Majlis Perasmian Bangunan Sains Dan Teknologi Dan Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, serta kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda, jua kepada para Tabiin dan para Ulama.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Perasmian Bangunan Sains dan Teknologi serta Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar.

3. Pada awal abad ke 20, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, mengambil daya usaha merintis penubuhan Madrasah ini, dengan mewakafkan tanah seluas tiga ekar untuk tapak pembinaan Madrasah. Di samping itu Baginda turut mewakafkan sebahagian harta Baginda, terdiri dari dua puluh tiga (23) rumah kedai di pekan Kuala Kangsar untuk membiayai sebahagian dari kos pembinaan Madrasah Idrisiah.

4. Madrasah Idrisiah memulakan pengajian pada bulan April 1922. Madrasah ini merupakan sekolah agama moden pertama di negeri Perak yang melaksanakan kurikulum secara sistematik, selaras dengan keperluan dan cabaran sosio-ekonomi masyarakat ketika itu. Kumpulan pertama 23 orang pelajar Madrasah ini dibiayai pengajian mereka melalui wakaf Al Marhum Sultan Idris Mursidul Adzam Shah. Penubuhan Madrasah ini dengan peruntukan dana dari wakaf Al Marhum Sultan Idris Mursidul Adzam Shah merupakan satu lagi bukti akan sifat mementing dan mengutamakan ilmu di kalangan kerabat Di Raja Perak.

5. Madrasah Idrisiah telah mencipta nama dalam memenuhi peranannya sebagai sebuah institusi pendidikan; malah pada satu masa dahulu, merupakan sebuah institusi pendidikan yang dihormati di rantau ini. Beta disembah maklumkan bahawa di era kegemilangannya, pelajar Madrasah ini tidak terbatas dari kalangan rakyat Sultan Perak sahaja, tetapi menjadi institusi pengajian pilihan dari kalangan mereka dari luar negeri Perak termasuk pelajar-pelajar dari Thailand, Singapura dan Brunei.

6. Adalah menjadi hasrat Istana Perak ketika itu untuk membangunkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Perak. Oleh itu kualiti pendidikan di Madrasah ini amat diutamakan. Barisan tenaga pengajar yang berpengalaman lagi dihormati di undang untuk memimpin Madrasah ini antaranya Sheikh Hassan Yamani dan Syeikh Abdullah Maghribi dari Mekah. Di kalangan ulama tempatan yang pernah memimpin Madrasah ini termasuklah Syeikh Abdullah Fahim seorang ulama dan tokoh falak terkenal dari Seberang Perai.

7. Sesebuah institusi pendidikan akan menjadi pilihan utama, jika institusi tersebut dapat menyediakan disiplin ilmu dan pengajian yang diperlukan bagi menghadapi cabaran semasa. Langkah Lembaga Pengelola dan pihak pengurusan Madrasah Idrisiah memberikan penekanan kepada pengajian sains dan teknologi amatlah bertepatan. Penguasaan ilmu sains dan teknologi begitu penting dalam menentukan tahap kemajuan sesebuah negara.

8. Sains adalah disiplin ilmu yang tersusun berkaitan alam dan isinya, ciri, identiti dan aktiviti serta undang-undang yang mengaturnya. Undang-undang sains (scientific laws) dari segi hukum-hukum fizik seperti hukum graviti, proses-proses biologi seperti fotosintesis, serta hukum-hukum dan proses kimia dari segi pelbagai campuran molekul adalah antara hukum yang ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala bagi menyempurnakan peradaban alam. Teknologi adalah satu aspek penghasilan sains untuk memudahkan sesuatu. Teknologi yang dihasilkan dengan niat yang betul dan tujuan yang baik boleh menyejahterakan hidup manusia dan membantu pembinaan tamadun yang lebih saintifik dan kehidupan manusia yang lebih selesa.

9. Telah banyak diperkatakan tentang fakta sains dan teknologi yang terkandung di dalam Al Quran tetapi sedikit sekali pendekatan pengajaran Al-Quran diulas dan dikupas dari sudut ilmu-ilmu sains, baik sains tulen mahupun sains gunaan. Sehingga kini, pengajian AlQuran lebih tertumpu dari segi bacaan, hafalan, ketertiban, tajwid dan tafsiran. Rata-rata umat Islam berasa telah sempurna apabila dapat mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran walaupun tidak memahami kandungannya. Malah dari sudut tafsiran jua, belum ramai yang dapat muncul untuk membuka rahsia ilmu yang terkandung lalu berupaya membuat analisis berhubung fakta-fakta sains hingga sampai ke peringkat menerokai dan mempelopori daya cipta teknologi dan inovasi sains.

10. Madrasah Idrisiah bersama institusi-institusi pengajian Islam lain perlu melihat ini sebagai cabaran dan kesempatan. Bentuk penyampaian ilmu secara naratif semakin kurang berkesan dan relevan. Daya analisis serta keupayaan mengaitkan dasar ilmu dengan perkembangan teknologi dunia menjadi semakin kritikal. Pendekatan bercirikan penyelidikan, eksperimen, percambahan minda dan perbincangan bukan sahaja menjadikan alam pendidikan lebih hidup – lebih dinamik malah dapat membentuk minda menjadi lebih kritikal dan lebih tajam.

11. Institusi Pendidikan tidak akan berkembang jika tumbuh dalam isolasi. Zaman gemilang Madrasah Idrisiah adalah pada waktu pelajar dan tenaga pengajarnya datang dari serata tempat di rantau ini. Di samping menjadi pusat perkembangan ilmu, Madrasah Idrisiah ketika itu turut berfungsi sebagai tempat pertemuan budaya baik di kalangan penuntut mahupun di kalangan tenaga pengajar.

12. Beta sedia memahami bahawa tempat pengajian di Madrasah ini adalah terbatas malah tidak cukup untuk menampung permohonan pelajar-pelajar dari negeri Perak sendiri. Dalam pada itu, kualiti pendidikan dan suasana pendidikan yang dapat menyediakan pendedahan seluas-luasnya kepada pelajar tidak harus dikorbankan. Madrasah ini juga perlu menghayati falsafah pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh, merentasi batas untuk membolehkan pelajar mendapat sijil. Peranan dalam membina satu warga dunia yang saling memahami dan senang berintegrasi adalah sebahagian dari matlamat pendidikan. Untuk itu, demi memperkayakan sumber dan meluaskan langit pendidikan, adalah baik untuk Lembaga Pengelola dan pengurusan Madrasah mengamalkan dasar lebih terbuka dari segi pengambilan pelajar. Alam pendidikan di Madrasah Idrisiah menjadi lebih subur jika terdapat barisan pelajar dari negeri-negeri Perlis hingga ke Sabah, malah akan menjadi lebih bermakna jika dapat menyediakan tempat pengajian bagi pelajar-pelajar antarabangsa terutama dari kalangan anak-anak Islam yang merupakan kumpulan minoriti di negara mereka. Alam pendidikan di Madrasah ini juga menjadi lebih luas jika barisan tenaga pengajarnya juga terdiri dari barisan pendidik yang tidak terbatas dari negeri Perak semata-mata.

13. Madrasah Idrisiah wajib berfikiran global dalam menghadapi dunia global dan dalam hasrat mengeluarkan anak didik yang dapat menghadapi cabaran global. Wawasan yang besar boleh menjadi realiti jika warga Madrasah Idrisiah mula menyemaikan cita-cita besar, berfikiran lebih terbuka dan cekal teguh dengan keyakinan. Warga Idrisiah perlu berani melihat alam ciptaan Tuhan yang luas lagi kaya ini lalu dijadikan sumber ilham dan inspirasi untuk membawa kemajuan, melonjakkan Madrasah ini menjadi satu institusi yang dinamik dan terkenal di serata dunia Islam, InsyaAllah.

14. Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang dipilih untuk menerima penghargaan. Beta menghargai usaha dan kesungguhan para guru dalam membimbing anak-anak yang berada di bawah didikan mereka serta ibu bapa yang senantiasa menjadi pendorong kepada kejayaan anak-anak. Persepakatan antara guru dan ibu bapa hendaklah senantiasa erat kerana di tangan guru dan ibu bapa, tenaga muda ini perlu dibimbing minda, emosi dan rohani mereka.

15. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan ini merasmikan Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah bagi tahun 2004.

Wabillahi Taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

%d bloggers like this: