Majlis Perasmian Bangunan Mahkamah Majistret Seri Manjung, Perak Darul Ridzuan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Bangunan Mahkamah Majistret Seri Manjung pada pagi ini.

3. Perlembagaan Negara, secara nyata, menggariskan tiga entiti utama dalam sistem berkerajaan dan bernegara di Malaysia – terdiri dari Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman. Setiap entiti mempunyai peranan dan tanggung jawab tersendiri, di bawah payung naungan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Negara. Perwujudan tiga entiti ini, membantu, memastikan berlakunya, satu mekanisme semak dan timbang yang berkesan, untuk memperkukuhkan keyakinan rakyat, kepada sistem kerajaan, yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

4. Mahkamah Majistret Seri Manjung ini, merupakan simbol kehadiran Badan Kehakiman, bertanggung jawab memastikan, bahawa, undang-undang negara terjamin berdaulat, melalui sistem kehakiman yang dilaksanakan secara bebas dan berkecuali, adil dan saksama, telus dan terbuka. Kedaulatan Undang-Undang adalah prinsip keempat Rukun Negara; ianya tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan, malah wajib dipertahankan secara tegas – secara berani, secara telus – secara terbuka.

5. Mahkamah yang akan disempurnakan perasmiannya ini adalah sebuah bangunan. Bangunan ini, berbeza dengan bangunan-bangunan lain di bandar Seri Manjung, perlu memiliki imej sendiri – memiliki identiti sendiri. Bangunan ini hendaklah memiliki imej dan identiti sebagai institusi melaksana keadilan – melaksana keadilan secara saksama, hingga ianya dihormati lagi disegani, memberikan

satu rasa gerun kepada mereka yang berada dipihak yang salah – memberikan rasa terbela kepada mereka yang berada dipihak yang benar.

6. Para pegawai kehakiman dan perundangan bertanggung jawab memastikan imej dan identiti ini tercapai. Tanggung jawab ini adalah tanggung jawab semua pihak yang terlibat dengan mahkamah dan undang-undang, baik hakim atau majistret, baik pendakwa mahupun pembela. Kerana itu, pengamal di bidang kehakiman dan di bidang undang-undang, perlu memiliki integriti yang tinggi, ketika berada di dalam mahupun di luar mahkamah. Kerana dalam masyarakat yang menuntut kepada ketelusan amalan, barisan hakim juga dibuat penghakiman oleh masyarakat.; kerana dalam amalan yang mengutamakan ketelusan, pendakwa dan pembela juga, tidak terlepas dari didakwa oleh pendapat umum.

7. Oleh itu, amatlah penting untuk fraterniti profesion kehakiman dan undang-undang, memastikan, bahawa imej profesion mereka, tidak tercalar dan tidak tercemar disebabkan tingkah dan laku yang melanggar etika profesion – yang bercanggah dengan integriti diri. Beta memahami, ianya adalah satu tugas berat – tugas yang memerlukan disiplin diri yang tinggi, tugas yang menuntut kepada pengorbanan besar. Sesungguhnya, usaha mencipta imej dan mencipta identiti, hingga dapat dihormati dan disegani, memerlukan disiplin dan pengorbanan.

8. Beta amat memahami bahawa institusi kehakiman menghadapi pertambahan kes yang difailkan. Beta maklum bahawa pertambahan bangunan mahkamah, pertambahan bilangan pegawai kehakiman dan pertambahan kakitangan sokongan, tidak selari dengan pertambahan beban kerja. Beta menghargai langkah-langkah yang dilakukan oleh Badan Kehakiman Negara untuk memaksimumkan usaha, memelihara integriti pentadbiran keadilan walaupun dengan sumber-sumber yang begitu terbatas.

9. Beta mengikuti, perkembangan yang sedang dirintis oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara, memikirkan satu sistem penyelesaian pertikaian pilihan (alternative dispute resolution), atau ‘Sistem Mediasi’ untuk mempercepatkan penyelesaian kes-kes sivil yang didaftarkan di mahkamah. Beta berpandangan, bahawa ‘Sistem Mediasi’ ini adalah wajar dan sudah sampai masanya diperkenalkan di Mahkamah. Pada hemat Beta, sistem ini bukan sekadar dapat mempercepatkan penyelesaian kes-kes sivil, malah dapat pula menjimatkan masa dan sumber pihak-pihak yang terlibat.

10. Beta juga berpandangan, bahawa ‘Sistem Mediasi’ yang bakal diperkenalkan itu, bersifat “collaborative”. Ini kerana ‘mediator’ diberi fleksibiliti dan berupaya membantu kedua-dua pihak, termasuk membantu pihak yang lemah, demi mencapai satu situasi “menang-menang”, yang sedikit beralih daripada situasi “menang-kalah” yang lazim berlaku di Mahkamah atau di hadapan timbang tara. Sekurang-kurangnya ‘Sistem Mediasi’ ini diharapkan, dapat berfungsi sebagai satu badan yang menyaring isu-isu tertentu untuk dibicara dan dihujahkan. Melalui pendekatan ini, dijangkakan masa penyelesaian kes sivil di Mahkamah, dapat dijimatkan.

11. Setiap usaha yang dirintis untuk mempertingkatkan kecekapan pentadbiran keadilan amatlah dialu-alukan. Dalam hasrat merealisasikan usaha tersebut, kesedaran serta kerjasama setiap pihak dalam melaksanakan tanggungjawab serta memahami fungsi dan peranan masing-masing, amatlah penting. Justeru itu amatlah perlu untuk semua pihak berazam, meningkatkan tahap kesedaran dan tanggungjawab, terhadap sistem yang bakal diperkenalkan, demi menjamin, keadilan dapat dilaksanakan secara cekap lagi saksama.

12. Semoga sistem kehakiman di negara ini terus mendapat kepercayaan rakyat, dihormati lagi disegani baik di dalam mahupun di luar negara.

13. Dengan lafaz “ BISMILLAHI RAHMANI RAHIM ” Beta dengan ini menzahirkan bahawa Bangunan Mahkamah Majistret Seri Manjung dibuka dengan rasminya.

Wabillahi Taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

******************

%d bloggers like this: