Majlis Ramah Mesra Menjelang Tahun Baru Cina

Assalamualaikum

Salam Sejahtera.

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Ramah Mesra Menjelang Tahun Baru Cina pada petang ini. Pada hemat Beta, Majlis ini mencerminkan empat perkara:

2. Pertama: ia memperlihatkan negara dan warga Malaysia mengiktiraf kehadiran pelbagai budaya. Tarikh satu (1) Januari 2007, disambut oleh warga Malaysia sebagai kedatangan Tahun Baru Masihi. Pada dua puluh (20) Januari, umat Islam menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah. Pada satu (1) Februari, warga beragama Hindu merayakan Thaipusam, dan pada Lapan Belas (18) Februari nanti warga berketurunan Cina akan menyambut Tahun Baru Cina. Demikian sambutan perayaan pelbagai agama, kaum dan budaya yang berlangsung dalam suasana harmonis di bumi Malaysia. Setiap perayaan disambut dan dirayakan secara bebas lagi terbuka, malah turut diraikan secara bersama dan dihormati oleh warga dari agama, kaum dan budaya yang lain.

3. Kedua: Warga tua, anak yatim, warga kurang upaya dan kumpulan berpendapatan rendah tetap berada dalam ingatan, dan diberikan perhatian terutama pada hari-hari perayaan agama dan budaya; memperlihatkan tersemainya budaya penyayang dan perasaan kemanusiaan yang tinggi di kalangan warga di negara ini.

4. Ketiga: Pelbagai organisasi, institusi dan individu senantiasa bersedia menawarkan bantuan terhadap mereka yang kurang bernasib baik, demikian juga kesediaan menghulurkan pertolongan untuk meringankan tanggungan ketika ada anggota masyarakat menghadapi bencana kesusahan.

5. Keempat: Negara melihat kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai aset yang membantu memperkayakan kandungan perisian negara melalui dasar serta program ke arah memastikan perpaduan antara warga terus diperkukuhkan dan amalan kebajikan di kalangan warga terus diperbanyakkan.

6. Negara kini melangkah ke usia lima puluh tahun mencapai kemerdekaan dan dihormati sebagai sebuah negara yang memperlihatkan kemajuan ekonomi secara pesat serta ditadbir urus oleh kerajaan yang stabil secara politik. Perpaduan rakyat berperanan penting membantu proses mengekalkan kestabilan politik hingga sumber negara dapat ditumpukan ke arah mempergiatkan pertumbuhan ekonomi. Penyatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) benar-benar berlaku, merupakan satu realiti, menterjemahkan impian kepada kenyataan. Ini adalah satu pencapaian yang perlu dihargai. Inilah keistimewaan – inilah keunikan negara Malaysia.

7. Perpaduan rakyat dan keamanan negara adalah satu hadiah amat bernilai kepada negara. Kerana itu, Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, amat menekankan aspek perpaduan dan keamanan sebagai komponen yang amat penting dipelihara untuk mengekalkan kedaulatan dan kemakmuran sesebuah negara. Baginda senantiasa memberikan perhatian dan menzahirkan kebimbangan terhadap percakapan dan perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keamanan. Sebagai Raja Pemerintah yang bertakhta di Singgahsana Kerajaan yang rakyat Baginda terdiri dari pelbagai agama, kaum dan budaya, Baginda amat menekankan aspek keadilan dan kesaksamaan dan sama sekali tidak merestui sebarang perkataan dan tindakan berunsur penindasan dan berbentuk pengetepian hak kepada mana-mana rakyat Baginda. Adalah menjadi prinsip pegangan Baginda bahawa setiap rakyat diberikan hak secara adil serta diberikan layanan secara saksama.

8. Pada hemat Beta prinsip pegangan Paduka Seri Sultan itu perlu dihayati. Sifat menghormati antara agama perlu diamalkan Hubungan antara kaum amatlah penting dipererat. Perbezaan antara budaya perlu difahami dan diterima. Nilai-nilai sejagat yang terkandung di antara agama, kaum dan budaya perlu dijadikan jambatan penghubung untuk meningkatkan persefahaman ke arah membina perpaduan warga yang lebih kukuh. Perasaan kemanusiaan dan ihsan yang tinggi hendaklah terus dipupuk dengan meneruskan usaha membela nasib warga yang kurang bernasib baik. Bahawa kemewahan dan kekayaan adalah anugerah Tuhan dan semangat untuk berkongsi kemewahan dan kekayaan adalah satu amalan yang amat murni dilaksanakan.

9. Atas fahaman demikianlah Beta amat menghargai usaha yang dirintis oleh badan-badan dan orang-orang perseorangan menganjurkan Majlis Ramah Mesra Menjelang Tahun Baru Cina pada petang ini. Majlis ini memberi peluang kepada Beta mengenali dan menemui sebahagian dari rakyat Beta khususnya dari kalangan mereka yang berketurunan Cina. Beta amat sukacita disembah maklumkan bahawa Majlis ini dianjurkan atas semangat sukarela, keikhlasan dan kemanusiaan. Usaha sebegini amatlah dialu-alukan. Badan-badan perniagaan, badan-badan bukan kerajaan dan orang-orang perseorangan terutama bagi mereka yang telah diberikan rezeki yang murah hendaklah senantiasa tampil ke hadapan, membantu usaha-usaha negara dan usaha-usaha kerajaan dengan melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan di samping menjadi pemangkin dan penggerak membina perpaduan di kalangan warga.

10. Beta mengucapkan Selamat Tahun Baru. Wishing You a Happy and Prosperous New Year. GONG XI FA CHAI.

****************

%d bloggers like this: