Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Kuak Luar, Pengkalan Hulu.
- Pendidikan berperanan penting dalam menjayakan usaha membangunkan masyarakat dan membangunkan negara. Sekolah merupakan institusi formal bertanggungjawab memberikan didikan kepada anak-anak dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan dan seterusnya mencapai tahap berupaya menjadi pemimpin berwibawa lagi disegani. Dari peringkat sekolah rendah inilah, anak-anak harus dididik dan disemai dengan nilai-nilai murni dan positif bagi memastikan wawasan pendidikan dan wawasan negara tercapai sepenuhnya.
- Dalam era globalisasi, keupayaan bersaing dengan negara-negara lain terutama dengan negara-negara maju akan menjadi penentu kepada survival sesebuah negara. Penguasaan ilmu adalah faktor penentu untuk membina daya saing warga. Oleh itu usaha menerokai ilmu perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan komitmen oleh semua pihak dan di semua peringkat. Anak-anak yang berada di bangku sekolah, hendaklah diberikan dorongan dan asuhan berteraskan contoh dan teladan yang baik.
- Lokasi dan persekitaran mempengaruhi dinamik pendidikan. Kawasan terpencil yang berada jauh dari arus perdana pembangunan menghadapi cabaran lebih besar dalam usaha membuka minda yang lebih luas. Oleh itu para pendidik yang ditempatkan berkhidmat di luar bandar sesungguhnya melaksanakan satu khidmat murni membantu proses mengilmu dan meluaskan fikiran anak-anak. Tanggungjawab ini memerlukan ketabahan, kesabaran dan komitmen yang tinggi. Laksanakanlah tanggung jawab ini dengan hati yang ikhlas dan dada yang lapang. Insya-Allah, amal bakti yang ikhlas lagi bersungguh itu akan mendapat berkat dan mendapat ganjaran dunia dan akhirat.
6. Bagi membolehkan pendidikan di negara ini sampai bertaraf dunia, amatlah perlu di semai benih kesedaran dan akar keyakinan kepada anak-anak didik bahawa tiap keupayaan itu memerlukan kesungguhan dan ketekunan, dedikasi dan disiplin. Kejayaan tidak datang secara menggolek. Kejayaan menuntut kepada usaha, kepada kesediaan bekerja kuat – secara bersungguh -secara tekun. Kejayaan menuntut kepada kesabaran – bersemangatkan dedikasi dan berpaksikan disiplin.
7. Di samping menyampaikan ilmu pengetahuan, sekolah adalah juga tempat membina akhlak dan mencanai perilaku. Penguasaan ilmu hendaklah seiring dan bergandingan dengan akhlak dan perilaku yang murni bagi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berjiwa luhur. Ibu bapa di rumah dan guru-guru di sekolah hendaklah memberikan perhatian memastikan anak-anak dibina kekuatan rohani dan dibentuk emosi yang stabil. Suasana rumahtangga yang ceria lagi harmonis dan suasana sekolah yang selesa berteraskan konsep masyarakat penyayang adalah penentu kepada pembinaan rohani yang kukuh dan pembentukan emosi yang stabil. Ibu bapa dan guru-guru seharusnya berkerjasama dan saling melengkapi peranan dalam usaha melahirkan generasi bermoral lagi prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Program bercorak keagamaan dan keinsanan yang luhur harus dilaksanakan bersama di samping sentiasa bermuhasabah bagi melihat keberkesanan sesuatu program yang dilaksanakan.
- Anak-anak yang hadir pada hari ini mempunyai bakat dan kebolehan yang setanding dengan anak-anak diserata dunia lain. Untuk itu segala peluang dan kemudahan perlu disediakan dan dipermudahkan kepada mereka untuk membolehkan mereka sampai ke puncak kejayaan. Prasarana dan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan hendaklah diterokai potensi sepenuhnya. Anak-anak hendaklah dibantu dan dibimbing untuk dapat menerokai potensi dalam semua bidang.
9. Semoga dengan adanya kemudahan fizikal yang lebih baik dan dengan kesungguhan para guru di sekolah ini, diperkukuhkan dengan komitmen ibu bapa, sekolah ini akan dapat menjadi satu taman pendidikan yang mengasuh dan membimbing sumber manusia hingga berpeluang sampai ke tahap cemerlang. Dengan lafaz BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM, Beta dengan sukacitanya merasmikan Sekolah Kebangsaan Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak.
Wabillahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*************************