Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat untuk menyempurnakan Perasmian Kompleks Rakan Muda Daerah Kampar pada pagi ini.
3. Kompleks ini merupakan satu prasarana yang dibangunkan untuk generasi muda. Generasi muda adalah aset penting negara yang penuh potensi. Kesediaan negara menyediakan peruntukan kewangan untuk membangunkan Kompleks seperti ini, nyata mencerminkan perhatian serius negara kepada generasi muda dan generasi muka.
4. Generasi muda adalah penghubung antara dua zaman, generasi muda menjadi penentu akan berlakunya kesinambungan di antara hari ini dengan hari muka. Adalah menjadi tanggung jawab generasi semasa untuk memperlengkapkan generasi muda agar dapat menguasai dan memiliki keupayaan untuk meneruskan apa juga usaha yang telah dan sedang dirintis pada hari ini.
5. Generasi muda hari ini berada dalam era yang menghamparkan lebih banyak peluang yang boleh diterokai. Pada masa yang sama generasi muda turut menghadapi cabaran lebih besar. Setiap peluang baru, demikian juga cabaran baru, memerlukan kaedah baru, pendekatan baru dan mekanisme penyelesaian yang baru. Generasi muda perlu diperlengkap, dibekalkan secukup pengetahuan – didedahkan semasak pengalaman, supaya mereka memiliki cukup kekuatan – menguasai selengkap persediaan, lalu mereka berupaya bersaing dalam usaha mendapatkan peluang baru begitu juga dalam menghadapi cabaran baru.
6. Pembinaan kompleks ini merupakan fasa pertama dalam usaha mahu membantu memperlengkapkan generasi muda untuk menghadapi peluang dan cabaran baru. Fasa yang lebih penting diutamakan, adalah fasa pengisian kandungan kepada kompleks ini. Kompleks ini, secara fizikal akan menempuh hukum alam meraut usia – akan melalui hukum adat menjadi usang, dengan beredarnya masa dan berlalunya waktu. Faktor yang akan menentukan bahawa kompleks ini kekal remaja serta terus relevan sepanjang masa, adalah faktor perisian yang terkandung dalam kompleks ini, berbentuk program serta gerak kerja yang dirancang dan dilaksanakan.
7. Aspek perisian amat perlu diutamakan, hendaklah senantiasa diperbaharui – diubahsuai, supaya bukan sahaja bersifat kontemporari tetapi berupaya meramal pelbagai kemungkinan dan menelah pelbagai pembaharuan yang bakal berlaku dan terus berlaku, dalam dunia yang bergerak pada kelajuan yang sedemikian pantas.
8. Daya saing negara untuk terus menjadi negara bangsa yang dihormati dan kekuatan negara bangsa untuk berupaya terus memanjat puncak kejayaan, hingga mencecah persada kegemilangan, bergantung pada kekayaan perisian yang dimiliki oleh warganya. Perlu diingatkan program dan gerak kerja yang tidak memenuhi keperluan semasa dan gagal disesuaikan dengan pembaharuan yang terus berlaku di maya ini, akan menjadikan kompleks ini sebagai institusi yang jumud, hingga akhirnya kompleks ini menerima nasib malang, menjadi satu bangunan lama, ibarat pondok usang tidak bernyawa.
9. Memberikan nafas, menyuntik roh dan meneruskan hayat kompleks ini dalam erti kata sebenar, merupakan cabaran lebih besar dari membangunkannya secara fizikal. Fasa pembangunan perisian ini adalah lebih mencabar dan memerlukan pembiayaan, perhatian, pengawasan serta penyelenggaraan yang berterusan. Penuhilah fasa perisian tersebut dengan sifat dan sikap penuh komitmen, bertanggung jawab, bersungguh lagi amanah. Laksanakanlah yang terbaik demi membina masa hadapan angkatan muda yang lebih gemilang di negara dan di maya ini.
10. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Kompleks Rakan Muda Daerah Kampar.
Wabillahi taufik, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************