Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Maha Suci Tuhan Pencipta Alam, lalu mengurniakan – nikmat – menyediakan rezeki kepada sekalian makhluk. Terkandung dalam kitab suci Al Quran kalimah-kalimah nikmat, rezeki, kesenangan dan kekayaan; demikian juga kalimah-kalimah miskin, lemah, cacat, dan daif. Terkandung dalam kitab suci Al-Quran menyeru manusia mengerjakan ibadah dan melakukan amal jariah. Terkandung dalam kitab suci Al Quran kisah-kisah kejayaan dan kemenangan, begitu juga contoh-contoh kehancuran dan kemusnahan untuk dijadikan teladan dan pengajaran. Bahawa segala peristiwa dan setiap kejadian merupakan ujian terhadap tahap keimanan dan ketakwaan, serta sifat sabar, sifat tabah, sifat yakin dan sifat bersyukur insan.
3. Bahawa setiap kejayaan adalah anugerah ILAHI. Kejayaan itu wajib diurus dengan baik kerana kejayaan tidak kekal selamanya jika disalah urus. Kejayaan yang berjaya diuruskan secara amanah dan cekap akan membina kejayaan yang lebih gemilang. Manusia tidak harus alpa malah wajib mencerminkan sifat kesyukuran dan mengamalkan budaya berterima kasih setelah mencapai atau dikurniakan kejayaan.
4. Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah adalah contoh seorang insan yang telah dikurniakan kejayaan dalam hidup Baginda. Kejayaan yang Baginda capai tidaklah pipis datang melayang – tidaklah bulat datang menggolek. Meskipun Baginda mewarisi darah keturunan Raja dan didewasakan dengan belaian kasih sayang, namun Baginda tidak sama sekali menjadi insan yang leka. Dalam setiap liku perjalanan hidup Baginda, baik di dalam keluarga, di sekolah, di universiti, di padang permainan, dalam perkhidmatan kerajaan, dalam institusi Diraja, Baginda bermula langkah pertama dari bawah, secara naik bertangga – turun berjenjang.
5. Baginda berpegang kepada prinsip bahawa pada setiap liku hidup, Baginda akan dinilai terutama dari Tuhan yang Maha Mencipta. Keikhlasan hati dan ketekunan usaha Baginda itu akhirnya dengan kehendak kuasa Yang Maha Esa juga telah dianugerahkan dengan kejayaan gemilang. Baginda mencecah puncak jawatan perkhidmatan kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, dan sampai ke puncak institusi Diraja apabila ditabalkan sebagai Sultan Perak ketiga puluh empat dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kesembilan.
6. Dengan kehendak ILAHI jua, pada 3 Februari 2009, genaplah 25 tahun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Dalam sejarah kesultanan negeri Perak, Baginda merupakan Sultan Perak keempat yang bersemayam di takhta Kerajaan mencecah tempoh pemerintahan 25 tahun. Pada 19 April lalu, Baginda mencecah usia 81 tahun dalam keafiatan untuk terus memenuhi amanah sebagai amirul mukminin di takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
7. Paduka Ayahanda Beta demikian juga Paduka Bonda Beta, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Bainun senantiasa mengikuti perkembangan hidup rakyat. Baginda berdua amat peka terhadap mereka yang menghadapi kedaifan dan keuzuran. Baginda berdua amat menghargai dan sangat menggalakkan usaha-usaha amal yang dirintis oleh pelbagai organisasi terutama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti serta menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dapat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat yang amat memerlukan perhatian.
8. Yayasan Sultan Azlan Shah, ditubuhkan atas hasrat Baginda untuk sama-sama melibatkan diri menyokong usaha-usaha murni yang telah dirintis oleh pelbagai organisasi amal dan kebajikan. Perkenan Baginda untuk Yayasan Sultan Azlan Shah menyampaikan kurniaan kepada pelbagai badan amal dan kebajikan mencerminkan sifat kesyukuran Baginda terhadap ILAHI atas anugerah dan kemuliaan yang telah dilimpahkan oleh ILAHI ke atas diri Baginda.
9. Sempena Ramadhan tahun lalu, Yayasan Sultan Azlan Shah telah menyampaikan kurniaan bernilai 1.18 juta ringgit kepada 59 organisasi. Bersempena Ramadhan 1430 Hijrah ini, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah memberi perkenan untuk menganugerahkan kurniaan dari Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 71 pertubuhan sukarela serta badan amal dan kebajikan dari pelbagai agama dan kumpulan etnik. Setiap organisasi dikurniakan dua puluh ribu ringgit. Keseluruhan kurniaan berjumlah 1.42 juta ringgit. Setiap organisasi, enam bulan dari sekarang hendaklah mengemukakan akaun memperlihatkan bagaimana kurniaan Baginda ini telah dibelanjakan. Laporan kewangan yang dikemukakan itu akan dapat membantu urus setia Yayasan Sultan Azlan Shah membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa hadapan.
10. Adalah menjadi harapan Baginda agar kurniaan ini dapat terus memberikan inspirasi, semangat dan tenaga kepada pelbagai badan amal yang dipimpin oleh saudara-saudari untuk terus melaksanakan usaha-usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata. Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan menyatukan usaha warga membina negara Malaysia yang aman, damai lagi sejahtera. Organisasi amal dan kebajikan adalah platform yang dapat mempertemukan hati warga Malaysia yang ingin mencari kebaikan dan melaksanakan kebaikan. Organisasi amal dan kebajikan adalah platform yang boleh memperlihatkan bagaimana warga dari pelbagai agama dan kumpulan etnik, dari pelbagai strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif lagi konstruktif melakukan kerja-kerja murni. Organisasi amal dan kebajikan adalah platform yang dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemaikan semangat lebih ingin memberi dari menerima di kalangan warga Malaysia.
11. Semoga segala niat murni, usaha baik dan khidmat bakti saudara-saudari akan mendapat petunjuk dan keredaan ILAHI serta diterima sebagai amal makruf oleh ALLAH Subhanahu Wataala.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************