Majlis Perasmian Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman – XIII

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad, Salallahu Alai Wassalam serta kepada para keluarga dan para sahabat Baginda. Selawat dan salam juga ditujukan kepada para tabiin, para syuhada dan para ulama.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah utama di Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman kali ke tiga belas pada pagi ini.

3. Beta disembah maklumkan bahawa Konvensyen yang dianjurkan ini bermatlamat untuk menghasilkan resolusi yang dapat dijadikan perisian yang boleh diguna pakai dan menjadi pelengkap kepada perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara.

4. Pendidikan berperanan penting dalam kehidupan insan dan pembangunan negara. Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan seseorang insan dan penentu kepada kemajuan sesebuah negara. Peranan penting pendidikan sejagat sifatnya. Peranan penting pendidikan diakui baik dalam apa jua sistem berkerajaan dan sistem bernegara. Kerana itu Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sidang pada 10 Disember 1948, ketika membuat Deklarasi tentang Hak Asasi Manusia, dalam artikel 26, secara khusus telah menyentuh soal pendidikan.

5. Artikel 26, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan bahawa setiap insan mempunyai hak mendapat pendidikan. Pendidikan percuma perlu disediakan sekurang-kurangnya di peringkat rendah dan pendidikan rendah diwajibkan kepada setiap insan. Pendidikan teknikal dan profesional hendaklah disediakan; sementara pendidikan tinggi dipermudahkan secara saksama kepada setiap insan berasaskan merit.

6. Pendidikan perlu direncanakan untuk membantu pembangunan setiap insan ke tahap sepenuhnya hingga dapat memperkukuhkan penghormatan, hak asasi dan kebebasan insan. Pendidikan juga hendaklah dijadikan instrumen untuk meningkatkan persefahaman, toleransi dan perhubungan antara pelbagai negara, pelbagai bangsa dan pelbagai agama. Pendidikan dilihat sebagai instrumen yang dapat meningkatkan usaha mengekalkan perdamaian dunia, sekali gus memenuhi fungsi penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

7. Dalam konteks negara ini, agenda pendidikan nyata diberikan prioriti. Agenda pendidikan negara mula dirancang secara komprehensif di ambang negara mencapai kemerdekaan. Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak yang dikenali sebagai Penyata Razak telah disiapkan seawal tahun 1956, setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Penyata Razak, diperlengkap dengan Laporan Rahman Talib 1960, dijadikan asas falsafah pendidikan negara dan dimaktubkan sebagai Akta Pelajaran 1961.

 

8. Ini bererti Dasar Pendidikan Kebangsaan telah mula berakar sejak tahun 1956. Dasar tersebut digubal bersandarkan fahaman akan latar belakang komposisi rakyat negara ini yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang bahasa, berbilang budaya. Pendidikan diakui sebagai instrumen penting dalam merealisasikan hasrat untuk menyatupadukan warga dalam sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Pendidikan melalui satu sistem persekolahan dan satu bahasa pengantar dijadikan teras seperti yang digariskan:-

Quote:

“Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”

9. Wawasan pendidikan berasaskan Penyata Razak sampai ke tahap perlaksanaan yang logikal pada tahun 1983. Dalam tahun 1983, semua institusi pengajian tinggi awam di negara ini, telah melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi semua kursus tahun pertama.

10. Sesuatu dasar digubal berlatar belakangkan senario dan cabaran ketika dasar dirangka. Oleh itu dasar tidak seharusnya bersifat statik – berwajah kaku, kerana senario tidak pernah statik dan cabaran pula sering berubah. Dasar yang dinamik hendaklah hidup sifatnya serta relevan untuk menangani cabaran kontemporari. Yang lebih utama, adalah kearifan menghalusi falsafah yang tersirat di sebalik dasar dan kebijaksanaan menghayati matlamat yang tersurat; disusuli dengan rangka kerja strategik di samping menyusun pendekatan perlaksanaan yang realistik.

11. Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim yang diadakan buat pertama kalinya di Jeddah dari 31Mac hingga 8 April 1977 telah menghasilkan Pengisytiharan Mekah. Pengisytiharan Mekah menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.

12. Laporan Jemaah Menteri yang dibentangkan dalam tahun 1979 telah memperlihatkan perselarian dengan Pengisytiharan Mekah, dan menjadi permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih luas. Faktor keseimbangan dan kesepaduan dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan negara yang dirumuskan dalam tahun 1988 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

13. Pengisytiharan Mekah menekankan aspek wahyu dan akal. Aspek kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan digariskan dalam Akta Pendidikan Negara. Penekanan kepada prinsip ketuhanan, nyata bersumber dari semangat yang tersirat dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, seperti yang terkandung dalam maksud ayat 1 hingga 5 surah al-Alaq;

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”

14. Wahyu tersebut menegaskan kepentingan ilmu. Dalam pada itu manusia diperingatkan untuk senantiasa insaf akan sumber ilmu. Peringatan tersebut amatlah penting untuk memelihara manusia supaya tidak cepat menjadi angkuh – tidak mudah menjadi sombong. Sifat-sifat insani perlu terus diamalkan. Insan berilmu akan menginsafi batas kepandaiannya lalu menjadi lebih bertakwa dan lebih beriman dan menerima hakikat bahawa ada kuasa yang lebih besar dari dirinya.

15. Insan berilmu akan memiliki kekuatan dan kesediaan untuk terus menerima pandangan – menerima teguran, menerima nasihat – menerima pendapat, berteraskan sifat takwa dan keimanan yang mengenali kebesaran ILAHI. Bahawa yang sempurna itu adalah Allah juga. Kerana itu insan berilmu mengamalkan sifat merendah diri – laksana padi, semakin berisi – semakin tunduk. Insan berilmu jika sekalipun telah bergelar mahaguru, masih mengamalkan budaya murid, masih belajar dan terus belajar. Insan berilmu bersedia menjadi makmum meskipun telah diiktiraf sebagai imam. Segala ini dapat berlaku jika sifat insani, sifat pengabdian diri kepada ILAHI subur berakar di dasar hati – segar mekar di denyut nadi.

16. Iman dan takwa membentuk jiwa murni insan, sejagat nilainya, dan perlu dijadikan gagasan dalam menggubal dasar pendidikan. Manusia wajar insaf bahawa ilmu itu datangnya dari Allah – dianugerahkan kepada insan yang taat beramal – tekun berusaha. Ilmu itu perlu diterokai – perlu dicari; tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek. Sedarlah! bahawa bulan tidak pernah jatuh ke riba. Rasul Junjungan, Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam sendiri merupakan sebaik contoh teladan. Baginda secara gigih dan tekun pergi ke Gua Hira’ untuk mencari pertunjuk hingga wahyu pertama diturunkan.

 

17. Di samping hasrat mahu membina kekuatan dalaman, program pendidikan perlu dirangka supaya dapat mengangkat martabat manusia hingga dapat memenuhi tanggung jawab fardu kifayah secara sempurna. Program pendidikan yang gagal menghasilkan produk yang relevan dengan keperluan semasa, bolehlah dianggap sebagai satu pembaziran sumber dan satu amal yang sia-sia.

18. Perubahan besar dari segi struktur guna tenaga adalah satu realiti yang sedang berlaku di negara ini selaras dengan perubahan dalam struktur ekonomi. Struktur ekonomi negara telah melalui pelbagai peringkat peralihan; dari diterajui oleh sektor pertanian beralih ke sektor pembuatan dan perkhidmatan, dan kini menghadapi tuntutan ekonomi berpaksikan pengetahuan. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memerlukan sumber manusia yang menguasai ilmu berasaskan sains dan teknologi canggih. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memerlukan sumber manusia yang inovatif lagi kreatif, serta cenderung melakukan penyelidikan dan pembangunan. Dengan itu program pendidikan haruslah berupaya menghasilkan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran, memiliki sifat-sifat inovatif lagi kreatif, dan menjadi barisan tenaga kerja yang produktif, kompetitif dan sesuai dengan keperluan komersial dan keperluan industri.

19. Globalisasi adalah realiti baru. Globalisasi membawa cabaran baru. Dunia kini diapung dalam lautan maklumat. Dunia kini mengharungi gelombang teknologi komunikasi. Globalisasi, era maklumat dan teknologi komunikasi juga menghamparkan pelbagai peluang baru. Oleh itu program pendidikan tidak harus terbatas sekadar memenuhi agenda nasional, sekadar bertujuan menyatupadukan kaum dalam sesebuah negara – sekadar membekalkan sumber manusia bagi keperluan domestik.

20. Produk pendidikan yang berkualiti mempunyai pasaran di serata dunia. Kualiti pendidikan kini dinilai dengan kayu ukuran di peringkat global. Pendidikan hari ini perlu membuktikan kualiti yang boleh mengupayakan graduan diperlengkap ilmu dan kemahiran yang dapat memenuhi keperluan sumber manusia peringkat global. Sumber manusia terlatih yang menguasai ilmu berasaskan sains – yang menguasai kemahiran teknologi canggih; serta berupaya bersaing dan berganding, menjalin hubungan – membina rangkaian dengan dunia sejagat. Sumber manusia yang berupaya berkomunikasi melalui lingua franca yang difahami oleh komuniti global. Lingua franca yang membolehkan urusan perdagangan dan penyebaran ilmu berfungsi secara berkesan. Keupayaan menguasai lingua franca yang diterima secara global, tidak lagi merupakan satu kemewahan atau ‘luxury’ tetapi satu kemestian atau ‘necessity’.

21. Amatlah membimbangkan jika masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, terutamanya pelajar bumiputera di negara ini, berada di tahap rendah. Walaupun terdedah kepada pengajaran bahasa Inggeris dari sekolah rendah ke sekolah menengah, merangkumi tempoh sebelas hingga ke tiga belas tahun, namun kelas bahasa Inggeris masih perlu diadakan apabila mereka masuk ke tahun pertama Universiti. Laporan-laporan menunjukkan bahawa setelah tamat pengajian di peringkat universiti, keyakinan bertutur dan keupayaan menulis di dalam bahasa Inggeris bagi ramai siswazah masih di tahap yang tidak kompeten.

22. Dunia global juga menjadikan medan persaingan semakin luas – semakin kompetitif. Medan persaingan yang menuntut kepada tahap produktiviti yang tinggi. Medan persaingan yang mencari produk baru – produk yang dihasilkan secara kreatif – secara imaginatif, produk yang ditingkatkan kualiti secara inovatif. Produk baru dengan keaslian penciptaan dan jenama tersendiri hanya dapat dihasilkan melalui minda yang inovatif, minda yang kreatif dan minda yang imaginatif. Minda yang inovatif, kreatif dan imaginatif tidak mungkin dapat dicanai melalui kaedah pendidikan yang tegar (rigid) sifatnya.

23. Pendidikan perlu dilihat dari perspektif baru. Kaedah pendidikan menuntut kepada satu keberanian membuat pembaharuan secara radikal. Kaedah pendidikan yang tegar akan hanya menghasilkan produk pendidikan yang jumud – produk yang tidak lagi mendapat tempat dalam pasaran guna tenaga, produk yang akan hanya meningkatkan peratusan penganggur di maya ini.

24. Beta mengikuti perbahasan berhubung aspek pemusatan dan perwakilan kuasa dalam melaksanakan program pendidikan. Demikian juga perbahasan berhubung penilaian pelajar secara tradisional berbanding dengan penilaian berasaskan kompetensi dan penilaian secara berterusan. Perwakilan kuasa yang tinggi di peringkat perlaksanaan serta penilaian berasaskan kompetensi dan berterusan adalah amalan di kebanyakan negara maju.

25. Beta juga dapati format soalan dan jawapan peperiksaan, hatta di peringkat pengajian tinggi, semakin bercorak ‘objektif’, penentuan jawapan secara ‘ya’ dan ‘tidak’ berbanding dengan penilaian secara analisis. Bentuk penilaian sedemikian mempengaruhi produk yang dihasilkan. Hari ini dilaporkan bahawa kebanyakan siswazah yang meninggalkan universiti dan pelajar yang meninggalkan sekolah kurang memiliki keaslian pemikiran, kurang kekuatan analisis, kurang daya imaginatif, kurang inovasi dan kurang kreatif.

26. Demikian pula akan indikator kejayaan sesebuah sekolah yang disempitkan dengan ukuran yang didasarkan kepada bilangan pelajar yang memiliki gred terbaik. Faktor-faktor membentuk insan kamil, insan yang bersifat matang –bersahsiah tinggi, insan yang memiliki nilai kemanusiaan dan berbudi bahasa, memiliki karakter dan daya kepimpinan terpuji, semakin kurang diberikan perhatian.

27. Bagaimana pula impak program pendidikan yang begitu seragam sifatnya apabila dihidangkan kepada para pelajar yang mempunyai tahap minda dan bidang kecenderungan yang pelbagai. Adalah satu realiti bahawa tidak semua manusia mempunyai kecenderungan akademik yang tinggi. Masing-masing dilahirkan dengan pelbagai bakat – pelbagai kecenderungan. Ada yang memiliki kelebihan minda – ada yang memiliki kelebihan fizikal – ada yang tinggi bakat seninya. Tidakkah ianya satu ironi, apabila realiti kepelbagaian fizikal manusia diakui, lalu industri pakaian umpamanya, menyediakan baju, seluar dan kasut dalam berbagai ukuran; namun realiti tersebut bagai dilupakan dalam menyediakan menu bagi memenuhi keperluan minda dan kepelbagaian bakat di peringkat sekolah. Tidakkah kegagalan menerima realiti ini secara tidak langsung menjadikan institusi sekolah gagal membantu perkembangan sumber manusia secara optimum.

28. Negara hari ini juga berada dalam satu keadaan ironi. Tenaga kerja asing yang di anggarkan lebih dua juta orang masih belum cukup untuk menampung keperluan guna tenaga dalam negara; sedangkan warga muda Malaysia yang puluhan ribu meninggalkan bangku sekolah setiap tahun memilih untuk menganggur. Aspek ini menyentuh sistem nilai warga muda. Institusi mana dan diperingkat mana yang perlu menyemaikan nilai yang betul. Tidakkah mengambil alih tanggung jawab guna tenaga kerja dari warga asing, merupakan sebahagian dari khidmat kepada negara-bangsa, satu tanggung jawab sosial, satu tanggung jawab ekonomi, satu tanggung jawab fardu kifayah oleh warga yang berjiwa patriotik.

29. Negara harus dibantu untuk mencari formula bagi mengubati keadaan tempang ini. Komposisi sumber manusia untuk membangunkan sesebuah negara merangkumi pelbagai bidang; dari jurutera mekanikal yang mereka cipta kenderaan sampailah kepada pemandu di jalan raya. Dari jurutera sivil yang bertanggung jawab membina bangunan pencakar langit sampailah kepada penggali kubur yang menguruskan tempat kediaman terakhir jasad yang tidak lagi bernyawa. Dari gembala yang memelihara lembu di ladang sampailah kepada tukang masak di hotel lima bintang. Dari pemain bola sepak profesional sampailah kepada pekerja yang memotong rumput di padang.

30. Oleh kerana keperluan sumber manusia begitu pelbagai, sekolah haruslah dapat dijadikan taman pendidikan yang indah – taman pendidikan yang romantis – membolehkan pelbagai pohon dan tumbuhan dapat disemai – berakar kukuh, menghirup udara ilmu, dibaja hingga menjadi pepohon segar lagi rendang – membungakan kuntum-kuntum kemahiran yang pelbagai, sebelum berhijrah ke ladang penghidupan dunia nyata yang terbuka. Oleh itu perencanaan agenda pendidikan tidak wajar disempitkan kepada diskusi yang menyentuh aspek peningkatan pencapaian akademik semata-mata. Aspek penguasaan kemahiran perlu diperluaskan supaya setiap warga muda merasakan sekolah merupakan institusi rujukan untuk semua. Persepsi yang betul dan nilai positif terhadap kemuliaan setiap bidang pekerjaan hendaklah dipupuk.

31. Menyediakan pelajar semata-mata untuk menghadapi peperiksaan bukanlah pendidikan dalam erti kata sebenar. Sistem pendidikan yang berkesan, tidak boleh mengetepikan perbezaan nyata yang terdapat dalam diri manusia. Malah perlu diakui bahawa program pendidikan melibatkan dua generasi. Keupayaan memahami generasi muda amatlah penting. Fantasi generasi muda di hari ini amat berlainan dengan fantasi generasi pendidik dan generasi yang merangka agenda pendidikan.

32. Fantasi generasi muda hari ini adalah manifestasi kepada imaginasi baru yang dipengaruhi oleh teknologi komunikasi. Tema pengintipan Enyd Blyton melalui buku-buku ‘Famous Five’ dan ‘Secret Seven’ tidak lagi mengghairahkan minda generasi muda hari ini. Demikian juga dengan cerita kehebatan Hang Tuah membunuh lanun atau kekuatan Badang mengangkat kapal. Kebijaksanaan J.K. Rowling menghayati fantasi dalam minda generasi muda hari ini, mendorong beliau menghasilkan siri penerbitan ‘Harry Potter’; siri penerbitan yang dapat diterima secara global oleh generasi muda semasa; menembusi sempadan budaya – sempadan negara, malah berjaya mengembalikan kecenderungan generasi muda kepada bahan bacaan.

33. Realiti ini menuntut kepada sistem pendidikan yang memberi perwakilan kuasa yang tinggi kepada sekolah melalui pendekatan pengajaran lebih liberal. Para pendidik di sekolah perlu diberikan budi bicara supaya berani bersifat inovatif bagi menghadapi kepelbagaian kecenderungan minda dan bakat pelajar. Mengamalkan satu sistem yang tegar, bererti, memaksa kaki yang berbeza ukuran menyarungkan sepatu bersaiz sama. Hasilnya, sama ada kaki yang menanggung sakit atau sepatu yang mungkin pecah.

34. Program pembangunan sumber manusia yang relevan dengan realiti semasa memerlukan perancangan dilakukan dengan minda terbuka dan pemikiran ‘lateral’. Perancangan pendidikan tidak terbatas dari segi menambahkan kemudahan prasarana dan tenaga pengajar. Faktor pengisian dan kaedah pengisian merupakan komponen paling utama. Di samping membekalkan ilmu dan kemahiran yang relevan, program pendidikan perlu diperlengkap dengan usaha membina sifat daya saing dan menyemaikan budaya produktif. Warga di era global perlu dipupuk dengan kekuatan mental untuk berani bersaing. Warga di era global perlu ditingkatkan keyakinan diri untuk berani menerokai perbatasan baru.

35. Era teknologi maklumat membawa dimensi baru terhadap peranan pendidikan. Era teknologi maklumat menuntut kepada usaha yang dapat menjalin tali kasih dan membina rasa cinta manusia kepada ilmu, sepanjang hayat – sepanjang masa. Kini pengetahuan dan insan berpengetahuan adalah sumber – adalah faktor penting pengeluaran. Ekonomi berpaksikan pengetahuan meletakkan nilai paling tinggi kepada idea dan pengetahuan baru.

36. Pendidikan kini dilihat sebagai sebuah industri penuh dinamik – penuh potensi, berkembang pesat dengan pasaran yang besar. Pendidikan dilihat sebagai pelaburan penting yang memberikan pulangan tinggi. Perangkaan kasar di tahun 2000, mencatatkan jumlah perbelanjaan lapan trilion ringgit dalam industri pendidikan di peringkat global. Pasaran pendidikan secara global mencecah 1500 bilion ringgit dalam tahun 2003. Perangkaan semasa turut menunjukkan bahawa industri pendidikan secara menyeluruh memberikan sumbangan sepuluh peratus (10%) kepada jumlah Keluaran Negara Kasar Dunia.

37. Di Malaysia, alam pendidikan telah melalui beberapa gelombang. Gelombang pertama, untuk menambahkan peluang pendidikan di kalangan warga Malaysia, alhamdulillah telah dicapai. Gelombang kedua, untuk meningkatkan pencapaian akademik dan mutu pengajaran sedang dipergiatkan. Kini negara juga sedang berada dalam gelombang ketiga, untuk memenuhi satu piawaian kualiti. Kualiti pendidikan bertaraf dunia dijadikan matlamat – dijadikan sasaran.

38. Falsafah, wawasan, matlamat atau sasaran, adalah satu kenyataan dasar. Kenyataan dasar hanya memberi erti – membawa makna, jika dasar tersebut berjaya diterjemahkan dalam bentuk tindakan realistik serta relevan kepada keperluan semasa.

39. Dalam hasrat mahu menambah peluang pendidikan dan meningkatkan tahap pencapaian akademik , negara mengamalkan dasar semakin liberal – semakin terbuka, meluluskan penubuhan institusi pengajian pasca sekolah. Kini terdapat 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan 569 Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang menawarkan program pasca sarjana, ijazah pertama, diploma dan sijil di Malaysia. Perkembangan tersebut sungguh memberangsangkan.

40. Setelah memperlihatkan pencapaian dalam bentuk kuantiti, aspek kualiti, memerlukan tumpuan dan usaha lebih serius. Aspek perisian ini berperanan lebih penting untuk meletakkan negara berada pada posisi strategik dalam peta pendidikan dunia. Berdasarkan laporan ukur rujuk oleh Asiaweek 2000, universiti yang diberikan ‘ranking’ tertinggi di Malaysia hanya berada pada kedudukan ke 47 daripada 77 universiti di Asia yang tersenarai dalam kajian tersebut. Keadaan tertinggal di belakang ini, menuntut kepada keperluan untuk menetapkan supaya beberapa universiti awam tertentu dijadikan universiti perdana; universiti yang lebih mengutamakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, menghasilkan penerbitan ilmiah bermutu tinggi, menggalakkan tenaga akademik dari luar negara dengan nisbah kehadiran yang tinggi, serta mengawal populasi mahasiswa pada paras yang tidak terlalu besar.

41. Institusi pendidikan memerlukan piawaian tinggi untuk mencapai tahap cemerlang. Tahap tersebut tidak tercapai secara ‘segera’ kerana tidak ada ‘formula segera’ untuk membolehkan institusi pendidikan mencipta nama – mencipta kehormatan. Perbelanjaan yang besar, bangunan yang indah, kampus yang luas dan bilangan mahasiswa yang ramai bukan faktor utama dalam menentukan ‘ranking’ institusi pengajian. Yang utama adalah kualiti penyelidikan, kualiti penerbitan, khazanah ilmu serta kematangan barisan para sarjana yang terlibat dalam menguruskan institusi dan yang dihasilkan oleh institusi. Institusi pendidikan tidak boleh diurus melalui budaya pentadbiran yang serupa dengan mana-mana agensi awam lain. Pengurusan institusi pendidikan perlu memiliki budaya tersendiri, budaya keilmuan yang mengutamakan nilai ilmu dan nilai pengetahuan; nilai yang disandarkan kepada autonomi berfikir, fakta, kebenaran dan meritokrasi.

42. Program pendidikan yang mantap perlulah komprehensif sifatnya. Tidak ada satu jawapan yang betul – tidak ada satu formula yang sempurna. Yang penting adalah kesediaan untuk membawa perubahan – keberanian untuk membuat pembaharuan. Sikap sedia mendengar dan menerima maklum balas secara rasional – secara objektif, amatlah penting, supaya dasar yang ada terus dapat diperbaiki dan diperkukuhkan.

43. Konvensyen seperti ini sendiri hendaklah terbuka sifatnya – hendaklah mengamalkan budaya percambahan fikiran secara dua hala. Konvensyen seumpama ini merupakan forum yang dapat menggabungkan pengetahuan dan mencantumkan pengalaman. Semoga Konvensyen ini dapat menghasilkan penemuan bernas. Beta percaya resolusi yang dihasilkan akan memberi impak besar jika disusuli dengan gerak kerja dan program tindakan yang dapat dilaksanakan sendiri oleh ahli-ahli Persatuan Suluh Budiman.

44. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman kali ketiga belas.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*************

%d bloggers like this: