Majlis Penyampaian Watikah Ahli-Ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka.

Saudara tua Beta,

Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka,

Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob.

 

Hadirin yang dirahmati ALLAH.

 

Perkenan Beta berangkat mencecah kaki di bumi Melaka, adalah dalam semangat ‘rantau jauh diulangi, rantau dekat dikenda’.  Ia memberi ruang kepada Beta dapat bersama rakyat di bumi Melaka, seiring menghayati pesanan Tun Seri Lanang dalam karya agung, Sulalat Al-Salatin akan amanat Sultan Alauddin kepada putera Baginda:

 

“…rakyat itu umpama akar, Raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri.  Demikianlah Raja-raja itu dengan segala rakyatnya…”[1]

 

  1. Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, benihnya bermula di sini. Kehadiran Beta di bumi Melaka, laksana sirih pulang ke gagang, – laksana pinang pulang ke tampuk.  Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya atas sambutan rakyat Melaka; selepas ini, insya-Allah, Beta akan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong kesembilan, Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, pada 13 Julai 1990.

 

  1. Dari Abdurrahman bin Yazid dan Abu Lubabbah bin Abdil Munzir, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda:

 

“Hari Jumaat adalah hari yang besar di sisi Allah bahkan lebih besar dari Hari Raya Aidilfitri dan juga Aidiladha dan di dalamnya ada lima kelebihan:

 

Pertama:    Hari Allah mencipta Adam Alaihissalam

 

Kedua:       Hari Allah menurunkan Adam Alaihissalam ke bumi.

 

Ketiga:       Hari Adam Alaihissalam meninggal dunia.

 

Keempat:   Hari yang ada saat berdoa paling mustajab, tiada seseorang pun yang berdoa pada saat itu melainkan ALLAH pasti memberinya, selama tidak meminta yang haram.

 

Kelima:       Hari yang akan berlakunya kiamat.

  1. Ya MALIK, YA SALAM, YA MUKMIN, YA AZIZ, dengan keagungan Asmaul Husna, dengan niat mendapat keberkatan dari MU jua Ya ALLAH, berpedoman sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, hamba-Mu memilih pagi Jumaat, 29 Rabiulawal 1440, untuk melangsungkan Majlis Pengurniaan Watikah lantikan, Yang Di Pertua dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam, Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Hamba-Mu pohonkan agar ahli-ahli Majlis, para hakim dan pendaftar, pada setiap masa akan mendapat bimbingan dari Mu jua, untuk dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh jujur lagi berintegriti.  Semoga Engkau anugerahkan kepada mereka, kekuatan iman agar senantiasa berpendirian tegas dan bersuara ikhlas menyembahkan sebaik-baik nasihat kepada hamba-Mu yang daif ini, untuk membolehkan hamba-Mu menyempurnakan tugas seorang Amirulmukminin dengan adil lagi saksama, berteraskan Kitabullah dan Sunah Rasul.  Semoga Engkau, membuka pintu hati sekalian hamba Mu, bersedia menziarahi salah silah akar bangsa, dalam hasrat memperkukuhkan umah dan dalam usaha menjunjung perintah Mu.

 

  1. Artifak-artifak yang ditemui, menunjukkan Islam telah sampai ke Tanah Melayu lebih awal daripada pengislaman Sultan Melaka; Raja Kedah Ketujuh, Phra Ong Maha Wangsa dicatatkan memeluk Islam pada tahun 1136, mengambil nama Sultan Muzaffar Shah, hampir tiga abad sebelum Melaka dibangunkan.[2] Kedah merupakan negeri di Tanah Semenanjung yang pertama menerima Islam.[3]  Islam tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka.[4]

 

  1. Namun demikian, Kesultanan Melaka, telah mencipta era kegemilangan bangsa Melayu pada abad kelima belas. Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409,[5] Islam telah bertapak kuat di alam Melayu; Melaka berjaya berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Kepulauan Melayu;[6] disusuli dengan berlakunya pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan.

 

  1. Fakta sejarah tidak boleh dipadamkan, dan jangan sama sekali ada pihak mahu menafikan hakikat. Sesungguhnya, Islam dan Melayu merupakan identiti – merupakan tunggak utama di Tanah Melayu.  Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu.  Kerajaan Melaka, mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka berdasarkan hukum syarak; di negeri Perak, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan digubal berdasarkan hukum syarak.  Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu, meneruskan tradisi pemerintahan beraja, berlandaskan undang-undang Islam, sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.  Inggeris bertanggungjawab memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam.

 

  1. Atas pendirian tegas Raja-raja Melayu, status agama Islam dimaktubkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, bahawa Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan. Perkara 3(3) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan kedudukan penting Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak; Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan Perkara 3(2) Perlembagaan menetapkan, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat.

 

  1. Ketika menggubal Perlembagaan Merdeka, Suruhanjaya Reid, menolak cadangan Parti Perikatan yang mahu meletakkan agama di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, tetapi memperakukan agar Agama Islam dikekalkan di bawah bidang kuasa Raja.[7] Perakuan tersebut berasaskan Raja Melayu, bersemayam pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan; berada di atas, dan bebas daripada afiliasi dengan mana-mana pertubuhan politik; memberikan kelebihan kepada institusi Raja, berupaya berperanan secara berkecuali, apabila menghadapi dan dalam menangani isu-isu berkaitan agama Islam.  Ketetapan tersebut boleh ditafsirkan sebagai pendirian dalam kalangan ahli-ahli Suruhanjaya Reid, mahu memastikan, tanggungjawab agama Islam, tidak diserahkan kepada mana-mana kumpulan politik, demi melindungi agama Islam daripada dicemarkan kerana tujuan-tujuan sempit politik.

 

  1. Peranan dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah seiring dengan pandangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, mengenai raja dan agama, melalui huraian:

 

“Dunia itu ialah tempat bercucuk tanam bagi akhirat, maka tidaklah sempurna agama itu melainkan dengan adanya dunia.  Raja dan agama umpama kembar, agama itu adalah asal dan akar umbi, dan Raja itu pula ialah pengawal.  Sesuatu yang tidak mempunyai asal dan akar umbi pasti akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal akan hilang.  Kerajaan dan kepastian hukum tidak akan sempurna melainkan adanya Sultan.  Dan jalan kepastian hukum untuk menyelesaikan perkara pemerintahan adalah dengan ilmu fikah.”[8]

 

  1. Iman al-Ghazali memperingatkan pemerintahan sewajibnya berlandaskan undang-undang. Islam menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat.[9]  Islam menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi’ (zillulah fi al-Ard)[10].  Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan ALLAH dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, serta kekudusan para aulia – para anbia.[11]

 

  1. Berpandukan konsepsi baharu ini, Raja hanya bertaraf khalifah di bumi, dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum, kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak.  Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf baginda menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah ALLAH, yang sama sekali tidak boleh disalah guna.  Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat, mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[12]

 

  1. Ulama berperanan sangat penting, membantu pemerintahan berlaku adil dan saksama, bersandarkan hukum yang dikenali dengan istilah adat, semasa era pemerintahan Kesultanan Melayu. Kerana itu pepatah Melayu menegaskan pentingnya dipertahankan adat, dengan kata-kata, ‘biar mati anak tetapi jangan mati adat’, bermaksud hukum tidak boleh dikompromikan, meskipun melibatkan darah daging dan ahli keluarga.  Malah Raja juga tidak terlepas daripada hukum, jika melakukan kesalahan, seperti teladan yang terkandung di dalam Hikayat Acheh, kata sepakat yang dicapai oleh Raja-raja dan kadi-kadi menurunkan Sultan Seri Alam daripada takhta kerana sifat boros Baginda; demikian pula tindakan terhadap Sultan Zainal Abidin apabila Baginda bersifat zalim.[13]

 

  1. Undang-undang Melaka[14] menegaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab. Terkandung dalam kanun bahawa seseorang Raja perlulah mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan.  Secara tradisi, sejak zaman berzaman, Raja setelah disembah maklum akan urusan negeri dan rakyat, mengamalkan sistem syura, bermesyuarat untuk memperoleh nasihat.  Para ulama berperanan penting di dalam istana, dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas membimbing ilmu keagamaan dan mengembangkan Islam, serta menyembahkan nasihat berpandukan syarak, ketika Raja menjatuhkan hukum, agar terjamin keadilan dan terhindar kezaliman.

 

  1. Islam mengubah anutan agama umat Melayu, kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[15] Risalah Islam cepat menyerap dalam kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baharu.[16]
  2. Islam telah mencorakkan jiwa masyarakat Melayu, mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Islam memberi dimensi baharu kepada minda Melayu, mencetuskan revolusi pemikiran, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur.  Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi, yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme, mengangkat adab dan susila, serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan ILAHI.[17]  Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu, malah turut menyentuh struktur batinnya, hingga sampai ke jiwanya.[18]  Islam telah memperkenalkan peradaban baharu dalam kalangan umat Melayu.

 

  1. Islam turut mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya Melayu berkerajaan, berasaskan doktrin negara beraja – rakyat bersultan, berperanan sebagai faktor utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga – membina jati diri orang Melayu.  Islam dijunjung – Raja ditaati.  Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat halus lagi indah, mengupayakan umat membina tamadun bangsa yang mulia, dalam persekitaran hidup aman lagi harmoni, makmur lagi sejahtera.

 

  1. Islam telah membina umat Melayu yang berdisiplin – amanah – jujur – luhur dan ikhlas. Islam telah menyatukan umat Melayu – membina ukhuwah – hingga umat Melayu bersatu teguh, muncul sebagai umat yang kuat; tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah, kerana umat Melayu telah kehilangan semangat ukhuwah, umat Melayu telah lemah jati diri, umat Melayu semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan, umat Melayu semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.  Budaya berpolitik yang sedang berlaku di bumi warisan bangsa ini, telah menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan, daripada kepentingan menerima kebenaran; mencanai minda yang lebih mementingkan kumpulan, daripada kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.  Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang, dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri.

 

  1. Ibnu Khaldun, meninggalkan catatan mengenai peristiwa perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku di Afrika Utara dan Andalusia, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam. Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama. Ulama yang pada era kegemilangan Islam bersifat jujur – bersifat ikhlas, sebahagiannya, kerana tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran, bertukar dan membenarkan diri menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi umara tertentu.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam apabila ditanya tentang manusia yang paling jahat, Baginda bersabda; “Para ulama, apabila mereka rosak.”[19]

 

  1. Semasa berangkat mengadakan lawatan rasmi ke negeri Melaka pada 12 hingga 14 Julai 1990, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kesembilan, Paduka Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah menzahirkan titah pada malam 12 Julai; antara kandungan titah Baginda mengandungi baris-baris berikut:

 

“Rakyat Melaka seharusnya berbangga dengan sejarah dan kegemilangan empayar Melaka.  Aspek-aspek kejayaan dan keagungan Kesultanan Melaka pada zaman silam sebagai

 

pusat perdagangan, pusat pertumbuhan kebudayaan dan pusat penyebaran agama Islam haruslah dijadikan sebagai unsur penggalak untuk kita mencapai kecemerlangan masa hadapan.  Walau bagaimanapun terdapat titik-titik hitam dalam sejarah Melaka yang harus kita renungkan bersama agar ia tidak berulang lagi.  Di samping kita berbangga dengan kejayaan Melaka, kita haruslah menjaga perpaduan oleh sebab perpecahan, perselisihan faham dan perebutan kuasa adalah antara faktor-faktor yang menjatuhkan keagungan Kesultanan Melaka sehingga Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa barat.”[20]

 

  1. Sultan Azlan Shah telah mangkat pada 28 Mei 2014. Kata-kata yang dizahirkan lebih 28 tahun yang lalu, merupakan peringatan yang kekal hidup, dan wajib dijadikan renungan, agar umat Islam di bumi ini, tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang – kalah menjadi abu, kerana kecenderungan untuk terus bersengketa.  Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk kepada ummah, jalan yang lurus;  ,

[1] Tun Seri Lanang, Sulalat Al-Salatin, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997), 152.

[2] Affifudin Haji Omar, Melayu: Permasalahan Politikal-Ekonominya Sepanjang Zaman, (Kuala Lumpur: Afif Books Sdn. Bhd. 2014), 12.

[3] Mahayuddin Haji Yahya, “Penyebaran Islam di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka:Sejarah dan Implikasinya” dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008) 31.

[4] Mahayuddin Haji Yahya, 30.

[5] Encyclopedia of Islam 1218.

[6] Abdul Moner b. Yaacob, “Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka” dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319.

[7] Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia, (Petaling Jaya: Star Publications (Malaysia) Sdn. Bhd., 2008), 7.

[8] Hj Muzaffar Dato’ Hj. Mohamad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman, Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur, (Kuala Lumpur: Pustaka BSM Enterprise, 2003) 36.

[9]Ibid, 43.

[10] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Kertas Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 16-18 Ogos 1994), 1.

[11] Mohd. Yusoff bin Hashim, “Kesultanan Melaka dan Budaya Politik”, dalam Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1), Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008), 192.

[12] T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965) 50, S.N.H. Naqwi, Ethics and Economy: An Islamic Approach, (Leceister: Islamic Foundation, 1981), 45-47.

[13] Teuku Iskandar, Kajian dan Pengenalan Hikayat Acheh, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, 2001), 30-31.

[14] Teks ke-14.

[15] A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003),109.

[16] Ibid, 105.

[17] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972), 19-20.

[18] Ibid.

[19] (Al-Jahiz) dalam Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, “Hubungan antara Ulama dan Umara dalam membangunkan Ummah: Sorotan pandangan Ahli Sunnah-Wa-Jemaah. (18 Mac 2011), https://fitrahislami.wordpress.com.

[20] Sultan Azlan Shah, “Titah di Majlis Santapan Negeri”, di Hotel Ramada Melaka, Khamis, 12 Julai 1990, 8.30 malam.

%d bloggers like this: