Majlis Perasmian Kolej Kediaman Ungku Aziz

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bismillahir Rahmanir Rahim

Salam Sejahtera

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga, para sahabat Baginda, para Tabiin dan para Ulama.

2. Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dariNya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Kolej Kediaman Ungku Aziz, Universiti Malaya.

3. Profesor DiRaja Ungku Aziz merupakan seorang tokoh yang sangat sinonim dengan Universiti Malaya. Tokoh ini bukan sahaja terkenal akan kecemerlangan akademiknya, malah beliau juga merupakan seorang pemikir yang sangat disegani di negara kita sama ada di bidang pendidikan, kemasyarakatan ataupun di bidang ekonomi.

4. Sebagai ketua pentadbir di Universiti Malaya suatu ketika dahulu, Profesor DiRaja Ungku Aziz telah membina asas yang kukuh terhadap segala aspek pembangunan universiti. Pelbagai disiplin ilmu diperkembangkan dengan dorongan dan pimpinan beliau. Jasa dan sumbangan beliau tidak ternilai baik kepada universiti mahupun kepada negara.

5. Sejak dari alam persekolahan Ungku Aziz merangkaikan hubungan kasih dan talian cinta dengan ilmu. Berasal dari keluarga bangsawan namun kekuatan Ungku Aziz tidaklah bersandarkan darah keturunan keluarganya. Teman karib Ungku Aziz adalah buku. Ilmu adalah kekasih sepanjang hayat beliau. Ungku Aziz menggunakan hayatnya untuk membaca, menyelidik, menulis dan berfikir lalu berjaya menghasilkan penemuan dan pemikiran-pemikiran bernas untuk kebaikan bangsa, negara dan dunia.

6. Meski berdarah bangsawan, dewasa di kota raya, berdampingan dengan Raja, Menteri dan pembesar, hati dan perasaan Ungku Aziz senantiasa tertambat bersama rakyat bawahan di kampung dan di desa. Ungku Aziz menjadi suara kepada rintihan nelayan di laut dan petani di desa. Ungku Aziz adalah antara pelopor yang bersuara dan menjaguhi rancangan pembangunan luar bandar. Ungku Aziz adalah contoh insan tanpa segan – tanpa silu bercakap atas asas kebenaran berlandaskan fakta – bersandarkan data. Jasa Ungku Aziz amatlah besar kepada negara, kepada bangsa, kepada Universiti ini khususnya. Ungku Aziz telah membina dan memberi nama kepada Universiti Malaya.

7. Amatlah bertepatan nama Ungku Aziz diabadikan di Universiti Malaya sebagai satu penghargaan – satu pengiktirafan kepada jasa murni dan khidmat bakti beliau. Malah kolej ini adalah terlalu kerdil dan hanya satu penghargaan kecil kepada jasa besar yang telah Pak Ungku sumbangkan kepada Universiti. Beta berterima kasih atas jiwa besar Pak Ungku yang sudi menerima penghargaan yang tidak sepertinya ini. Semoga jasa bakti Pak Ungku diterima sebagai amal makruf yang dianugerahkan ganjaran dunia dan ganjaran akhirat. Semoga Pak Ungku terus dianugerahkan keafiatan dan kekuatan, berada dalam kebahagiaan dan kesejahteraan. Amin! Ya Rabul Alamin.

Pak Ungku – terima kasih dari kami.

8. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan segala sukacitanya merasmikan kolej ini dengan nama Kolej Kediaman Ungku Aziz, Universiti Malaya.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

%d bloggers like this: