Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia Dan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Persatuan Diabetes Malaysia pada petang ini.
3. Beta mengucapkan tahniah kepada Persatuan Diabetes Malaysia sempena ulangtahun 25 tahun penubuhannya. Dalam tempoh tersebut Persatuan ini telah bergerak aktif menjalankan pelbagai aktiviti merangkumi program pendidikan dan kesedaran, program khidmat nasihat dan kaunseling serta sebaran maklumat mengenai ubat dan peralatan terkini untuk pengetahuan ahli. Di samping membantu para pesakit untuk dapat mengetahui perkembangan semasa mengenai penyakit ini dan rawatan terkini, Persatuan juga menggerakkan pelbagai aktiviti untuk menyedarkan masyarakat umum dalam aspek mengambil langkah-langkah preventif.
4. Bilangan penyakit diabetes dilaporkan telah bertambah dengan kadar yang sangat membimbangkan. Angka pesakit diabetes bukan sahaja meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan malah lebih membimbangkan lagi didapati semakin ramai golongan kanak-kanak dan remaja kini menjadi mangsa pesakit diabetes. Tema kempen yang dipilih, ‘Diabetes di Kalangan Kanak-Kanak dan Remaja’ sempena Hari Diabetes Sedunia memperlihatkan bertapa bertambah seriusnya wabak diabetes di kalangan remaja.
5. Lebih merungsingkan pengidap tidak berakhir dengan penyakit diabetes sahaja. Tanpa pengawasan dan rawatan dan khidmat perubatan yang rapi lagi berkesan, pesakit diabetes akan dengan mudah terdedah kepada risiko menghadapi komplikasi-komplikasi lain seperti sakit jantung, darah tinggi, sakit buah pinggang, buta penglihatan dan berbagai komplikasi kesihatan yang lain.
6. Sebanyak 14% daripada jumlah penduduk dewasa di Malaysia menghidap penyakit diabetes. Ini sangat membimbangkan. Pesakit-pesakit ini ramai terdiri daripada mereka yang bermastautin di kawasan luar bandar dan di kalangan yang berpendidikan rendah. Ramai pesakit di luar bandar terdiri daripada rakyat miskin dan amat memerlukan bantuan pendidikan kesihatan akan kaedah untuk mengawal penyakit dari menjadi lebih bahaya.
7. Negara ketika ini kelihatan menghadapi satu keadaan ketidak seimbangan dari segi perbelanjaan yang diperuntukkan kepada program kesihatan berbanding dengan pulangan hasil dari sudut keberkesanan. Setiap tahun dan dalam setiap Rancangan Lima Tahun Pembangunan Malaysia, peruntukkan kewangan untuk program kesihatan terus bertambah. Prasarana kesihatan dan perubatan demikian juga kaki tangan professional dan separa professional di bidang perubatan dan kesihatan, kelengkapan dan peralatan khidmat rawatan dan khidmat perubatan terus ditambah. Namun wabak penyakit-penyakit membahayakan terus meningkat, berkembang hingga mencecah angka yang semakin sukar ditampung dari segi kemudahan fizikal, peralatan dan pengubatan, demikian juga tenaga pakar, doktor dan paramedik yang dapat disediakan. Sumber kewangan negara untuk perbelanjaan kesihatan dan perubatan terus meningkat melibatkan kos yang semakin tinggi. Keadaan ini tentunya mengalih sumber kewangan negara dari dapat digunakan bagi membiayai perbelanjaan keperluan-keperluan sosial lain yang lebih produktif.
8. Indeks kesihatan warga adalah antara pengukur tahap kemajuan sesebuah negara. Malaysia amat berbangga dengan pencapaian pembangunan prasarana fizikal terbaik. Di rantau ini Malaysia memiliki menara tinggi, lapangan terbang antara yang terbesar, jambatan terpanjang, lebuhraya yang moden, saluran telekomunikasi yang maju dan pelbagai senarai pencapaian yang membanggakan. Kejayaan fizikal ini sangat perlu diimbangkan dengan pembangunan selari komponen perisian, antaranya tahap kesihatan warga dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
- Betapa penting dipastikan bahawa pembangunan prasarana, pembangunan industri, pembangunan ekonomi dan pembangunan komersial tidak perlu dikorbankan dengan kos kesejahteraan hidup dan kos kesihatan rakyat. Adalah janggal dan tempang kepada karakter sesebuah negara apabila berlakunya ketidak seimbangan antara pencapaian positif indeks pertumbuhan ekonomi, indeks pertumbuhan perdagangan, indeks pembangunan prasarana, sedangkan di pihak perisian memperlihatkan indeks negatif dari segi kualiti alam sekitar, pencemaran, kebersihan udara dan air, kesihatan dan kesejahteraan warga. Jika berlaku jurang yang semakin luas di antara dua skop pembangunan antara pembangunan perkakasan dengan pembangunan perisian (hardware and software development), akan tempanglah perjalanan negara kerana berlakunya dualisme yang tidak selari antara dua entiti pembangunan.
10. Untuk itu dalam hasrat mencapai status negara maju, perancangan pembangunan negara tidak lagi wajar ditumpukan dan dibataskan kepada pembangunan fizikal dan penilaian berasaskan semata-mata angka-angka pertumbuhan ekonomi. Kajian impak sosial dan impak politik perlu diintegrasikan dalam pelan induk pembangunan fizikal dan pembangunan ekonomi. Jika impak sosial dan impak politik disisihkan, adalah dibimbangkan negara dan warga perlu membayar kos pembangunan dengan harga sosial dan harga politik yang tinggi .
11. Untuk itu negara terutama di kalangan mereka yang bertanggung jawab merangka pelan pembangunan, perlulah melihat aspek-aspek pembangunan dari kanta perancangan yang lebih
meluas, melebar, mendalam dan komprehensif. Badan-badan NGO seperti Persatuan Diabetes Malaysia perlu kehadapan berperanan aktif – bersuara secara tegas, menyampaikan pendirian untuk memastikan program pembangunan negara berlaku dan dilaksanakan secara lebih seimbang. Faktor-faktor kerosakan alam dan kerosakan sumber perlu dikawal secara serius. Penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan secara tegas untuk mempastikan kesejahteraan hidup warga.
12. Persatuan Diabetes serta pelbagai NGO sewajarnya mengambil langkah aktif membantu negara untuk dapat mengurangkan perbelanjaan kesihatan dan perbelanjaan perubatan melalui program-program pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan, mudah difahami dan mudah dihayati oleh warga. Semoga segala usaha yang dirintis mencapai kejayaan dan mendapat petunjuk dan panduan ILAHI.
13. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Hari Diabetes Sedunia dan Sambutan Ulang Tahun ke-25, Persatuan Diabetes Malaysia.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
******************