Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Bengkel Pengurusan Bersepadu Sungai Perak.
3. Sungai adalah anugerah ILAHI yang sangat bernilai kepada kehidupan alam. Sejak bermulanya peradaban, sungai berperanan utama lagi penting mempengaruhi dan mencorakkan pembangunan sesuatu budaya dan sesebuah Negara. Kebanyakan tamadun utama dunia dibangunkan di dalam kawasan lembangan sungai.
4. Sungai Perak merentasi laluan sepanjang 450 kilometer, merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia. Ia bermula di Ulu Belum, Banjaran Titiwangsa, pada paras 1360 meter di atas laut mengalir ke muaranya di Beting Beras Basah dan terus ke Selat Melaka. Laluan aliran Sungai Perak dari hulu ke hilir, membelah negeri ini tebahagi dua secara seimbang, bagai memperlihatkan keadilan dan kesaksamaan ILAHI kepada rakyat dan bumi di negeri Perak.
5. Sungai Perak memiliki pelbagai tarikan – pelbagai keistimewaan. Di zaman silam, ramai yang memudik Sungai Perak, mencari tebing yang baik untuk mendarat, lalu berkampung dan meneroka penempatan baru. Mereka adalah perintis asal penempatan yang dikenali sebagai orang Perak.
6. Sungai Perak melimpahkan kekayaan di sekitar lembanganya. Ia membekalkan sistem pengairan semula jadi kepada sebuah kawasan tropika yang mempunyai kadar hujan yang tinggi, menjadi sumber penghidupan dengan membekalkan air; kaya dengan pelbagai kehidupan, adalah alam dan taman kehidupan kepada pelbagai jenis tumbuhan, ikan dan reptilia. Ia adalah saluran komunikasi yang sangat penting, memudahkan perjalanan, merangkaikan perhubungan, memungkinkan perdagangan. Dengan perkembangan teknologi, terbina pula Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Temenggor, lalu Sungai Perak berperanan menjana keperluan tenaga elektrik negara, memberi nikmat – memberi manfaat kepada kehidupan yang lebih meluas.
7. Demikianlah keindahan dan kecantikan kurniaan ILAHI kepada insan dan kehidupan di bumi ini. Keindahan dari segi pemandangan – kecantikan dari segi peranan, sebuah sungai yang penuh sejarah, mengandungi pelbagai kisah – kaya dengan pelbagai cerita. Segalanya kini telah berlalu. Kualiti air Sungai Perak semakin tercemar. Jernih warna beralih keroh, sekali gus memusnahkan kekayaan bio-diversity yang pernah dimiliki oleh Sungai ini. Kehidupan air satu demi satu pupus, dan tinggallah kekeruhan air lambang ketandusan, hanyutlah segala keindahan.
8. Sungai Perak kini semakin mengalir lesu. Sungai Perak bagaikan menghadapi hukuman untuk dimusnahkan. Kemusnahan yang berlaku berpunca dari perbuatan manusia; sama ada secara sedar atau kurang sedar, secara sengaja atau tidak sengaja. Kealpaan, kenaifan, ketidak telitian, ketidak bijaksanaan, kurang kearifan manusia, adalah antara punca berlakunya kemusnahan. Lebih dahsyat dari itu kemusnahan keindahan Sungai ini, juga berpunca dari sifat zalim, sifat tamak, sifat haloba, sifat sombong dan sifat bongkak manusia, terutama di kalangan mereka yang rakus mengejar kekayaan secara cepat.
9. Sungai Perak mungkin tidak boleh bersuara – tidak mampu berkata; namun perubahan karakter sungai ini adalah satu bahasa yang tersendiri; merakamkan nasib malang yang menimpanya, bukan kerana dosanya tetapi kerana kezaliman manusia yang tidak menghargai peranan dan jasanya kepada alam. Nasib malang yang menimpa sungai ini tidak berakhir pada dirinya sahaja, malah sungai ini tidak lagi dapat menjadi alam dan taman kehidupan air, lalu pupuslah tumbuhan, lupuslah ikan dan musnahlah reptilia yang di satu masa dahulu memberi nikmat kepada manusia secara lebih berkekalan dan berkesinambungan. Kini sungai ini bagaikan tiada roh, mengalir lesu dan malu, atas segala kekotoran yang perlu di bawanya, memikul dosa kezaliman manusia.
10. Oleh yang demikian usaha menganjurkan Bengkel Pengurusan Bersepadu Sungai Perak ini amatlah kena pada masa dan ketikanya. Amatlah perlu untuk diwujudkan satu mekanisma yang dapat merangkumkan penyelarasan, kerjasama dan penguatkuasaan antara sektor tanpa mengira sempadan politik dan sempadan pentadbiran. Kerjasama yang erat dan bersepadu antara agensi-agensi kerajaan, pihak-pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan orang awam haruslah ditekankan bagi memastikan Lembangan Sungai Perak dapat diurus dengan sempurna supaya sungai ini dapat dipulihkan semangat dan rohnya, kembali berada dalam keadaan baik dari segi fizikal, kandungan dan persekitarannya.
11. Bengkel ini harus berani mengenal pasti fakta, mengakui kebenaran dan menerima realiti. Bengkel ini tidak harus takut mengakui kesilapan kerana kesediaan memahami kesilapan akan dapat menyemaikan kesedaran serta rasa insaf untuk memulakan langkah berani melakukan pembetulan. Bengkel ini perlu realistik, merumuskan pendekatan-pendekatan yang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa jangka pendek dan jangka panjang, fasa demi fasa, mengutamakan yang perlu didahulukan, bersandarkan keupayaan sumber dan keupayaan kewangan.
12. Bahawa kerosakan berulang yang dibiar dan dibenarkan berlaku sejak 50 tahun lalu, tidak mungkin dapat diatasi dalam tempoh yang singkat. Namun biar ada keberanian untuk menerima hakikat, menggariskan satu program pemulihan meski memakan masa 100 tahun; sekurang-kurangnya langkah pertama menuju perjalanan 100 tahun ke arah pemulihan, telah bermula pada hari ini.
13. Pelbagai kaedah boleh dirumus. Undang-undang sedia ada boleh dipinda dan peraturan baru boleh dirangka. Segalanya adalah ketetapan, berbentuk huruf dan ayat yang tercatat di kertas. Ianya tidak memberi makna tanpa tindakan secara tegas lagi bersungguh. Manusia yang menerima amanah untuk bertindak perlu memiliki sifat-sifat ketegasan dan kesungguhan, perlu mengamalkan budaya tanggung jawab tinggi lagi adil terhadap alam dan kehidupan dan senantiasa menyedari bahawa akauntabiliti terakhirnya melaksanakan keadilan adalah kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Sesungguhnya sungai dan alam yang tidak terurus dengan baik menyuarakan bahasa tersendiri; bahasa yang menyatakan tentang budaya dan etika kerja di kalangan mereka yang bertanggung jawab, sama ada telah melaksanakan tugas dan memenuhi amanah secara bijak, adil, bersih dan telus.
14. Semoga Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Ayahanda Beta di bawah pimpinan Mamanda Menteri Besar dengan sokongan jentera pentadbiran yang komited, memiliki azam politik dan kesungguhan perlaksanaan untuk memulihkan semangat dan roh Sungai Perak; kembali menjadi keindahan ciptaan ILAHI yang dapat melimpahkan nikmat kepada kehidupan alam dan persekitarannya. Semoga para pegawai penguat kuasa yang bertanggung jawab dan telah bersumpah setia memegang jawatan berkhidmat di bawah naungan kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta mengamalkan ketegasan, keberanian, ketelusan dan kejujuran dalam usaha membanteras dan menghukum mereka yang bersalah, mereka yang mencemar sungai, dan mereka yang melanggar undang-undang negara hingga memusnahkan alam sekitar.
15. Biarlah nanti 100 tahun dari sekarang, cucunda cicinda keturunan Paduka Seri Ayahanda Beta yang bersemayam di Istana Iskandariah, apabila melihat Sungai Perak dari anjung istana, akan berterima kasih kepada usaha yang dijalankan oleh rakyat dan anggota pentadbiran Kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta pada hari ini.
16. Dengan segala harapan dan doa tersebut, dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Bengkel Pengurusan Bersepadu Sungai Perak.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*******************