakat bertindak dan bergerak.
4. Kemerdekaan itu terbina atas tiang sejarah dan turut mencipta sejarah baru . Dalam konteks negara Malaysia, kemerdekaan membentuk satu landskap politik baru dalam sistem berkerajaan dan bernegara. Negeri-negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat yang merupakan entiti bebas dan berasingan telah disatukan dalam sebuah Persekutuan. Rakyat diberikan kuasa memilih kerajaan melalui amalan demokrasi moden yang diperkenalkan. Raja pula diangkat sebagai sebuah institusi yang termaktub peranannya secara rasmi di dalam Perlembagaan Negara.
5. Kemerdekaan juga mencetuskan perasaan yang berbeza di kalangan warga dari pelbagai agama dan kumpulan etnik, pelbagai kumpulan dan fahaman politik, pelbagai profesion dan latar belakang akademik, pelbagai taraf sosial dan ekonomi; malah berbeza berdasarkan usia warga – dan turut berbeza mengikut sesuatu waktu. Kepelbagaian perasaan terhadap erti kemerdekaan itu perlu diteliti. Satu usaha membina pengertian dan apresiasi berasaskan ‘penyebut sepunya’ atau ‘common denominator’ amatlah penting dikenal pasti supaya warga yang pelbagai dengan interpretasi yang berbagai itu, mempunyai tali pengikat kukuh menyatukan mereka.
6. Dalam hubungan ini, Rukun Negara yang berlandaskan prinsip-prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, perlulah dihayati untuk menjadi satu ideologi nasional. Satu ideologi nasional yang dapat merentas fahaman agama dan kumpulan etnik – merentas kumpulan dan fahaman politik, merentas profesion dan latar belakang akademik, merentas taraf sosial dan ekonomi, merentas usia dan waktu. Satu ideologi nasional yang dihayati secara bersama dapat membantu usaha menyatukan bangsa dengan semangat perpaduan yang tulen lagi sejati.
7. Rakyat yang kukuh bersatu – kukuh berpadu dan secara bersama mendukung ideologi nasional adalah komponen penting sebagai benteng utama mempertahankan kedaulatan kemerdekaan. Kedaulatan kemerdekaan akan membolehkan negara benar-benar memiliki autonomi politik dan autonomi ekonomi di samping menentukan budaya bangsa beridentiti nasional. Mempertahankan kemerdekaan adalah satu tanggung jawab nasional yang perlu didukung oleh setiap warga yang mengaku setia kepada negaranya. Berdosalah kepada negara bangsanya bagi mana-mana warga yang gagal menghargai dan menghayati nilai kemerdekaan.
8. Telah tercatat dalam sejarah bahawa di samping kumpulan bangsawan dan aristokrat Melayu, dan di samping kumpulan dan badan politik tanah air, golongan sasterawan berperanan penting mempelopori gerakan nasionalisme di Tanah Melayu, ketika usaha menuntut kemerdekaan begitu memuncak.
9. Para sasterawan adalah insan-insan yang dianugerahkan dengan bakat istimewa. Setiap penulisan yang dihasilkan, lebih-lebih lagi melalui puisi adalah cetusan dari rakaman hati nurani penyair. Setiap kata, frasa dan ayat mempunyai lapisan makna yang diolah sebagai pengucapan simbolis lagi puitis. Puisi mengindahkan baris-baris bahasa dengan nada dan irama yang menjiwai struktur susunannya. Keindahan dan nilai estetika yang terkandung dalam puisi adalah satu kekuatan – kekuatan yang dapat menyentuh emosi dan menggetarkan perasaan. Kekuatan tersebutlah telah membantu membina kekuatan dalaman dan kekuatan emosi rakyat dalam era pra merdeka.
10. Puisi adalah pancaran keperibadian yang memperlihatkan keutuhan, keteguhan, kesopanan serta kehalusan sesuatu bangsa. Puisi yang dihasilkan juga mencerminkan keadaan kontemporari yang berlaku dalam sesuatu era. Semestinyalah puisi-puisi yang dihasilkan di era pra merdeka mengandungi nada yang meluahkan satu kebangkitan semangat bangsa, yang telah sama-sama menyalakan bara perjuangan menuntut kemerdekaan.
11. Setelah empat puluh tujuh tahun negara merdeka, para penyair terus terpanggil untuk menghasilkan puisi menyentuh kemerdekaan; ada yang bernada gembira – ada yang bernada kecewa, ada yang memuji pemimpin, ada yang menyindir pemimpin – ada yang menyampaikan rintihan rakyat, ada yang menyentuh kejayaan lahiriah – ada yang menyentuh kelunturan rohani. Setiap nada merupakan persepsi penulis tentang masyarakat sekitar, setiap kata memperlihatkan satu komposisi kejadian yang sedang berlaku dalam negara, setiap aspek yang disentuh merupakan satu kayu ukuran di maya ini. Sastera dan puisi terus berperanan membina kekuatan warga dan kekuatan negara serta membantu menyentuh hati nurani warga untuk menghayati dan menghargai kemerdekaan.
12. Segala usaha ke arah meningkatkan penghayatan kemerdekaan amatlah penting diterokai. Festival Sastera Kemerdekaan ini wajarlah dilihat dalam semangat untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi warga terhadap erti dan nilai kemerdekaan. Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ini merupakan satu lagi instrumen yang dapat membantu usaha ke arah tersebut dan patutlah disokong oleh semua pihak. Malah peranan sastera dan puisi menjadi lebih penting dalam masyarakat yang telah bertambah tingkat pencapaian literasi dan sofistikasinya. Bahawa gabungan usaha antara Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) ini amatlah relevan dan perlu diusahakan hingga menjadi satu festival sastera yang mendapat apresiasi serta penyertaan warga dari pelbagai agama dan kumpulan etnik. Malah festival sastera ini hendaklah dimajukan hingga menjadi satu festival sastera yang mendapat pengiktirafan dunia.
13. Sama-samalah kita berdoa – sama-samalah ditingkatkan usaha agar kemerdekaan negara kekal berpanjangan dalam sebuah negara yang rakyatnya bersatu erat – berpadu kukuh; stabil dari segi politik – makmur dari segi ekonomi, berdaulat dan dihormati – mendapat rahmat dan keredaan ILAHI.
Wabillahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*************