Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor

Salam Sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi, Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, pada pagi ini.

3. Ukuran kemajuan sesebuah negara diasaskan kepada beberapa kriteria. Sumber manusia merupakan salah satu kriteria penting, bukan sahaja dinilai dari aspek kekayaan intelek yang dimiliki oleh setiap individu, malah dari segi sumbangan individu kepada negara dan maya secara produktif, relevan, konstruktif dan kreatif.

4. Sekolah merupakan institusi formal yang dibangunkan oleh negara, berfungsi sebagai taman asuhan untuk membangunkan sumber manusia. Sistem persekolahan di negara ini, menetapkan anak-anak yang mencapai usia tujuh tahun didaftarkan untuk melalui proses pembelajaran mengikut acuan kurikulum yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Setiap pelajar di alam sekolah perlu melalui proses yang telah digariskan; begitu juga penilaian pencapaian pelajar diukur melalui mekanisme peperiksaan yang ditetapkan di peringkat sentral. Inilah doktrin pendidikan yang telah diterima pakai untuk sekian lamanya. Doktrin pendidikan sedemikian telah memperlihatkan rekod kejayaan dan rekod pencapaian, menghasilkan pelajar cemerlang tetapi pada masa yang sama memperlihatkan juga ramai bilangan pelajar yang gagal melepasi palang ukuran penilaian yang ditetapkan.

5. Pelajar yang gagal melepasi tanda aras melalui mekanisme peperiksaan yang sedemikian menghadapi dilema, ibu bapa merasa kecewa, sementara guru-guru tidak terlepas dari dipersalahkan oleh institusi, pegawai atasan dan ibu bapa; hingga terlepas pandang bahawa guru yang sama, telah menghasilkan pelajar-pelajar yang berjaya melepasi palang ujian hatta ada yang mencapai tahap kecemerlangan.

6. Bahawa aspek realiti telah dilupakan dalam penilaian terhadap manusia, penilaian terhadap guru, demikian juga penilaian terhadap sekolah. Bahawa manusia itu adalah insan yang dijadikan dengan kepelbagaian. Kepelbagaian dari segi fizikal, bakat, minat dan minda. Sesungguhnya setiap insan itu ada kekuatan dan diciptakan ILAHI untuk memenuhi keperluan hidup dan keperluan alam yang pelbagai. Oleh yang demikian kaedah yang terlalu di kawal di peringkat pusat, kaedah yang terlalu ketat, kaedah yang terlalu seragam, mungkin tidak lagi sesuai dalam era pendidikan semasa. Era pendidikan semasa memerlukan kaedah yang lebih fleksibel dan pendekatan yang lebih lateral.

7. Kenyataan-kenyataan yang dilaporkan di muka-muka akhbar kebelakangan ini, memperlihatkan telah ada rencana untuk negara mengamalkan sifat lebih liberal, lebih terbuka dan lebih fleksibel dalam melaksanakan program pendidikan. Sekolah-sekolah dilaporkan akan diberikan autonomi. Kaedah serta pendekatan pembelajaran dan penilaian akan disesuaikan dengan keadaan setempat sementara aspek-aspek kreativiti akan digalakkan.

8. Ini merupakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan, satu pembaharuan – satu reformasi pendidikan untuk menghasilkan orde baru pendidikan. Orde baru pendidikan adalah satu perkembangan yang wajar dialu-alukan. Lebih cepat kenyataan-kenyataan dasar ini diterjemahkan kepada tindakan, akan lebih awal warga di negara ini, terutama generasi muda mendapat faedah dan manfaatnya. Orde baru pendidikan yang sedang aktif digerakkan itu haruslah diberikan sokongan. Ia hendaklah dianggap sebagai langkah penghijrahan yang berani dalam kaedah merealisasikan wawasan pendidikan negara. Sesungguhnya bangsa yang berani melakukan hijrah, bangsa yang bersedia melakukan pembaharuan akan dapat membawa negara bangsanya mencapai puncak kejayaan dan mercu kemajuan yang lebih tinggi.

9. Para guru dan ibu bapa, institusi sekolah dan institusi pendidikan, negara dan bangsa hendaklah memperlihatkan keberanian – hendaklah mempamerkan kesediaan, melakukan lonjakan perubahan minda – melaksanakan penghijrahan budaya. Semoga warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor merupakan antara warga yang akan memperlihatkan sikap dan sifat keberanian menerima dan membawa perubahan.

10. Dengan kata-kata tersebut, dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, Perak.

Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*******************

%d bloggers like this: