Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, Ulu Kinta.
3. Apakah faktor yang membawa kita mencapai kata sepakat berhimpun di pagi ini, menyaksikan sebuah bangunan untuk dirasmikan dan diiktiraf sebagai sekolah. Di samping struktur fizikal yang telah didirikan, ia mengandungi sekumpulan insan dewasa yang bergelar guru dan sekumpulan anak-anak yang bergelar murid. Ia mempunyai struktur organisasi, ia diberikan peruntukan kewangan tahunan, ia mempunyai visi dan misi yang perlu dipenuhi, ia mengandungi program dan kerja untuk dilaksanakan; ia akan memungkinkan berlakunya interaksi manusia dewasa dengan yang muda, memungkinkan berlakunya proses memerhati, mendengar, menghayati dan menilai, menyaksikan proses pemberian dan penerimaan, mencipta peristiwa kejayaan dan kecemerlangan – di samping menghadapi pahit kekecewaan dan kehampaan.
4. Pada institusi yang bernama sekolah ini, ibu bapa meletakkan kepercayaan, menyerahkan anak-anak untuk diberikan bimbingan, disemaikan benih pengetahuan, disiramkan dengan nilai kehidupan. Sekolah itu laksana makmal eksperimental manusia, ada kalanya dilaksanakan dengan formula yang terlalu mudah, terlalu berstruktur, terlalu standard, terlalu ketat, terlalu berpandu, sedangkan spesimen manusia itu diciptakan tuhan dengan pelbagai kompleksiti.
5. Setiap anak memiliki bakat – memiliki potensi. Di usia anak-anak belum bersekolah, pemikiran mereka dapat belayar bebas dalam lautan kehidupan harian yang amat luas. Proses pembelajaran berlaku secara natural – secara eksperimental, melalui deria lihat, deria dengar, deria bau, deria rasa dan deria sentuh; lalu mereka mengenal pasti pelbagai bakat, mendalami kecenderungan masing-masing, senantiasa bersifat ingin tahu lalu berani bertanya. Berlakunya toleransi yang amat tinggi terhadap kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan; dan sepanjang perjalanan tersebut mereka diberikan motivasi, secara sabar mereka diajar bertutur sepatah demi sepatah, dibimbing berjalan selangkah demi selangkah. Mereka dengan itu tidak malu dan tidak takut melakukan kesilapan kerana pada setiap kali berlakunya kesilapan, mereka merasakan mereka sebenarnya telah lebih hampir kepada penemuan melakukan yang betul. Setiap kali mereka terjatuh, menambahkan hasrat mereka untuk bangun semula, hingga akhirnya mereka berupaya berdiri, berjalan dan kemudian berlari lantas melompat.
6. Ke manakah tenggelamnya sifat berani meneroka ini di kalangan majoriti anak-anak setelah berada di bangunan yang bernama sekolah; dan setelah melalui sistem pendidikan yang hanya menjurus kepada satu kriteria penilaian yang tidak mengizinkan pelbagai bakat dapat berkembang. Apakah nasib kepada segelintir ‘genius’ – apakah nasib kepada sekumpulan seniman yang tidak bersedia menelan bulat-bulat atau conform kepada satu sistem yang disifatkan terlalu rigid. Inilah peringkat yang memberikan cabaran paling besar kepada pendidik dan perancangan pendidikan.
7. Kini warga di negara ini sedang mengikuti satu perbincangan penting berhubung kaedah penilaian pelajar yang dicadang untuk dikaji semula. Di peringkat penggubal dasar, telah ada hasrat untuk menerokai formula yang difikirkan dapat membantu melahirkan barisan warga muda yang lebih inovatif dan lebih kreatif, membenarkan berlakunya perkembangan pemikiran lateral serta mengiktiraf bahawa anak-anak mempunyai pelbagai minat dan memiliki pelbagai bakat. Minat dan bakat tersebut kini diakui wajib dibantu pertumbuhannya. Pemikiran tersebut sangatlah bertepatan. Sekolah hendaklah menjadi tapak semaian yang membolehkan semua pohon dapat membesar dan semua bakat dapat berkembang.
8. Dalam hasrat negara mahu melakukan pembaharuan ini, amatlah penting untuk diambil pengajaran dari kesilapan masa lalu supaya pisang tidak berbuah dua kali. Beberapa tahun yang lalu, hasrat untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan warga Malaysia adalah hasrat yang betul. Namun apabila hasrat yang betul tidak dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan tidak disusuli dengan persiapan yang lengkap, maka berlakulah percanggahan yang membawa kepada penentangan. Akibatnya niat yang baik tidak diterima, menemui kegagalan dan kemudiannya terpaksa dibatalkan. Pengalaman gagal melaksanakan program pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris adalah satu contoh yang harus dijadikan pengajaran besar. Bagaimana mungkin hasrat tersebut dapat dicapai jika tenaga pengajar sendiri tidak mempunyai pengalaman, kekuatan dan penguasaan untuk dapat melaksanakannya secara yang meyakinkan lalu menjadi penghalang utama di peringkat pelaksanaan.
9. Pelajar yang inovatif, kreatif dan berfikiran lateral tidak mungkin dapat dicanai di bawah asuhan tenaga pengajar yang tidak berfikiran demikian, tenaga pengajar yang tidak berfikiran terbuka, tenaga pengajar yang regimented dan tenaga pengajar yang telah melalui proses belajar dan mengajar yang terlalu rigid dan terlalu berstruktur sebelum ini. Perancangan yang rapi adalah penting sementara pelaksanaan pula biarlah dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya terlalu terburu-buru. Anak-anak dan ibu bapa wajib dilindungi dari menjadi mangsa kepada perancangan yang kurang masak dan tenaga pelaksanaan yang kurang lengkap. Biarlah kita bersedia mengamalkan semangat berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak, sikit-sikit dahulu akhirnya menjadi bukit.
10. Program pelajaran anak-anak adalah terlalu penting untuk membolehkan kesilapan berlaku. Satu kesilapan di peringkat atas akan menjejaskan ribuan insan di peringkat bawah. Biasanya, yang menerima casualty atau yang menjadi mangsa utama adalah golongan rakyat berpendapatan rendah yang meletakkan sepenuh harapan serta setinggi kepercayaan kepada kerajaan. Kepentingan mereka dan masa hadapan anak-anak mereka wajib dilindungi setiap masa.
11. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala senantiasa memberikan petunjuk dan hidayah dalam usaha untuk memajukan warga melalui program pendidikan negara. Semoga program pendidikan negara akan terus dimantapkan untuk membangunkan sumber insan bertaraf dunia. Semoga di bangunan sekolah ini nanti akan berkembang pelbagai bakat, akan lahir barisan teknokrat, seniman, olahragawan, pemimpin – barisan wira-wira bangsa untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, makmur, aman dan sejahtera.
12. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak Darul Ridzuan.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*************