Majlis Perasmian Kolej Profesional MARA Seri Iskandar (KPMSI)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi, Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Kolej Profesional MARA Seri Iskandar, Perak pada pagi ini.

3. Penubuhan Kolej ini memenuhi satu lagi agenda pembangunan negara terutama dalam aspek pembangunan sumber manusia. Perbelanjaan modal bagi membangunkan Kolej ini dibiayai oleh wang negara; begitu juga dengan perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan operasi. Peruntukan kewangan dari khazanah negara itu hendaklah ditafsirkan sebagai satu pelaburan; pelaburan yang dividennya diharap dapat diperoleh melalui penghasilan sumber manusia yang menguasai pengetahuan dan memiliki kemahiran.

4. Dalam tempoh lima puluh tahun negara mencapai kemerdekaan, negara telah memperlihatkan kesungguhan dari segi menyediakan prasarana pendidikan di pelbagai peringkat. Negara memiliki rekod yang baik jika diukur dari sudut pencapaian kuantiti. Perhatian kini amat perlu dihalakan untuk menghasilkan produk pendidikan yang berkualiti dari segi penyelidikan, penerbitan dan graduan. Dalam aspek pencapaian kualiti, institusi pengajian di negara ini masih belum dapat meletakkan imej negara berada di tahap terbilang.

5. Oleh itu amatlah penting bagi setiap institusi pengajian meletakkan tanda aras yang tinggi dan memberi fokus kepada aspek kualiti. Kualiti tidak harus dikorbankan kerana mengejar pencapaian kuantiti. Malah amatlah membimbangkan jika sasaran kuantiti diberikan keutamaan hingga aspek kualiti sanggup diketepikan. Pencapaian kualiti memerlukan perancangan yang teliti lagi mendalam, ia tidak akan tercapai melalui pelaksanaan program secara mendadak dan terburu-buru. Institusi pengajian ternama di serata dunia, yang terkenal lagi tersohor dari aspek kualitinya menetapkan kawalan kualiti yang ketat dari segi pengambilan bukan sahaja tenaga pengajar malah dari segi pengambilan para pelajar.

6. Penghasilan graduan berkualiti amat bergantung pada tenaga pengajar berkualiti. Tenaga pengajar berkualiti merupakan perisian yang tidak dapat dihasilkan dalam sekelip mata. Tenaga pengajar berkualiti perlu memiliki cukup pengalaman dan cukup kematangan dalam kaedah penyelidikan, penulisan dan pengajaran dan ia memerlukan masa. Tenaga pengajar berkualiti pula tidak harus dibebankan dengan tanggung jawab mendaki bukit jika terpaksa berhadapan membimbing para pelajar yang kurang berkualiti di peringkat pengambilan.

7. Institusi pendidikan tinggi negara bertanggung jawab membina pencapaian intelek negara untuk lima puluh tahun yang akan datang. Dasar pendidikan tinggi negara harus diberikan tafsiran dasar dan tafsiran pelaksanaan yang dapat memenuhi agenda pembangunan intelek negara. Institusi pendidikan tinggi negara wajib merangka peta perjalanan (road map) yang jelas untuk mencapai tahap kualiti yang setaraf dengan imej institusi-institusi pengajian tinggi tersohor di negara-negara maju. Tahap pencapaian intelek dan kekayaan harta intelek adalah salah satu komponen yang wajib ada, dalam sesebuah negara yang mahu mencapai taraf negara maju.

8. Prestasi dan rekod mencipta kecemerlangan telah pernah dicipta lima puluh tahun yang lalu, ketika negara baru mencapai kemerdekaan. Di negara ini telah ada institusi yang mencipta kecemerlangan nama dan kecemerlangan produk dalam bidang pendidikan. The Malay College Kuala Kangsar dan Sultan Idris Training College umpamanya adalah antara institusi pendidikan di negeri Perak yang diiktiraf berjaya mencipta kecemerlangan menghasilkan inteligensia bangsa bersandarkan budaya yang mengutamakan kualiti. Namun apabila aspek kualiti sekali sekala dikesampingkan kerana adanya pengaruh-pengaruh lain, maka kegemilangan nama institusi yang pernah berada di puncak, turut menurun.

9. Oleh itu amatlah penting aspek kualiti dan pengawalan kualiti ini dipertahankan setiap masa. Jika ini gagal dilakukan, maka pelaburan khazanah negara di bidang pendidikan tidak akan dapat mencapai puncak kegemilangan. Perlu ada persefahaman dan perimbangan yang jelas lagi nyata akan peranan di antara penggubal dasar dan pelaksana dasar. Pelaksana dasar pula perlu memahami persekitaran yang dapat membantu perkembangan intelek dan pertumbuhan intelek secara subur dan sihat. Fasa lima puluh tahun kedua kemerdekaan, adalah fasa untuk melengkapkan kuantiti institusi dengan komponen kualiti; komponen kualiti yang bertanda aras kepada sepuluh institusi pendidikan terbaik dunia. Fasa lima puluh tahun kedua kemerdekaan harus mengupayakan institusi pendidikan tempatan menghasilkan para graduan yang bukan sekadar dapat memenuhi keperluan sumber manusia negara, malah dapat menawarkan sumber manusia untuk keperluan dunia yang lebih luas lagi terbuka.

10. Institusi pendidikan yang bersifat dinamik tidak boleh berkembang dalam isolasi dan secara persendirian.  Untuk itu, Kolej Profesional MARA Seri Iskandar wajar membina rangkaian kerja dengan pelbagai institusi pendidikan lain baik di dalam mahupun di luar negara.  Pihak Kolej, hendaklah meletakkan matlamat menjadi sebuah institusi pendidikan yang dihormati di rantau ini.  Wawasan dan matlamat tersebut boleh dicapai jika pimpinan di Kolej ini mengamalkan budaya pengurusan yang mementingkan kualiti, bersifat terbuka, bersedia menerima idea baru, bersikap positif kepada teguran dan berani menerokai perbatasan baru sepanjang waktu.

11. Semoga usaha yang dirintis pada hari ini akan terus berkembang.  Semoga pimpinan dan pengurusan di Kolej Profesional MARA Seri Iskandar senantiasa mendapat hidayah dan petunjuk dari ILAHI.  Semoga Kolej Profesional MARA Seri Iskandar berjaya mencipta kegemilangan.

12. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan Kolej Profesional MARA Seri Iskandar, Perak.

Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*******************

%d bloggers like this: