Majlis Perasmian Muzakarah Ulama’

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai segala kekayaan di bumi dan di langit. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Muzakarah Ulama’ yang bertemakan ‘Menjana pengurusan ekonomi: perancangan kewangan barakah’.

3. Cabaran utama yang harus diberikan tumpuan oleh 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia adalah prestasi pencapaian ekonomi mereka. Hari ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul kesemua 57 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tidak pun dapat menandingi KDNK negara Jepun. Malah KDNK negara Jepun sahaja, adalah tiga kali ganda KDNK negara-negara OIC disatukan. Perangkaan juga menunjukkan bahawa KDNK bagi 20 buah negara terkaya di dunia kini adalah 37 kali ganda KDNK 20 buah negara termiskin. Pada masa yang sama, diunjurkan bahawa negara-negara Cina, India dan Jepun, tiga gergasi ekonomi Asia, bersama Amerika Syarikat akan menjadi empat paksi utama ekonomi dunia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

4. Jepun berjaya membangunkan ekonominya hingga ke taraf dihormati sebagai satu kuasa ekonomi dunia dalam tempoh masa 25 tahun selepas Nagasaki dan Hiroshima dimusnahkan. 25 tahun selepas Deng Xiaoping meruntuhkan benteng penghalang ekonomi yang dibina oleh Mao Zedong, negara Cina kini bangun menjadi salah satu paksi ekonomi dunia dan diramalkan menjadi ekonomi terbesar dunia mengatasi Amerika Syarikat dengan menguasai 35% ekonomi dunia dalam tahun 2035. Melalui usaha reformasi ekonomi yang dirintis oleh Manmohan Singh sejak tahun 1991, dalam tempoh 25 tahun India telah bangkit dan akan menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia mengatasi Jepun dalam tahun 2015. Negara-negara Islam wajib meneliti dinamik ekonomi yang sedang berlaku ini yang tentunya akan mempengaruhi senario geopolitik dunia.

5. Pencapaian yang diperlihatkan oleh negara-negara Cina, India dan Jepun dipetik sebagai contoh untuk memperlihatkan bahawa pemimpin dan wawasan yang di bawa oleh pemimpin berperanan penting mempengaruhi tahap pencapaian cemerlang ekonomi ketiga-tiga negara tersebut. Pemimpin yang arif memahami bahawa ekonomi bukanlah satu matlamat, tetapi satu pendekatan yang direncanakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Pendekatan yang dipilih hendaklah dapat memberi manfaat kepada kehidupan rakyat umum melalui pembahagian sumber dan kekayaan secara adil lagi saksama serta memikirkan kesan jangka panjang kepada negara bangsa. Keadaan yang membenarkan berlakunya timbunan kekayaan untuk tujuan kemegahan dan dikuasai oleh segelintir golongan yang mendapat keistimewaan, sedangkan rakyat jelata menderita dalam kemiskinan, bukanlah satu pendekatan pengurusan ekonomi yang adil lagi saksama.

6. Di samping pemimpin dan wawasan pemimpin, tenaga yang diberikan tanggung jawab menguruskan sumber dan ekonomi negara turut berperanan penting. Sumber dan kegiatan ekonomi perlulah diserahkan tanggung jawab menguruskannya kepada mereka yang benar-benar pakar dan ahli. Pembaziran akan berlaku jika sumber tidak diuruskan secara bijak oleh mereka yang benar-benar ahli. Di samping itu, sifat jujur, sifat ikhlas dan sifat amanah perlu ada, supaya tidak akan berlaku sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi punca kepada ketirisan sumber.

7. Untuk itu sumber manusia terlatih dalam pelbagai bidang kepakaran adalah komponen pengeluaran yang penting diberikan perhatian. Sumber manusia berpengetahuan menjadi bertambah kritikal dalam era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan. Ekonomi berpaksikan pengetahuan telah mengubah struktur ekonomi dunia. Perdagangan yang berlaku di peringkat global di tahun 2000, mencatatkan 150 bilion ringgit bertukar tangan dalam setiap minit. Dari angka tersebut, hanya 3 bilion ringgit atau dua peratus sahaja dari nilai dagangan berbentuk barangan; selainnya berbentuk perkhidmatan dan royalti kepada daya cipta yang dihasilkan dari minda yang imaginatif dan minda yang kreatif.

8. Kejayaan ekonomi tidak lagi bergantung kepada sumber prima dan hasil bumi semata-mata. Kejayaan ekonomi kini bergantung kepada keupayaan mencetuskan idea baru – keupayaan mentafsir, memahami dan mengurus idea – keupayaan mencipta – keupayaan menyuntik inovasi dan keupayaan membawa perubahan. Oleh itu, usaha membangunkan minda untuk menguasai dan menerokai ilmu amatlah penting supaya daya fikir umat Islam dapat dipertajam. Pemikiran umat Islam perlu berani berhijrah, dibawa keluar dari kepompong pemikiran yang mengamalkan pendekatan lama yang semakin jumud dan semakin usang. Penguasaan ilmu adalah prasyarat yang akan menentukan kekuatan umat Islam untuk dapat bersaing dan berganding dalam ekonomi dunia global yang begitu kompetitif.

9. Ulama Islam berperanan besar untuk menanamkan semangat di kalangan tenaga muda Islam supaya berani melakukan penghijrahan pemikiran, lalu membawa perubahan hingga dapat membangunkan barisan tenaga muda Islam yang dinamik lagi progresif; berupaya mengenal pasti serta menerokai ruang-ruang baru ekonomi. Semangat ukhuwah sesama Islam hendaklah dilebarkan dengan memberikan tumpuan dalam bidang-bidang ekonomi dan perdagangan, kewangan dan perbankan, supaya akan terbina satu rangkaian kekayaan bersama di kalangan umat dan negara Islam.

10. Muzakarah ini hendaklah dijadikan sebagai forum yang mencetuskan percambahan fikiran dan percambahan idea dalam usaha merangka program kerja yang pragmatik untuk membangunkan ummah di bidang ekonomi. Adalah satu pembaziran usaha dan pembaziran masa, jika idea yang dicetuskan di dalam muzakarah ini tidak disusuli dengan program bertindak dan program perlaksanaan secara bersungguh lagi berkesan.

11. Semoga hasrat yang terkandung dalam usaha menganjurkan Muzakarah ini dimakbulkan ILAHI. Semoga para peserta Muzakarah mendapat petunjuk dan hidayah ILAHI. Semoga umat Islam di serata dunia menanamkan azam – menyemaikan tekad untuk meningkatkan pencapaian ekonomi ummah.

12. Dengan lafaz BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM, Beta dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Ulama’ pada pagi ini.

*****************

%d bloggers like this: