Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa “Etika Profesion / Professional Ethics”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, demikian juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya kepada para tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan dari Allah Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa bertemakan ‘Etika Profesion’ anjuran Persatuan Bahasa Moden Malaysia. Pemilihan tema tersebut memperlihatkan bahawa Persatuan Bahasa Moden Malaysia telah melebarkan skop perbincangan yang tidak hanya terbatas kepada aspek bahasa semata-mata.

3. Etika menyentuh prinsip-prinsip akhlak dan moral yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Dalam hasrat menetapkan satu tahap piawaian, adalah menjadi amalan untuk setiap profesion menggariskan etika yang harus dipenuhi dan dipatuhi. Etika ini dicapai secara konvensional, memenuhi ciri-ciri tertentu, diterima pakai oleh ahli profesion berkaitan, diamalkan secara meluas, diiktiraf baik di kalangan mereka yang berada di dalam profesion berkaitan, begitu juga oleh mereka yang tidak berada di dalam profesion berkaitan. Etika profesion memberi identiti kepada profesion, dijadikan rukun kepada profesion dan dihormati setiap masa demi nama baik profesion dan demi menjaga kepentingan awam yang memerlukan perkhidmatan dari profesion tersebut. Etika profesion adalah satu instrumen kawalan dalaman untuk memastikan bahawa sesuatu profesion itu tidak tergelincir dan tidak terkeluar dari falsafah dan hasrat murni kewujudannya untuk membantu membina kehidupan insan yang lebih sejahtera dan seterusnya meningkatkan tamadun manusia di maya ini.

4. Perkembangan dunia, pertambahan penduduk, pendemokrasian pendidikan, kemajuan teknologi, peningkatan sistem komunikasi disusuli dengan keperluan kepada perkhidmatan profesion yang semakin meluas; setiap satunya membantu kepada berlakunya proses perkembangan profesion secara pesat lagi mendadak. Keanggotaan dalam sesuatu profesion berkembang dan membesar dengan kadar yang pantas. Dengan meningkatnya pertambahan berbentuk kuantiti aspek kualiti tidak boleh disisihkan. Faktor pengawalan kualiti adalah cabaran yang perlu ditangani oleh setiap profesion untuk mengelak dari berlakunya fenomena perlumbaan yang tidak sihat. Pertimbangan komersial jangan sampai ke peringkat boleh menghakis prinsip-prinsip murni yang terkandung di dalam etika profesion. Demi menjamin kemurnian profesion, perhatian secara serius amatlah perlu diberikan untuk memastikan etika profesion kekal dipatuhi.

5. Isu menyentuh etika telah bermula sejak terciptanya manusia, sejak dari saat pertama terciptanya Nabi Adam Alai Wassalam; bagaimana lahirnya rasa cemburu di hati Iblis, lalu mencetuskan perlumbaan pengaruh antara nilai positif dengan nilai negatif. From the very beginning of time, in the Garden of Eden, Adam and Eve ate from the Tree of Knowledge of Good and Evil instantly granting mankind the wisdom of discernment. It is also since then, that we have been plagued with moral dilemmas and questions of ethics.

6. The ability to question right and wrong, good or bad is what separates us from the animal kingdom. Every society is governed by a set of laws and social rules. The law of a society reflects the ethical standards of that society. It is ethics that provides us with guidelines to make moral choices in times of uncertainty. Ethical questions arise for all people in every stage of life. In our day-to-day lives, we are stopped at various ethical junctures and are given a choice to make ethical decisions. Some might be immune or too jaded to pause and make ethical decisions while others are prepared to go against the grain and do the needful, even if it is not the popular choice.

7. Etika di dalam profesion amat dipengaruhi oleh etika di dalam masyarakat, sementara etika di dalam masyarakat di pengaruhi pula oleh etika yang diamalkan di dalam sistem bernegara dan berkerajaan. Negara dan kerajaan yang meletakkan keutamaan kepada kedaulatan undang-undang, diuruskan secara telus, menghormati prinsip-prinsip demokrasi, menghargai kebenaran dan melaksanakan keadilan; meletakkan satu acuan etika yang mempengaruhi pemikiran dan membentuk budaya masyarakat. Masyarakat yang terbentuk dalam acuan etika yang baik tidak akan menerima amalan tidak beretika yang berlaku dalam mana-mana profesion perkhidmatan. Pendukung utama menentukan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam etika tidak dinodai – tidak dicemari, adalah setiap individu yang merupakan para pengamal dalam profesion berkenaan.

8. Etika dalam diri setiap ahli profesional tidak mungkin terbina dalam masa yang singkat. Ianya tidak dapat dicapai jika semata-mata bergantung kepada kod etika yang maktub di dalam sesuatu profesion. Kod etika hanyalah satu garis panduan, adalah pakaian luaran yang tidak berupaya menutup batang tubuh individu yang tidak bersih. Kod etika hanya merupakan satu kosmetik – jika tidak dihayati, diamalkan dan dipatuhi sepenuhnya. Kecantikan luaran – keindahan luaran, hanyalah satu ilusi yang tidak dapat mencerna keindahan tulen lagi sejati, jika watak yang terkandung di jiwa, di hati, di minda dan di sanubari individu tidak selaras dengan kecantikan dan keindahan luaran.

9. Kekuatan kod etika amat bergantung kepada watak yang terdapat di kalangan para pengamal. Watak pada batang tubuh pengamal haruslah memiliki kekuatan sejati yang mula disemai sejak seseorang insan itu dilahirkan, disuburkan di alam persekolahan, diperkaya di alam universiti dan diperkemas di alam pekerjaan. Tanggung jawab membina etika profesion yang teguh merupakan tanggung jawab kolektif; rangkaian peranan pemimpin negara, badan profesional, para profesor di universiti, para guru di sekolah serta ibu bapa, anggota keluarga, anggota masyarakat dan persekitaran budaya yang membentuk nilai di dalam negara.

10. Pada hakikatnya, badan profesional, sekolah dan universiti di apit oleh institusi negara dan institusi keluarga; sementara persekitaran budaya masyarakat pula amat di pengaruhi oleh corak dan gaya pimpinan negara. Nilai-nilai yang disemai melalui didikan keluarga di jiwa anak-anak akan menentukan sama ada mereka akan dapat menjadi pohon yang teguh atau dahan yang rapuh; sementara para pemimpin negara bertanggung jawab menentukan persekitaran, sama ada, terdapatnya tanah yang subur, cukupnya sinar cahaya, adanya bekalan air, serta lengkapnya kitaran udara untuk membolehkan pepohon etika ini dapat membesar secara subur dan rendang. Bahawa jiwa yang telah diperteguh dengan nilai-nilai positif akan menjadi pendukung utama memastikan bahawa etika profesion akan terus dipertahankan – terus diperbaiki demi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh profesion dan demi manfaat manusia sejagat.

11. Semoga usaha yang dirintis melalui seminar ini akan dapat membantu memberi dimensi dan pengukuran baru kepada etika profesion selaras dengan perubahan dan perkembangan dunia semasa. Beta ucapkan selamat bersidang.

12. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Antarabangsa Etika Profesion.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

%d bloggers like this: