Majlis Perasmian Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) Dan Istiadat Konvokesyen Kali Keenam

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, begitu juga kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

 

2. Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) adalah kesinambungan kepada Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) yang telah diasaskan penubuhannya pada tahun 2000. Dalam lima Konvokesyen terdahulu, KISDAR telah menghasilkan 669 graduan. Melalui surat bertarikh 13 Disember 2012, Kementerian Pengajian Tinggi telah memberikan kelulusan untuk KISDAR dinaikkan ke taraf Kolej Universiti. Konvokesyen kali ini adalah konvokesyen ulung atas nama Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang akan menganugerahkan Diploma kepada 305 graduan dalam sepuluh disiplin pengajian.

3. Keunggulan sesebuah institusi pengajian tidak terletak kepada nama. Keunggulan sesebuah institusi pengajian dinilai dari segi kualiti graduan yang dihasilkan. Kualiti graduan yang dihasilkan, amat dipengaruhi oleh kualiti pengajian sementara kualiti pengajian dipengaruhi oleh kualiti tenaga akademik yang berkhidmat di dalam sesebuah institusi pengajian. Kualiti tenaga akademik pula dipengaruhi oleh budaya pengurusan yang diamalkan oleh sesebuah institusi pengajian.

4. Institusi Pengajian Tinggi memerlukan budaya pengurusan yang tersendiri. Ia memerlukan tidak sekadar kecekapan mentadbir urus organisasi tetapi ia turut memerlukan kebijaksanaan pengurusan tertinggi memahami budaya ilmu dan budaya ilmuwan serta menghargai ilmu dan menghargai insan berilmu. Ia memerlukan minda pengurusan yang terbuka.

5. Institusi pengajian hendaklah berfungsi sebagai taman ilmu yang membolehkan pelbagai pohon tumbuh segar. Setiap pepohon ilmu hendaklah dibantu agar subur rendang menghijau, berputik, berbunga dan berbuah. Para pelajar hendaklah dianjurkan berfikiran lateral, dicanai dengan minda yang inquisitif, berkecenderungan menyelami sesuatu perkara secara lebih mendalam.

6. Pada umumnya, Institusi Pengajian yang berjaya mencapai tahap kecemerlangan dan diiktiraf unggul mengamalkan dua pendekatan utama. Pertama: menghargai autonomi intelek (intellectual autonomy) dan kedua: memiliki autonomi kewangan.

7. Faktor pertama: Autonomi Intelek. Adalah penting bagi Institusi Pengajian Tinggi mengamalkan budaya autonomi intelek, berada di atas dan berkedudukan bebas dari sebarang pengaruh politik kepartian agar dapat memenuhi falsafah pengwujudannya sebagai perkampungan ilmu yang menghayati prinsip kesatuan dalam kepelbagaian.

8. Para ilmuwan di KUISAS hendaklah mempamerkan amalan minda yang terbuka. Budaya keterbukaan yang diamalkan di Madrasah Nizamiyah di Baghdad di era Kerajaan Abassiyah mungkin dapat dijadikan contoh. Madrasah tersebut, setaraf dengan apa yang dikenali sebagai universiti pada hari ini, merupakan antara institut pengajian tinggi yang paling berjaya dalam sejarah dunia Islam. Madrasah Nizamiyah berperanan sebagai tapak memunculkan ilmuwan tersohor yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, antaranya Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali.

9. Faktor Kedua: Autonomi Kewangan. Di serata dunia, kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi yang unggul dan berjaya mencapai ranking gemilang, memiliki kekuatan kewangan dan autonomi kewangan. Institusi Pengajian Tinggi memerlukan pembiayaan kewangan yang besar untuk mempunyai barisan tenaga akademik tersohor serta berupaya melaksanakan program keilmuan dan program penyelidikan yang berkualiti tinggi. Namun Institusi Pengajian Tinggi juga ada tanggung jawab sosial. Ia bukan entiti perniagaan semata-mata bertujuan mengaut keuntungan secara mengenakan yuran yang terlalu tinggi hingga bercanggah dengan prinsip asal dan tujuan murni pendidikan.

10. Institusi Pendidikan Tinggi yang memiliki autonomi kewangan tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan kerajaan dan sumber pendapatan dari yuran pengajian. Di sebaliknya ia turut menerokai sumber-sumber pendapatan lain termasuk melakukan urusniaga, penerbitan berkualiti, serta mendapatkan endowment berbentuk kurniaan, tajaan dan derma. Kekuatan kewangan Universiti-universiti Harvard, Yale, Princeton, Cambridge dan Oxford didokong oleh endowment. Enam puluh dua (62) daripada 166 universiti di Turki dan 33 daripada 42 universiti yang terletak di Istanbul dibiayai secara wakaf.

11. Sejarah menunjukkan bahawa institusi pendidikan Islam dibangunkan melalui endowment yang dikenali sebagai wakaf. Hartawan-hartawan Islam seperti Ali bin Yahya dalam tahun 888 telah mewakafkan sebuah perpustakaan, dikenali dengan nama khizanat al-hikma atau Khazanah Hikmah, begitu terkenal dengan koleksi bahan rujukan astronomi. Perpustakaan tersebut diwakafkan untuk membolehkan para pelajar mengikuti pelbagai pengajian tanpa dikenakan sebarang bayaran. Wakaf juga telah membiayai penubuhan institusi-institusi seperti dar al-qur’an (Rumah al-Quran), dar al-hadith (Rumah al Sunna), dar al-‘ilm (Rumah Sains Rasional) dan madrasah al-tibb (sekolah pengajian perubatan).

12. Sejarah membuktikan bahawa wakaf telah berperanan penting membantu membangunkan pelbagai institusi pengajian dan institusi ilmu di era kegemilangan Islam. Peranan wakaf dalam pendidikan perlu dilawati semula dan dirintis usaha untuk dihidupkan semula. Di negeri Perak, Madrasah Idrisiah telah dibangunkan melalui konsep wakaf. Moyanganda Beta, Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, adalah pengasas Madrasah tersebut. Marhum Idris telah mewakafkan tanah milik Baginda untuk dijadikan tapak pembinaan Madrasah Idrisiah. Mengambil iktibar dari teladan Marhum Idris itu, Beta turut mewakafkan kawasan seluas seratus ekar untuk tapak kampus pengajian KUISAS. Beta menyarankan agar potensi wakaf diterokai sepenuhnya dan dijadikan satu sumber pendapatan kepada KUISAS. Era yang semata-mata bergantung kepada sumber tajaan Kerajaan untuk membiayai Institusi Pengajian Tinggi tidak akan kekal selama-lamanya. Malah pergantungan semata-mata kepada dana Kerajaan tidak akan membolehkan KUISAS berkembang pesat. Untuk itu KUISAS perlu ada perancangan dan pelan kewangan yang mantap untuk menentukan kelangsungannya supaya tidak terkekang disebabkan sumber kewangan yang terbatas.

13. Beta menzahirkan penghargaan kepada tenaga akademik, tenaga pentadbir, staf sokongan dan seluruh warga KUISAS yang telah menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggung jawab masing-masing, membantu dan berperanan mengupayakan 305 anak didik menyempurnakan pengajian dan berjaya memperoleh diploma dalam Konvokesyen kali ini. Sesungguhnya kejayaan yang saudara-saudari kecapi pada hari ini adalah kurniaan ALLAH Subhanahu Wata’ala; maka lafazkanlah kalimah kesyukuran kepada yang Maha Pencipta atas segala anugerah dari Nya. Kenangilah pengorbanan ibu bapa dan anggota keluarga, berterima kasihlah kepada para pendidik dan setiap warga kerja di KUISAS yang menjadi tenaga pemboleh kepada kejayaan saudara saudari. Semoga saudara saudari akan berterusan dilimpahkan rahmat dan petunjuk ILAHI. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan terus memberikan petunjuk menemui jalan yang lurus.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: