Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Seri Samudera.

3. Sekolah adalah institusi sosial negara, diamanahkan dengan peranan penting untuk membangunkan barisan warga yang berpengetahuan, berdisiplin, bertanggung jawab dan bersatu padu. Dalam konteks negara kita, peranan penting sekolah telah dikenal pasti menjelang negara mencapai kemerdekaan. Penyata Razak 1956, adalah satu penyata komprehensif yang menggariskan dasar pendidikan ke arah membangunkan sebuah negara merdeka lagi berdaulat dengan warga yang bersatu padu. Sekolah dikenal pasti berperanan sebagai platform terbaik untuk memupuk perpaduan warga. Sistem persekolahan yang digariskan di dalam Penyata Razak telah dirumuskan, hasil dari persepakatan yang dicapai secara rundingan dan konsultasi di antara pemimpin yang mewakili pelbagai kaum di negara ini. Matlamat memupuk perpaduan warga melalui sistem persekolahan wajib difahami, diberikan sokongan dan mendapat apresiasi dari setiap lapisan warga. Matlamat tersebut wajib sama-sama didukung oleh semua pihak agar wawasan nasional untuk membina masyarakat yang bersatu padu akan tercapai.

4. Penerimaan positif pelbagai komposisi masyarakat di Persekutuan Tanah Melayu, diikuti kemudiannya oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak, mengadaptasi agenda pendidikan nasional ketika negara mencapai kemerdekaan dan selanjutnya ketika Malaysia baru ditubuhkan, adalah jambatan paling penting yang telah menyatukan minda anak-anak dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Lalu tergabung semangat kenegaraan kepada sebuah negara merdeka, lalu terbina roh ketaatsetiaan kepada Raja Pemerintah yang berdaulat, berlambangkan institusi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

5. Kebijaksanaan di peringkat penggubalan dasar demikian pula ketegasan dan kesungguhan di peringkat pelaksanaan oleh para teknokrat pendidikan, telah membuahkan hasil yang meyakinkan, lalu terbina di negara muda ini, satu rumpun warga yang semakin bersatu – bersama dan berpadu menghadapi pelbagai cabaran – bersama dan berpadu membangunkan sebuah negara merdeka yang berdaulat lagi makmur. Sekolah laksana taman asuhan, menyediakan ruang – membuka peluang kepada anak-anak berinteraksi, merentasi sempadan agama – merentasi sempadan kaum. Di samping anak-anak dibimbing secara langsung mengenal huruf – mengenal angka, anak-anak turut dijalinkan dengan semangat persaudaraan dan hubungan kemesraan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, dan secara natural memadamkan sebarang prasangka negatif terhadap insan lain yang berlatar belakangkan agama dan kaum yang berbeza. Sesungguhnya, sistem pendidikan nasional berteraskan Laporan Razak amat luas wawasannya – sangat tepat matlamatnya. Sekolah di bawah tadbiran langsung Kementerian Pelajaran ketika itu, telah berjaya mencapai tahap pengiktirafan sebagai sekolah premier, sekolah pilihan pertama di kalangan majoriti warga. Sesungguhnya program pendidikan nasional di peringkat awal negara mencapai kemerdekaan telah berada di menara kejayaan, mendapat keyakinan – mendapat sokongan, merealisasikan secara berkesan impian, hasrat dan wawasan yang terkandung di dalam Laporan Razak.

6. Pada pertengahan tahun enam puluhan dan awal tahun tujuh puluhan, Beta sendiri turut melalui alam persekolahan peringkat rendah dan menengah rendah di sekolah yang terletak di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran. Pengalaman persekolahan yang amat Beta hargai, pengalaman persekolahan yang telah membantu memperkayakan nilai sosial dan nilai kemanusiaan di dalam diri Beta. Betapa Beta alami suasana harmoni, dalam alam sekolah yang murid, guru, tenaga pentadbir dan staf sokongan, merangkumi operator di kantin sekolah yang terdiri dari warga pelbagai kaum dan pelbagai agama; betapa sekolah ketika itu, kaya dengan pelbagai aktiviti kokurikulum yang terbuka lagi liberal, tidak mempamerkan sifat dominan mana-mana kaum atau mana-mana agama, malah memperimbangkan keperluan dan sensitiviti pelbagai kumpulan etnik dan kumpulan agama. Betapa interaksi harian di alam sekolah yang dialami oleh anak pelajar ketika itu telah berjaya menjalinkan silaturahim dan hubungan harmoni lagi mesra di kalangan warga Malaysia yang pelbagai kaum dan pelbagai agama.

7. Demikian mutiara berharga yang pada satu masa dahulu, terdapat di dasar lautan falsafah pendidikan negara. Di mana hilangnya mutiara berharga tersebut? Mengapakah mutiara berharga itu dibenarkan tertimbus? Jika ia masih belum hilang, jika ia sekadar tertimbus atau jika ia sekadar di bawa arus politiking yang keterlaluan, maka mutiara berharga itu perlu dikembalikan, supaya kekal berada di dasar sistem persekolahan nasional.

8. Peranan sekolah sebagai platform menyatupadukan warga amat kritikal untuk dipenuhi. Ia bukannya satu opsyen. Ia satu kewajipan – ia satu kemestian untuk dipenuhi. Sekolah hendaklah menjadi taman larangan kepada sebarang politiking. Sekolah adalah tapak semaian memastikan benih-benih diberikan ruang untuk dapat tumbuh segar dan dilindungi dari menjadi mangsa kepada eksperimen dan permainan politik. Kerana itu semua pihak perlu menghormati batas sempadan penglibatan, perlu menjauhkan diri dari campur tangan yang keterlaluan, semoga menjamin tidak berlakunya pencerobohan dalam perkara-perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga akibatnya anak-anak di sekolah menjadi mangsa, dan hasrat untuk membina warga yang bersatu tidak akan tercapai.

9. Keghairahan keterlaluan mana-mana pihak untuk menjaguhi isu-isu pendidikan jangan sampai ke peringkat meletakkan negara pada masa hadapan berakhir dengan senario ‘Satu Negara – Pelbagai Warga’. Agenda pendidikan nasional perlu dicanai untuk mencapai matlamat berjaya menyatukan pelbagai kaum, hidup rukun dalam semangat ‘Satu Negara – Satu Warga’, selaras dengan semangat Satu Malaysia. Membina satu warga, tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, tidak bermakna menghapuskan mana-mana budaya, tidak bermakna menghapuskan mana-mana agama, tidak bermakna menghapuskan mana-mana bahasa. Malah kepelbagaian itu telah diterima sebagai aset bernilai di bumi ini, yang mahu dicapai adalah membina penyatuan dalam kepelbagaian.

10. Alam sekolah hendaklah mencerminkan realiti sebenar di dalam negara. Bumi Malaysia ini tidak menghalang kepada perkembangan pelbagai budaya, agama dan bahasa selaras dengan semangat yang tersurat dan tersirat di dalam Perlembagaan Negara. Wawasan menyatukan warga hendaklah dijadikan wawasan bersama, wawasan yang didukung oleh kesemua kumpulan politik tanpa mengira berada di sebelah mana, wawasan yang menjadi tanggung jawab untuk direalisasikan oleh kesemua pemimpin kaum dan kesemua pemimpin agama; dan semua pihak wajib membantu memastikan sistem persekolahan berjaya memenuhi misi membina perpaduan kaum dalam semangat “Satu Negara – Satu Warga”. Demi masa hadapan negara dan warga, semangat membina “Satu Negara – Satu Warga” ini wajib dihayati sepenuhnya dan direalisasikan dalam setiap bilik darjah – dalam setiap kawasan sekolah.

11. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan segala petunjuk dan hikmah kepada setiap warga pendidik berjaya menyempurnakan amanah melahirkan anak didik yang berpengetahuan, berdisiplin, bertanggung jawab dan bersatu padu.

12. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan rasa penuh kesyukuran, merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung.

Wabillahi taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum, Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

%d bloggers like this: