Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan pencipta sekalian makhluk manusia, dan mengajar manusia melalui kalam; Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
Menghadap Seri Paduka Kakanda
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,
Tuanku Canselor, Universiti Sains Malaysia.
Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.
- Dengan segala kerendahan diri, patik merafakkan sembah menghadap Seri Paduka Kakanda dengan penuh kesyukuran bahawa negara Malaysia, di bawah payung naungan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, berada dalam keadaan aman dan selamat, makmur dan sejahtera. Semoga Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, dikurniakan segala daulat dan kebesaran, memenuhi peranan payung negara, menyempurnakan tugas secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, berpandukan petunjuk ILAHI, menaungi warga, menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup dalam keadaan selamat lagi sentosa. Amin, Ya Rabul Alamin.
- Patik bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, patik turut dapat berangkat, ke kampus Universiti Sains Malaysia, berpeluang menyaksikan acara bersejarah, Pemasyhuran Ulang Tahun kesepuluh, Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia. Dengan izin dari ILAHI juga, telah Seri Paduka Tuanku Canselor sempurnakan sebentar tadi. Sesungguhnya Universiti Sains Malaysia, di bawah payung naungan dan dengan kebesaran daulat Tuanku, telah mencipta nama yang membanggakan negara dan warga Malaysia, berada di tangga ke 111 dalam susunan 200 universiti terkemuka dunia.
- Sebentar lagi Seri Paduka Tuanku akan melancarkan buku ‘The Perak Man and Other Prehistoric Skeletons of Malaysia´, terbitan Universiti Sains Malaysia. Dengan limpah perkenan Tuanku jua, patik diberikan pengiktirafan menzahirkan titah bicara, bersempena acara bersejarah ini. Patik menjunjung kasih yang setinggi-tingginya atas limpah perkenan Tuanku itu.
- ‘The Perak Man And Other Prehistoric Skeletons of Malaysia’ merupakan penerbitan yang menggabungkan hasil penyelidikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang disiplin dari dalam dan luar negara. Penerbitan ini, membolehkan generasi hari ini dapat lebih memahami alam hidup yang dilalui oleh manusia di zaman pra sejarah. Buku ini mengandungi dua puluh satu bab; setiap bab menghuraikan analisis terperinci tulang rangka di zaman pra sejarah yang berjaya ditemui di Malaysia. Sehingga ini, sebanyak lebih tiga ratus tulang rangka telah ditemui di Gua Gunung Runtuh, Gua Teluk Kelawar, Gua Kajang dan Gua Harimau di Lenggong, Perak; Gua Niah, Gua Balambangan dan Melanta Tutup di Malaysia Timur; Gua Cha dan Gua Peraling di Kelantan; dan Guar Kepah di Kedah. Di samping tulang rangka, para penyelidik turut menemui pelbagai bahan dan peralatan lain yang membantu usaha-usaha kajian arkeologi.
- Perilaku budaya yang terdapat di era pra sejarah, dari segi mengurus kehidupan dan membina tamadun serta proses evolusi perkembangannya telah dianalisis secara halus, teliti dan terperinci melalui pelbagai disiplin dan pendekatan pengkajian. Kajian terhadap penemuan dari tapak-tapak arkeologi memberikan peluang untuk generasi hari ini dan generasi masa hadapan, memahami secara lebih dekat alam kehidupan masa lalu. Penemuan dari kajian seperti ini, laksana anak kunci, membuka pintu pemikiran, untuk manusia di hari ini berupaya mengenali penghidupan di masa lalu. Bahawa proses budaya dan pembinaan tamadun manusia itu telah melalui satu perjalanan yang begitu jauh lagi panjang.
- Penemuan tapak-tapak arkeologi, sama ada di bandar atau di desa, di darat atau di air, di medan peperangan atau di penempatan purba, membantu menghubungkan penghidupan masa lalu dengan penghidupan hari ini. Bahawa penghidupan itu adalah satu penerusan – satu kesinambungan, memperlihatkan betapa kompleks, betapa saling berkait dan betapa terhubungnya penghidupan itu di antara satu sama lain. Bahawa penghidupan adalah proses yang berterusan dan berpanjangan, tidak statik, malah berubah dan terus berubah. Bahawa pemodenan itu sendiri adalah sesuatu yang relatif dan subjektif. Kecanggihan teknologi telah membawa pelbagai inovasi dan reka cipta baru yang mempengaruhi pola, budaya dan tamadun hidup manusia. Kecanggihan teknologi telah mempercepatkan tahap pecutan pemodenan. Apa yang dianggap moden begitu cepat menjadi kuno. Apa yang disifatkan sebagai semasa begitu pantas menjadi sejarah.
- Perkembangan teknologi yang semakin canggih telah mengupayakan kajian lebih saintifik lagi spesifik dapat dilakukan untuk memberikan satu kefahaman secara lebih tepat kepada peristiwa masa lalu. Kecanggihan teknologi mengupayakan manusia di hari ini memahami peristiwa masa lampau meski telah beratus ribu tahun berlalu. Kecanggihan teknologi juga dapat membantu manusia menghadapi cabaran semasa dan mempersiapkan diri untuk menghadapi dugaan masa hadapan.
- Segalanya hendaklah menjadi peringatan kepada manusia. Bahawa apa jua yang dilakukan pada hari ini, tidak terlepas dari menjadi bahan kajian di hari muka. Dengan penciptaan pelbagai teknologi canggih, arkib kehidupan manusia di hari ini menjadi lebih kaya dengan sistem pendokumentasian yang lebih teratur dan urusan penyimpanan rekod yang lebih terjamin. ‘Manusia mati meninggalkan nama’; manusia memiliki opsyen untuk meninggalkan nama yang harum supaya dikenang baik di hari muka. Sementara hayat di kandung badan, manusia di hari ini perlulah berusaha mencipta nama – membina tamadun yang dapat menjamin kesinambungan kehidupan yang lebih sejahtera. Supaya di satu hari nanti, bahan arkib dan bahan arkeologi yang terkandung dan dikaji di era kehidupan hari ini, merupakan bahan yang menjadikan generasi akan datang berterima kasih kepada generasi hari ini; dan mereka kelak berbangga kerana berakar dari rumpun bangsa yang berjaya membina tamadun yang agung.
Ampun Tuanku,
- Archaeology in Malaysia would not have grown to achieve the dynamism it commands today and neither will most of the material in this book be possible without the foresight, dedication and hard work of Dato’ Professor Zuraina Majid. She has devoted decades of her life to enriching the knowledge of prehistoric Malaysia and to grooming new generations of home-grown but world-class archaeologists. There is no one more fitting to make possible the publication of this book.
- As a young archaeologist in the nineteen seventies, Dato’ Professor Zuraina Majid resolved to make Malaysian archaeology her mission. In carrying out this mission, she has greatly impacted the world archaeology scene by dispelling views that Malaysia had only a young past with its oldest site going back just some 8000 years. On the contrary she proved that Kota Tampan in Perak had been inhabited from as early as 74,000 years ago. This discovery, and the subsequent discovery of Bukit Jawa, extended the knowledge of prehistory in Malaysia to approximately 200,000 years ago, drawing the attention of experts from around the world.
- Rejecting the previously-held belief that Southeast Asia was the quiet and uneventful “backwaters of civilization” – cut off from the mainstream of activity and development, Dato’ Professor Zuraina Majid was determined to prove otherwise. Her excavations evidenced that Ulu Perak was in fact the missing piece of the puzzle in the migration trail of man from Africa to Australia. Thanks to her work, the world is now aware that Ulu Perak was one of the few significant populated areas in the Southeast Asian region during the middle and late Pleistocene epoch. — The world is now informed that Malaysia is in fact a nation with a rich and very deep past.
- I recall one momentous discovery 15 years ago – the discovery of a remarkable prehistoric human skeleton in Gua Gunung Runtuh in the Lenggong Valley. It was the oldest and most complete skeleton discovered among those of Malaysian early-dwellers, believed to have lived around eleven thousand years ago. Dato’ Professor Zuraina Majid and I exchanged ideas on naming this skeleton. Due to the location of the discovery, we both agreed that it would be most appropriate to call him the Perak Man. This name has since been carried far and wide and I am privileged and honoured to have been asked to participate in this naming process.
- Dato’ Professor Zuraina Majid and the contributors to this book have worked together to make it possible for the public to learn a tremendous amount from the excavation and analysis of these sites and skeletons. It is evident however that their work also reaches beyond its scientific and humanistic aspects. It is clearly a passion. Perhaps the root of this passion can be better understood by the layman upon reflecting on the question: What knowledge could be more significant than knowledge about our past, our society and finally ourselves?
Ampun Tuanku,
- Penerbitan ini adalah satu karya besar. Karya yang dapat menambahkan khazanah ilmu khususnya di bidang arkeologi. Karya yang memberi kebanggaan kepada Universiti, kepada warga, kepada negara. Dunia ilmu wajiblah berterima kasih kepada setiap penyelidik yang telah bergabung usaha menghasilkan karya besar ini. Dunia ilmu juga perlu berterima kasih kepada Universiti Sains Malaysia, sebagai tenaga pendorong kepada penghasilan penyelidikan dan usaha penerbitan ini.
- Patik disembah maklumkan, bahawa tempoh perkhidmatan Dato’ Profesor Zuraina akan berakhir. Harapan patik, kegiatan keilmuan pacal Tuanku itu tidak akan berakhir dengan hari persaraannya. Patik percaya, dunia ilmu masih memerlukan peranan pacal Tuanku itu. Gedung pengalaman dan khazanah pengetahuan pacal Tuanku itu, tidak harus dibiarkan tersimpan. Pada hemat patik yang kurang arif ini, Dato’ Profesor Zuraina adalah aset kepada negara bangsanya.
- Amatlah bertepatan, usaha pacal Tuanku itu, menghasilkan penerbitan yang sebegini tinggi kualitinya, mendapat penghormatan dan kemuliaan, dilancarkan oleh Seri Paduka Tuanku.
Ampun Tuanku,
- Sekianlah adanya bicara patik yang tidak sepertinya; dalam bahasa yang kurang teratur – dalam pemikiran yang masih kerdil. Patik sekali lagi menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kerana diberikan penghormatan, mendapat limpah perkenan menzahirkan bicara di Majlis Seri Paduka Tuanku.
- Patik mendoakan semoga Seri Paduka Tuanku senantiasa berada dalam keafiatan – mendapat lindungan dan petunjuk ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan dengan penuh keberkatan, fid-dunia wal-akhirat.
Wabillahi taufik, walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
5hb. Ogos 2005