Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassallam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kesenian: Simbolisme dan Kerohanian pada malam ini.
3. Sesungguhnya konsep seni yang dipaparkan secara aural dan visual adakalanya dilambangkan dengan unsur-unsur simbolik. Dalam keadaan tertentu, setiap simbol yang dilakarkan akan dikaitkan pula dengan unsur-unsur kerohanian atau spiritual.
4. Seni adalah hasil dari daya ekspresi manusia. Setiap budaya manusia, akan memiliki pelbagai unsur seni yang berupaya diluahkan dalam bentuk aural dan visual. Bentuk aural disuarakan menerusi prosa seperti nyanyian, puisi, jampi-serapah, mantera dan sebagainya. Manakala bentuk visual dilakarkan melalui seni rupa dan seni tampak. Malah bentuk ini juga berupaya digambarkan secara gerak laku dalam tarian dan persembahan. Melalui seni manusia dapat meluahkan pemikiran, perasaan dan harapan mereka, untuk mencapai kesan kepuasan, keselesaan, kesempurnaan dan keamanan.
5. Penghasilan sesuatu barangan atau objek mencerminkan nilai seni sesuatu bangsa. Hasil karya atau objek yang terhasil merupakan paparan kepada keseluruhan proses seni yang berlaku dan sekaligus menerangkan tentang manusia yang menciptanya dan masyarakat yang melingkunginya. Dengan demikian setiap bentuk yang dihasilkan akan memberi gambaran simbolik terhadap sesuatu gejala kehidupan. Sehubungan itu, persamaan dan perbezaan pemikiran serta retorika masyarakat dari zaman ke zaman boleh dikenal pasti.
- Namun jika ditelusuri pada suatu masa dahulu, hasil ekspresi seni adalah untuk tujuan kenangan, untuk membina dan merakam semangat patriotik, untuk pengesahan identiti, bahkan ada juga sebagai pengisi nostalgia kehidupan. Hasil seni yang berjaya mengekspresikan soal semasa adalah umpama cermin diri, atau bayangan di air tenang. Hasil seni juga ada yang bersifat halus dan menepati tujuan ritualistik.
7. Persidangan kali ini berusaha untuk mengupas satu aspek penting dari lapisan-lapisan penghayatan dan pemahaman seni, iaitu sudut simbolisme dan kerohaniannya. Kesenian Melayu, malah seni untuk semua bangsa, bermula sebagai usaha memahami alam dan kuasa yang dianggap sangat ajaib di sekitar mereka – seperti kuasa halilintar, matahari, siang dan malam, bahkan kehidupan dan kematian. Manusia ketika itu cuba mencari jawapan melalui karya seni lalu diungkapkan jawapan yang dijangka paling mujarab untuk pemahaman diri mereka kepada keajaiban itu.
8. Seni mempunyai pelbagai tafsiran yang boleh ditinjau dari pelbagai perspektif. Secara umum istilah seni bermaksud sesuatu yang halus, elok, cantik dan menarik, kebiasaannya diciptakan dengan bakat atau kecekapan seseorang individu. Seni seringkali dikaitkan dengan keindahan dan kecantikan meskipun wujudnya seni yang tidak memberikan rasa indah pada penonton atau pendengarnya. Di sinilah letaknya daya tarikan seni itu dalam keupayaan untuk menimbulkan pelbagai rasa, tafsiran, fikiran dan persoalan yang ternyata bersifat subjektif. Dalam semua budaya bangsa di dunia, seni menjadi tanda kemercuan dan kegemilangan bagi sesebuah ketamadunan manusia sama ada yang dipaparkan mahupun yang diungkapkan lazimnya dengan perlambangan yang indah.
9. Perbahasan mengenai seni telah berlaku sejak manusia mula berfalsafah demi mencari hakikat kesenian yang dapat memberi pengertian dan pengisian kepada kehidupan manusia. Oleh itu dalam konteks masyarakat dunia, seni merupakan paparan budaya milik bangsanya, dijelmakan dengan identiti, nilai, adat resam, kepercayaan dan sistem hidup yang tersendiri. Karya seni biasanya dihasilkan secara terancang dengan pengisian tertentu yang memberikan identiti penciptanya dan masyarakat yang mengawalnya. Apabila sesuatu yang meruntun jiwa dan raga manusia dilahirkan tetapi terlalu kontroversi, kasar bahkan tidak sopan atau merbahaya untuk diekspresi dengan tepat dan terus terang; maka akan lahir alternatifnya sebagai hasil seni yang bernaung di sebalik perlambangan dan penyamaran.
10. Sesungguhnya unsur seni telah melalui pelbagai peringkat perkembangan sejajar dengan perkembangan tamadun manusia. Usaha memartabatkan bentuk-bentuk seni dilihat sebagai petanda yang positif. Usaha sebegini tidak akan berjaya tanpa penyuntikan isi kesenian yang berteraskan nilai-nilai murni sesuatu bangsa dan dibantu dengan penyuntikan idea kosmologi tradisi yang selaras dengan tradisi agama. Di Malaysia, daya dan kuasa hasil seni sebagai pengukuh tamadun dan imej bangsa serta negara sudah sekian lama difahami oleh masyarakat malah mendapat pengiktirafan kerajaan dengan wujudnya Anugerah Tokoh Seni Negara.
11. Insya Allah persidangan ini akan menemukan input yang bernas dari pakar-pakar dan tokoh-tokoh yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, cendekiawan, penggiat seni, budayawan dan seumpamanya. Persidangan ini boleh dijadikan forum untuk perbincangan dan diskusi dapat dilangsungkan. Persidangan ini semoga menjadi landasan bertukar-tukar pandangan serta pengalaman antara peserta. Beta percaya seminar ini juga akan dapat mencungkil dan merungkai banyak perkara menarik tentang pengalaman dan penghayatan seni pada zaman globalisasi ini. Moga-moga perbincangan dalam persidangan ini berupaya mengupas pelbagai dimensi untuk memberi makna daya ekspresi seni, khususnya seni yang berunsurkan simbolisme dan kerohanian. Diharapkan usaha murni ini tidak hanya berakhir di sini dan harus ada kesinambungan yang seterusnya.
12. Kepada semua pihak yang terlibat daripada Universiti Malaya, UiTM, Balai Seni Lukis Negara, pembentang kertas dan pencinta seni Beta mengucapkan syabas dan tahniah.
13. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan “Seminar Antarabangsa Kesenian: Simbolisme dan Kerohanian”.
Wabillahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**********