Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran Agama Islam Parit Buntar pada pagi Jumaat yang penuh berkat ini.
3. Kerajaan telah memperuntukkan satu jumlah kewangan untuk pembinaan pejabat baru ini, dengan tujuan dapat menyediakan persekitaran tempat bekerja yang lebih selesa kepada kakitangan. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab kakitangan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Parit Buntar, menunjukkan penghargaan dan apresiasi kepada kerajaan dengan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai yang berurusan dengannya. Segala usaha hendaklah diterokai demi memastikan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan terus ditingkatkan. Pentadbiran yang mementingkan kecekapan dan produktiviti akan senantiasa berusaha menerokai inovasi dan pendekatan baru. Prosedur kerja perlu dikemas kini, dipermudah dan diringkaskan. Layanan mesra yang mengutamakan pelanggan hendaklah dijadikan budaya dan dijadikan amalan ketika melaksanakan tugas.
4. Orang awam merupakan pelanggan kepada perkhidmatan awam. Pejabat dan perkhidmatan kerajaan diwujudkan untuk mengendalikan urusan orang awam; mempermudah urusan mereka dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Kayu ukur kecekapan sesebuah pejabat kerajaan bergantung kepada tahap kepuasan perkhidmatan yang disediakan kepada orang awam. Kakitangan awam berada di barisan hadapan serta menjadi faktor penentu mencorakkan imej sesebuah kerajaan – sama ada cekap, telus, bersih dan amanah; imej pentadbiran sesebuah kerajaan pula akan menentukan imej negara di mata dunia.
5. Dunia yang semakin kompleks membawa cabaran yang bertambah kompleks. Umat Islam tidak dapat lari dari menghadap kompleksiti ini. Pentadbiran yang cekap lagi berkesan adalah pentadbiran yang berupaya memahami kompleksiti ini di samping bijak mengenal pasti kekuatan yang ada dari segi sumber; dan secara bijak menentukan perkara yang perlu diberikan fokus.
6. Selaku Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, adalah menjadi hasrat Beta untuk memastikan bahawa pentadbiran Jabatan Agama Islam memberikan keutamaan kepada dua perkara. Pertama, meningkatkan kutipan zakat melalui pendekatan lebih inovatif dan usaha lebih dinamik; serta meletakkan sasaran pungutan dengan mengumpulkan data lengkap umat Islam di negeri ini yang berada dalam kategori yang wajib membayar zakat. Kedua, membangunkan daya intelek umat Islam di negeri ini melalui program pendidikan yang lebih kemas kini dan relevan dengan perkembangan dunia semasa.
7. Pada hemat Beta, sekolah-sekolah agama di negeri Perak perlu diberikan dimensi pendekatan pendidikan yang relevan dengan keperluan sumber manusia, di era teknologi maklumat dan di era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan. Untuk itu Beta berpandangan amatlah perlu digubal satu pelan induk pembangunan pendidikan sekolah-sekolah agama di negeri Perak supaya dapat disesuaikan dengan keperluan pengetahuan dan keperluan kemahiran di era teknologi maklumat dan di era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan.
8. Sekolah-sekolah agama pernah menjadi tempat melahirkan barisan warga intelek di negara ini. Di suatu masa dahulu, lulusan sekolah agama merupakan barisan kumpulan inteligensia Melayu yang terlibat secara langsung dalam menggerakkan kesedaran bangsa ketika rakyat menuntut kemerdekaan. Masyarakat Islam ketika itu merupakan pendukung dan berperanan proaktif kepada pembangunan, perkembangan, kemajuan dan kejayaan sekolah-sekolah agama.
9. Kini negara telah berada diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke empat puluh tujuh (47). Perangkaan menunjukkan lebih ramai umat Islam pada hari ini yang kaya dari segi kebendaan dan kaya dari segi pengetahuan berbanding dengan umat Islam di era pra-merdeka. Perangkaan turut menunjukkan lebih ramai umat Islam kini menguasai bidang-bidang profesional, koperat dan urus niaga. Perangkaan juga menunjukkan umat Islam telah berjaya menguasai badan-badan perniagaan yang besar lagi menguntungkan. Amatlah aneh, dalam keadaan umat Islam yang telah mencipta kejayaan, tanggung jawab untuk membangunkan institusi pendidikan Islam diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.
10. Adalah penting untuk umat Islam yang telah berjaya disedarkan lalu di bawa bersama menjadi rakan, membantu program pembangunan pendidikan umat Islam. Sekolah-sekolah agama perlu diuruskan secara profesional, bertunjangkan ilmu – berakarkan pengetahuan, bebas dari sebarang pengaruh yang tidak berunsur ilmu – bebas dari kegiatan yang bercanggah dari peranannya sebagai institusi ilmu. Untuk itu sangatlah bertepatan untuk pentadbiran agama di setiap daerah di negeri Perak menunjukkan minat, memberi perhatian dan mengambil tanggung jawab, memantau dan membantu usaha pembangunan pendidikan umat Islam di kawasan masing-masing.
11. Program pembangunan intelek umat Islam perlu dilaksanakan selaras dengan perkembangan untuk memenuhi keperluan dan cabaran semasa. Sekolah berperanan besar merealisasikan program perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Sekolah-sekolah agama perlu memahami latar belakang agenda perpaduan nasional serta melaksanakan program pendidikan yang selari dengan falsafah pendidikan nasional. Sekolah-sekolah agama sewajarnya memenuhi peranan pelengkap menjayakan program integrasi nasional melalui pendekatan pendidikan yang berlandaskan realiti semasa; bermula dengan asuhan memperkukuhkan talian silaturahim sesama umat Islam. Berlandaskan semangat Islam itu bersaudara
memanjangkan pula ikatan perpaduan dengan warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kumpulan etnik.
12. Beta percaya wawasan ini dapat dicapai, dan dicapai secara berkesan, jika kakitangan di pejabat-pejabat agama di seluruh negeri Perak turut memahami dan menghayati wawasan yang sama. Membina sebuah negara yang bersatu lagi harmoni adalah satu keperluan – adalah satu tanggung jawab penting dalam masyarakat, adalah satu fardhu kifayah, demi menjamin kestabilan negara kekal terjamin. Beta menyeru supaya dimensi baru ini difahami dan dihayati oleh kakitangan di semua pejabat agama di negeri ini, serta bersedia mengambil peranan sebagai fasilitator membantu menterjemahkan wawasan ini dalam bentuk pelan tindakan yang realistik. Pemikiran dan minda umat Islam perlu dicanai agar dapat berkembang dalam realiti sebuah negara berbagai kaum – berbagai agama, dan dalam realiti dunia global tanpa sempadan.
13. Dengan ini, dengan penuh kesyukuran, dengan kalimah suci Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Parit Buntar.
Wabilahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**********