Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Maha Suci Tuhan yang Maha Pencipta, lalu menyediakan rezeki – mengurniakan nikmat kepada sekalian makhluk, serta menjadikan pelbagai peristiwa dan ciptaan untuk menguji keimanan, sifat sabar dan sifat bersyukur insan. Terkandung dalam kitab suci Al Quran kalimah-kalimah nikmat, rezeki, kesenangan, dan kekayaan juga kalimah-kalimah yang menyentuh soal fakir, miskin, lemah, cacat, uzur dan daif. Terkandung dalam kitab suci Al Quran kisah-kisah kejayaan dan kemenangan begitu juga contoh-contoh kehancuran dan kemusnahan. Kalimah-kalimah sedemikian menggambarkan kandungan penghidupan isi alam ciptaan ILAHI, demikian juga akan peringatan ILAHI kepada manusia.
3. Nilai-nilai murni dan sifat-sifat baik manusia dapat dibina melalui pengajaran dari pelbagai peristiwa dan kejadian alam, berkaitan kebangkitan dan kemusnahan, kemuliaan dan penghinaan. Tuhan mencipta manusia dengan pelbagai tahap kejayaan, ada yang memiliki kelebihan – ada yang menghadapi kekurangan, setiap satunya adalah ujian ILAHI, agar manusia mengambil iktibar darinya, membina akal budi – membina sifat-sifat insaniah; agar manusia senantiasa insaf, merendah diri, berterima kasih dan bersyukur.
4. Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, demikian juga Paduka Bonda Beta, Raja Permaisuri Tuanku Bainun telah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan yang mendalam di kalangan didik Baginda berdua. Beta dan keempat adinda Beta senantiasa diingatkan untuk mengamalkan sifat bersyukur akan nikmat yang dikurniakan serta menghargai akan nikmat kesenangan. Bahawa kejayaan tidak mungkin dicapai secara berseorangan; malah kejayaan dicapai kerana adanya bantuan serta kerjasama dari pelbagai pihak, sama ada ibu bapa, anggota keluarga, jiran tetangga, kawan kenalan, guru dan pendidik, organisasi dan kakitangan pembantu.
5. Bahawa setiap kejayaan adalah anugerah ILAHI, yang tidak kekal selamanya jika berlaku kealpaan. Malah kejayaan tidak akan ditambah jika manusia tidak memiliki sifat bersyukur dan berterima kasih. Bahawa kejayaan akan ditarik balik apabila manusia tidak melaksanakan keadilan, berlagak sombong – berlagak angkuh, bersifat takbur – bersifat riak. Beta lima bersaudara juga dididik untuk sedia memberi dan membantu terutama kepada mereka yang lebih daif dan amat memerlukan pertolongan. Demikian benih keinsanan yang telah disemai dan pepohon kemanusiaan yang telah berakar di hati Beta, hasil didikan Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda Beta.
6. Didorong rasa keinsafan, Paduka Ayahanda Beta telah memberi perkenan menubuhkan Yayasan Sultan Azlan Shah; bertujuan antaranya, menjalankan kerja-kerja amal untuk masyarakat. Baginda amat peka akan kesusahan dan kedaifan yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian dari rakyat Baginda. Baginda amat menghargai usaha-usaha amal yang dirintis dan dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi, menganjurkan pelbagai kegiatan – menyediakan pelbagai perkhidmatan membela nasib dan membantu rakyat Baginda yang daif dan kurang bernasib baik.
7. Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, atas rasa kesyukuran kerana terus mendapat taufik dan hidayah dari ILAHI, serta berada dalam keafiatan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah memberi perkenan untuk memberikan kurniaan dari Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 59 badan-badan sukarela, pertubuhan amal dan kebajikan yang di kendalikan oleh pelbagai kumpulan agama dan etnik di negeri Perak Darul Ridzuan. Baginda telah perkenan mengurniakan dua puluh ribu ringgit bagi setiap organisasi; keseluruhan kurniaan berjumlah 1.18 juta ringgit.
8. Kurniaan kecil ini adalah tanda sokongan Baginda terhadap usaha besar yang telah dan terus dirintis oleh pelbagai badan amal yang dipimpin oleh saudara-saudari. Sesungguhnya saudara-saudari telah melakukan pengorbanan besar dari segi masa, tenaga, fikiran dan usaha, membantu golongan masyarakat yang memerlukan pertolongan. Semoga kurniaan Baginda melalui Yayasan Sultan Azlan Shah ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kerja-kerja amal dan kebajikan. Enam bulan dari sekarang, setiap organisasi akan diminta mengemukakan akaun memperlihatkan bagaimana kurniaan Baginda ini telah dibelanjakan supaya urus setia Yayasan Sultan Azlan Shah dapat membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa hadapan. Semoga rakyat Baginda yang daif dan kurang bernasib baik akan terus terbela untuk turut dapat menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
9. Semoga segala khidmat bakti dan usaha murni yang dilaksanakan mendapat berkat dan keredhaan ILAHI.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
******************