Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan, Trong, Taiping

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan, Trong, Taiping.

3. Pendidikan terbukti telah berjaya memperkayakan minda insan dan membina tamadun negara bangsa. Pendidikan akan terus berperanan penting untuk melonjak kecemerlangan warga dan kemajuan negara. Pendidikan, terbukti sebagai program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya dalam memenuhi matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur masyarakat.

4. Peranan institusi sekolah lebih luas dari sekadar mencelik huruf. Peranan sekolah lebih penting dari sekadar mengajar anak boleh membaca, menulis dan mengira. Peranan lebih luas, peranan lebih penting sekolah, dikhuatirkan semakin dipinggirkan dalam obsesi untuk memenuhi pencapaian kecemerlangan akademik. Sekolah tidak harus terlepas pandang akan dua komponen utama yang sangat penting dalam usaha untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang maju lagi bersatu.

5. Pertama: membina sahsiah murid. Wawasan mencapai taraf negara maju tidak mungkin dicapai jika negara dihuni oleh majoriti warga yang lemah nilai sivik, bersifat mementingkan diri sendiri, tidak amanah – tidak jujur; di samping tidak mengamalkan budi bahasa dan santun pekerti yang mulia. Dibimbangkan sasaran untuk semata-mata mencapai markah tinggi peperiksaan berpotensi mencetuskan budaya perlumbaan tidak sihat, hingga memungkinkan berlakunya amalan-amalan bernilai negatif. Disiplin adalah aspek yang perlu disemai di kalangan anak-anak di alam persekolahan; bermula dari sekecil-kecil perbuatan seperti menjaga kebersihan, membuang sampah, menghargai alam sekitar, mematuhi peraturan serta menghormati guru.

6. Kedua: membina perpaduan warga. Warga di negara ini terdiri dari pelbagai kumpulan agama, kaum dan budaya. Pemikiran warga wajib dicanai hingga tidak merasa janggal untuk merentasi sempadan agama, kaum dan budaya dalam menjalinkan hubungan kerjasama. Perlu ada satu denominator yang membolehkan perpaduan dapat dijalinkan; perlu diterokai elemen penyatuan dalam kepelbagaian, hingga memungkinkan warga mudah berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain. Program-program berunsur perayaan untuk memupuk perpaduan artifisial sifatnya, tanpa elemen yang membolehkan interaksi dan komunikasi berlangsung secara natural. Peranan bahasa perantaraan yang sama, lingua franca amatlah penting dan tidak harus dipandang kecil.

7. Peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa yang dapat dijadikan instrumen perpaduan, sering kali disalah ertikan, malah ada kalanya dipilih untuk dipolitikkan. Menguasai bahasa kebangsaan yang sama, tidak bermakna menidakkan hak penggunaan bahasa-bahasa lain. Negara ini telah memperlihatkan amalan dasar pendidikan yang semakin liberal. Sebagai sebuah negara yang kecil, Malaysia memiliki aliran pendidikan yang begitu pelbagai, baik di peringkat sekolah begitu juga di peringkat pengajian tinggi. Kepelbagaian tersebut, jangan sampai menjadi faktor yang semakin memisahkan warga. Para pendidik, begitu juga pelbagai institusi pendidikan, perlu sama-sama memikirkan elemen perpaduan yang sama sekali tidak boleh dikorbankan. Setiap institusi pendidikan, ada tanggung jawab, memastikan semangat satu negara – satu warga, tidak tergelincir dari landasan ke arah membina sebuah negara bangsa yang cekal berpadu – kukuh bersatu.

8. Usaha memformulasikan perpaduan hendaklah merentasi fahaman-fahaman agama, kaum dan budaya, malah hendaklah turut merentasi kumpulan politik. Usaha membina perpaduan negara hendaklah dijadikan agenda bersama apatah lagi dalam hasrat membina iklim demokrasi yang lebih liberal, terbuka dan sihat.

9. Sahsiah insan dan perpaduan warga adalah komponen penting untuk memastikan kelangsungan sebuah negara yang bertamadun dan kukuh bersatu. Oleh itu, aspek membina sahsiah insan dan aspek menyemaikan semangat perpaduan di kalangan warga, hendaklah dijadikan komponen utama dalam menentukan sasaran pencapaian pendidikan negara; dan sewajarnya turut dijadikan komponen ketika menilai Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index) pencapaian sekolah.

10. Semoga Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan akan menjadi tapak semaian dan taman pendidikan yang dirimbun dengan pelbagai pepohon segar lagi sihat, dengan keanekaan warna yang saling harmoni. Semoga segala usaha, komitmen, kesabaran, ketekunan serta pengorbanan para guru, dihargai oleh masyarakat setempat; dan semoga segala jasa bakti tersebut dianugerahkan keberkatan dunia dan diterima sebagai amal makruf untuk bekalan di akhirat.

11. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan, Trong, Taiping.

Wabillahi taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum, Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: