Majlis Perasmian Sambutan 125 Tahun Penjara Taiping

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para Ulama.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan 125 tahun Penjara Taiping.

3. Penjara berbentuk moden seperti yang dikenali pada hari ini bermula di negara ini dengan terbinanya penjara pertama di bawah Negeri-Negeri Selat di Pulau Pinang pada tahun 1847. Sejak itu Institusi Penjara telah berkembang. Pada masa ini selain dari 28 buah penjara yang sedang beroperasi, Jabatan Penjara juga bertanggung jawab menguruskan 18 pusat tahanan lain merangkumi Sekolah Henry Gurney, Pusat Pemulihan Akhlak, Tempat Tahanan Perlindungan dan Depot Tahanan Imigresen. Beta disembah maklumkan bahawa pada masa ini, terdapat 34,140 banduan lelaki dan 2,412 banduan wanita, berada di bawah pengawasan Jabatan Penjara. Jabatan Penjara kini mempunyai 11,280 perjawatan dengan bajet tahunan di sekitar 260 juta ringgit.

4. Jabatan Penjara bukan sahaja bertanggung jawab memastikan bahawa mereka yang disabitkan kesalahan melalui hukuman, malah dipertanggung jawabkan mengurus pelbagai keperluan lain para banduan, merangkumi kualiti penghidupan ketika di dalam tahanan yang menyentuh aspek-aspek kesihatan, perubatan, pemakanan, pakaian, peralatan; di samping pembangunan kemahiran, pembangunan sosial dan pembangunan rohani setiap banduan. Untuk menyempurnakan tanggung jawab tersebut kakitangan Jabatan Penjara perlulah memiliki hikmah supaya dapat mengimbangkan antara tugas menguat kuasakan hukuman berbentuk punitif dengan peranan kebajikan berteraskan kemanusiaan.

5. Jabatan Penjara kini menghadapi cabaran lebih besar dengan meningkatnya kesedaran rakyat terhadap hak asasi manusia, disusuli pula dengan peranan semakin aktif pelbagai badan bukan kerajaan menjaguhkan isu tersebut. Dalam pada itu, perlu diingatkan, akan tujuan asal penjara dibina. Pesalah yang disabitkan oleh mahkamah dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman. Penjara bukanlah tempat istirahat untuk memberikan keselesaan yang terlalu menyenangkan. Bahawa Penjara dibiayai oleh wang rakyat. Setiap banduan yang di tahan, ditanggung perbelanjaannya oleh rakyat. Lebih banyak penjara dibina, lebih banyaklah belanjawan negara terpaksa diperuntukkan untuk membina prasarana, untuk membiayai kos pengurusan serta untuk menanggung keperluan banduan.

6. Untuk itu, amatlah penting difikirkan pendekatan lebih inovatif supaya Jabatan Penjara berupaya membolehkan para banduan berperanan lebih produktif dan lebih konstruktif. Program pemulihan di Jabatan Penjara hendaklah dilandaskan kepada prinsip mahu membina warga yang berguna. Tempoh banduan menjalani hukuman hendaklah digunakan secara bijak – mempersiapkan mereka bersedia menghadapi kehidupan selepas tamat menjalani hukuman. Program pemulihan hendaklah berorientasi kepada membina kemahiran yang relevan supaya setelah tamat menjalani hukuman, para banduan dapat diserap masuk ke dalam pasaran tenaga kerja. Jabatan Penjara mungkin dapat merintis usaha merangka jalinan dengan sektor swasta untuk membantu menjalankan program latihan yang lebih relevan ke arah membina kemahiran tenaga manusia. Jika ini berjaya dilaksanakan, Jabatan Penjara akan dapat memberikan sumbangan lebih bermakna ke arah meningkatkan produktiviti dan melahirkan sumber tenaga terlatih negara dan tidak lagi dilihat sekadar berfungsi mengawasi kawasan berkurung yang menempatkan orang-orang yang disabitkan kesalahan.

7. Meskipun telah disabitkan melakukan jenayah, para banduan adalah insan-insan yang tidak hilang perasaan kemanusiaan. Sebagai contoh, usaha para banduan mengadakan kutipan derma untuk ‘Tabung Bencana Mangsa Tsunami’ adalah satu cerminan sifat murni yang tetap terkandung di jiwa mereka. Usaha tersebut amatlah terpuji – melambangkan sifat warga yang prihatin lagi bertanggung jawab.

8. Para banduan yang telah tamat menjalani hukuman perlulah dibantu untuk dapat menjalani hidup secara normal. Masyarakat berperanan besar membantu menyokong usaha pemulihan yang telah dirintis oleh Jabatan Penjara. Mereka yang telah tamat menjalani hukuman, perlu sesegera yang mungkin dapat diserap ke dalam masyarakat tanpa prasangka. Masyarakat juga hendaklah bersifat adil terhadap para anggota keluarga banduan. Para anggota keluarga banduan adalah insan-insan yang tidak bersalah. Namun mereka biasanya terpaksa menanggung tempias dari hukuman yang dikenakan ke atas para banduan. Beban yang perlu dipikul oleh anggota keluarga bukan sekadar dari segi kewangan, malah perlu menghadapi masalah stigma dan imej. Oleh itu masyarakat perlulah menghulurkan bantuan kepada para anggota yang sedang menghadapi tekanan emosi dan tekanan jiwa terutama sekali kepada para isteri mahupun suami, anak-anak para banduan yang dalam lengkungan usia persekolahan dan remaja serta ibu bapa banduan yang berada dalam lengkungan usia warga tua.

9. Masyarakat yang dapat memainkan peranan pelengkap secara efektif, dipercayai dapat membantu mengurangkan rasa keresahan yang dialami oleh para banduan. Peranan pelengkap dari masyarakat ini, akan dapat membantu usaha Jabatan Penjara melakukan program pemulihan secara lebih berkesan. Oleh itu Beta menyeru kepada masyarakat untuk sama-sama memenuhi tanggung jawab sosial membantu menjayakan program pemulihan banduan.

10. Setelah 125 tahun kewujudannya, Penjara Taiping telah mencatatkan banyak sejarah. Semoga untuk 100 tahun akan datang, Penjara Taiping berupaya mencatatkan sejarah lebih gemilang dengan memperkenalkan program pemulihan bercorak lebih inovatif dan lebih kreatif. Penjara Taiping hendaklah meletakkan satu wawasan, mahu mencipta pembaharuan hingga dapat dijadikan contoh kejayaan di peringkat dunia. Penjara Taiping selepas ini, hendaklah menjadikan misi untuk menjadi satu institusi yang mempunyai program pemulihan berkesan hingga dapat membina peluang kedua – membangunkan jiwa raga warga yang berguna kepada negara bangsanya.

11. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan sambutan 125 tahun Penjara Taiping.

****************

%d bloggers like this: