Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Melakukan amal – melakukan kebajikan, bersedekah dan menderma terutama dengan niat membantu mereka yang berada dalam kedaifan, sangat dianjurkan oleh setiap agama dan setiap budaya. Ayat 261 dalam surah Al-Baqarah bermaksud, “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji..” Salah satu hadis Rasul Allah Sallallahu Alai Wassalam menyebut bahawa “Naungan orang yang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya”. Terkandung dalam Kitab Injil seruan yang berbunyi “And above all things have fervent charity among yourselves: for charity shall cover multitude of sins”. Confucious meninggalkan kata-kata, “God gives abundantly to those who are generous ….Give your heart to the Creator and your alms to the poor,” terkandung dalam Taittiriya Upanishat III, kata-kata hikmat di kalangan penganut Hindu “Like in a well the more you fetch, more water oozes…the more you give the more you get. This generosity is mandatory to every individual. Hurry to promise or pledge to help. It is one thing – glorious and divine – to strive for getting an occasion for that”.

3. Amalan bersedekah dan amalan menderma menggambarkan sifat insani, sifat kemurahan hati dan sifat keluhuran budi seseorang manusia. Insan yang telah dianugerahkan nikmat yang lebih, sebaiknya mencerminkan kelebihan anugerah ILAHI itu melalui sifat peri kemanusiaan yang tinggi. Kekayaan adalah anugerah ILAHI. Manusia sekadar pemegang amanah untuk menguruskan kekayaan anugerah ILAHI. Rasa syukur terhadap kekayaan yang telah dianugerahkan oleh ILAHI, hendaklah dicerminkan dengan mengamalkan sifat peri kemanusiaan yang tinggi, dijelmakan melalui sikap prihatin dan sikap belas kasihan sesama manusia, terutama di kalangan mereka yang amat wajib dihulurkan pertolongan.

4. Imam Syafie Rahimahullah dalam tulisannya menyifatkan orang fakir ialah dari kalangan mereka yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian, tidak ada sumber rezeki; manakala orang miskin ialah di kalangan mereka yang ada harta ala kadar atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi untuk menyara hidup. Masih terdapat kumpulan fakir dan miskin di dalam dunia hari pada hari ini. Kesejahteraan tidak mungkin berlaku jika di kalangan yang kaya memilih untuk meletakkan diri mereka sebagai pulau-pulau kecil yang berasingan, muncul di tengah-tengah lautan kemiskinan yang masih meluas. Oleh itu semangat melakukan amal, melakukan kebajikan, bersedekah dan menderma hendaklah senantiasa tersemai di kalangan mereka yang telah dikurniakan nikmat yang lebih, hingga yang fakir dan yang miskin merasakan nasib mereka mendapat pembelaan dan perhatian dari yang kaya.

5. Dengan semangat keinsafan tersebut, bersempena Ramadhan tahun 1432 Hijrah ini, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah memberi perkenan untuk menganugerahkan kurniaan dari Yayasan Sultan Azlan Shah kepada enam puluh lima (65) pertubuhan sukarela serta badan amal dan kebajikan dari pelbagai agama dan kumpulan etnik. Semoga kurniaan ini dapat sedikit sebanyak membantu usaha-usaha besar yang dirintis oleh setiap organisasi di bawah pimpinan saudara-saudari. Adalah menjadi harapan Baginda agar kurniaan ini dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada saudara-saudari untuk terus melaksanakan usaha-usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata.

6. Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan menyatukan usaha warga membina negara Malaysia yang aman, damai lagi sejahtera. Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang dapat mempertemukan hati warga Malaysia yang ingin mencari kebaikan dan melaksanakan kebaikan. Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang boleh memperlihatkan bagaimana warga dari pelbagai agama dan kumpulan etnik, dari pelbagai strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif lagi konstruktif melakukan kerja-kerja murni. Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemaikan semangat lebih ingin memberi dari menerima di kalangan warga Malaysia.

7. Semoga segala niat murni, segala usaha baik dan segala khidmat bakti saudara-saudari akan mendapat petunjuk dan keredaan ILAHI.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: