Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak.
3. Perangkaan semasa menunjukkan terdapat 140,000 Orang Asli di Malaysia. Dari angka tersebut, seramai 54,416 atau 39 peratus berada di negeri Perak. Orang Asli telah melalui pelbagai sejarah getir kehidupan hingga mewarisi psikik (psyche) yang telah mempengaruhi pemikiran majoriti mereka. Mereka bimbang dan tidak dapat lari dari mencurigai sebarang intervensi pihak luar melainkan mereka terlebih dahulu dapat diyakinkan akan keikhlasan yang benar-benar bertujuan memberikan mereka manfaat. Interaksi dengan pihak asing mula mereka alami ketika pedagang-pedagang India sampai ke persisiran pantai negara ini pada milenium pertama Masihi; lalu berlangsungnya perdagangan barter untuk mendapatkan bahan-bahan yang dihasilkan oleh Orang Asli ditukarkan dengan garam, kain dan alat-alat pertanian berasaskan logam.
4. Orang Asli kemudiannya melalui sejarah pahit apabila menjadi mangsa kepada sistem yang menghalalkan hamba abdi di abad kelapan belas dan abad kesembilan belas. Pedagang-pedagang hamba abdi menjadikan Orang Asli sebagai sasaran; perkampungan mereka diserang, lelaki dewasa biasanya dibunuh, sementara wanita dan kanak-kanak yang dianggap lebih mudah untuk dijinakkan, di tawan dan dijadikan bahan dagangan hinggalah undang-undang menghapuskan hamba abdi diperkenalkan dalam tahun 1884. Trauma yang mereka hadapi adalah antara punca yang membuat masyarakat Orang Asli menjauhkan diri lalu memilih hidup jauh di kawasan pendalaman hutan hingga tersisir dari arus kemodenan.
5. Sejarah hitam dan kezaliman yang perlu dilalui oleh Orang Asli telah lama berlalu. Penubuhan Jabatan Orang Asli pada tahun 1950 dan penggubalan Ordinan Orang Asli 1954 adalah langkah permulaan di pihak negara untuk membantu memajukan masyarakat Orang Asli. Perangkaan rasmi Kerajaan mencatatkan 13,642 Ketua Isi Rumah Orang Asli hari ini berada dalam kategori miskin dan Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk bilangan Ketua Isi Rumah miskin tersebut dapat diturunkan kepada 3,410 dalam tahun 2015, selanjutnya mencapai tahap sifar menjelang tahun 2020.
6. Sasaran tersebut adalah sasaran yang realistik. Negara mempunyai tanggung jawab yang wajib dilaksanakan untuk membawa masyarakat Orang Asli keluar dari kepompong hidup yang jauh dari kemodenan. Prasarana mental dan prasarana sosial wajib dibangunkan secara intensif untuk menambah upaya lebih ramai masyarakat Orang Asli berpeluang menikmati budaya hidup moden, berpelajaran, berkemahiran dan diberikan kepercayaan yang sama dengan warga keseluruhannya untuk mengambil tanggung jawab membangunkan negara Malaysia yang makmur, aman dan sejahtera.
7. Sasaran tersebut bukan sahaja dapat dicapai; malah dengan fokus yang lebih tepat, komitmen yang lebih tinggi dan usaha yang lebih bersungguh, sasaran tersebut boleh dicapai lebih awal. Pencapaian dapat dipesatkan lagi dengan adanya penglibatan badan-badan bukan kerajaan serta pihak swasta. Inisiatif Yayasan Orang Asli Perak bersama MHC Plantation Berhad mewujudkan Pusat Pendidikan Orang Asli ini adalah satu langkah terpuji yang wajib dicontohi dan dilaksanakan di lebih banyak lokasi. Atas semangat dan kesedaran tersebut, Yayasan Sultan Azlan Shah pada tahun 2008 dan tahun 2009, telah memberikan sumbangan untuk membiayai program Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli di negeri Perak. Di majlis ini, sukacita Beta memaklumkan bahawa dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Ayahanda Beta, Yayasan Sultan Azlan Shah akan menyampaikan sumbangan seratus lima puluh ribu ringgit lagi (150,000.00 ringgit) kepada Yayasan Orang Asli Perak. Pada masa yang sama langkah Kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta di bawah pimpinan Mamanda Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Zambry menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Orang Asli, berperanan sebagai pemudah cara dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan untuk orang Asli amatlah bertepatan. Pada hemat Beta, amatlah wajar untuk Kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta memperkenalkan satu dasar tanggung jawab sosial korporat (corporate social responsibility) kepada syarikat-syarikat swasta yang menjalankan urus niaga menguntungkan di lokasi-lokasi dalam radius berhampiran dengan penempatan Orang Asli, memberikan peruntukan tahunan, membantu usaha membangun dan memodenkan masyarakat Orang Asli.
8. Program membangunkan masyarakat Orang Asli akan lebih berkesan jika dari peringkat permulaan lagi, pandangan masyarakat Orang Asli ditinjau dan dihalusi secara mendalam. Perancangan yang dilakukan secara andaian umum dan rambang tidak akan membawa hasil berkesan, disebaliknya dikhuatiri akan berakhir dengan pembaziran. Asas pemikiran dan budaya mereka hendaklah dijadikan panduan dalam melaksanakan program. Pandangan masyarakat Orang Asli perlu ditinjau secara berkesan serta ruang untuk mereka dapat bersuara perlu dibuka dengan luas dan mudah. Usaha-usaha pelaksanaan hendaklah memberi ruang membolehkan mereka terlibat secara aktif dan berada di barisan hadapan. Mereka harus dijadikan komponen penting di peringkat pengumpulan makluman, di peringkat perancangan, demikian juga di peringkat pelaksanaan.
9. Bilangan 140,000 orang Asli di negara ini bukanlah angka yang besar. Bilangan tersebut berupaya diuruskan melalui perancangan yang bijak, tersusun dan rapi. Negara sebenarnya melakukan kesalahan besar dan dapat dianggap gagal, jika 25 tahun dari sekarang, masih terdapat warga Malaysia berketurunan Orang Asli yang masih kekal dalam kepompong budaya hidup yang tertinggal dari arus pembangunan dunia moden. Hendaklah dijadikan azam bersama, dijadikan satu fardu kifayah yang wajib ditunaikan, dijadikan satu program berfokus untuk membela nasib 140,000 Orang Asli di bumi dan tanah air bernama Malaysia ini. Bahawa 25 tahun dari sekarang, masyarakat Orang Asli wajib dijelmakan dalam wajah baru, setanding dan seimbang dengan lain-lain warga Malaysia, berdirinya sama tinggi, melangkahnya sama gagah, sama-sama berjaya – sama-sama mendukung – sama-sama membina semangat satu warga – satu negara.
10. Semoga Pusat yang dirasmikan pada hari ini dapat berfungsi sebagai salah satu nadi penggerak yang berkesan. Pusat ini hendaklah terus berkembang hingga dijadikan tanda aras modul nasional. Komitmen untuk memajukannya hendaklah terus membara. Peruntukan operasi dan peruntukan penyelenggaraan hendaklah senantiasa dipastikan. Amatlah dibimbangkan, jika selepas segala kehebohan perasmian disempurnakan, pusat ini mula menurun. Perlu diingatkan bahawa Majlis Perasmian ini bukannya kemuncak tetapi ia adalah satu tangga permulaan untuk pendakian puncak yang lebih tinggi. Oleh itu komitmen hendaklah terus ditingkatkan demi menjamin institusi yang telah dilahirkan ini dapat hidup subur dan terus membesar.
11. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********************